Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel benarkan bantuan sementara masuk ke utara Gaza

Apr 5, 2024 | 12:34 PM
Kanak-kanak Palestin berebut-rebut bagi mendapatkan bantuan makanan yang diagihkan di Beit Lahia, di utara Gaza.
Kanak-kanak Palestin berebut-rebut bagi mendapatkan bantuan makanan yang diagihkan di Beit Lahia, di utara Gaza. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Israel akan membenarkan penghantaran bantuan ‘sementara’ melalui sempadannya dengan utara Gaza, kata pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 5 April, beberapa jam selepas menerima amaran daripada Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden.

“Israel akan membenarkan penghantaran sementara bantuan kemanusiaan melalui Ashdod dan pusat pemeriksaan Erez,” kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri, merujuk pada sebuah pelabuhan yang terletak sekitar 40 kilometer di utara Gaza.

“Peningkatan bantuan ini akan menghalang krisis kemanusiaan dan adalah perlu demi memastikan kesinambungan pertempuran dan untuk mencapai matlamat perang,” tambahnya.

Pengumuman itu dibuat ketika tekanan antarabangsa memuncak ke atas Tel Aviv selepas serangan Israel membunuh tujuh pekerja badan amal, World Central Kitchen, yang berpangkalan di Amerika pada 1 April.

Dalam panggilan yang tegang selama 30 minit dengan Encik Netanyahu pada 4 April, Encik Biden menyifatkan serangan Israel sebagai tidak boleh diterima dan menggesa “gencatan senjata segera”.

Menurut kenyataan Rumah Putih, beliau turut “menjelaskan bahawa dasar Amerika” akan ditentukan berdasarkan tindakan Israel mengambil “langkah khusus, konkrit dan boleh diukur dalam menangani bahaya ke atas orang awam, penderitaan kemanusiaan dan keselamatan pekerja bantuan”.

Sejurus selepas pengumuman Israel, Rumah Putih mengalu-alukan langkah untuk “meningkatkan aliran bantuan ke Gaza”, dan menyeru agar ia “dilaksanakan sepenuhnya dan pantas”.

Sekatan 17 tahun Israel ke atas Gaza telah diperketatkan sejak permulaan perang, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Israel menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan dan memberi amaran tahap kebuluran yang hampir mencapai peringkat malapetaka.

Namun, Israel telah menafikan sekatan terhadap penghantaran bantuan.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang mengendalikan Hamas, peperangan Israel ke atas Gaza setakat ini telah membunuh lebih 33,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Israel juga mengepung wilayah Palestin itu dan sekali gus telah memutuskan bekalan air, gas, elektrik, makanan dan ubat-ubatan yang sehingga kini mencetuskan krisis kemanusiaan seperti kebuluran dalam kalangan penduduk Palestin.

Perang meletus selepas Hamas melancarkan serangan mengejut di selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 dan 240 yang lain ditahan sebagai tebusan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg