JAKARTA: Pihak berkuasa menghadapi tekanan yang semakin meningkat untuk menyiasat secara menyeluruh punca dan sebarang keadaan di sebalik kebakaran yang mengorbankan seorang wartawan dan keluarganya di Sumatera Utara.
Kejadian itu dikatakan mungkin ada kaitan dengan laporannya mengenai insiden perjudian tempatan.
Encik Sempurna Pasaribu, 47 tahun, yang bekerja sebagai wartawan Tribrata TV, maut dalam kebakaran di rumahnya di Kabupaten Tanah Karo, Sumatera Utara, pada awal pagi 27 Jun.
Beliau terbunuh dalam kebakaran itu, bersama isterinya, Cik Elfrida Boru Ginting, 48 tahun, anak mereka berusia 12 tahun dan cucu berusia tiga tahun.
Punca kebakaran yang mengorbankan Encik Sempurna dan keluarga masih belum jelas, tetapi rakan sekerjanya menyifatkan kejadian itu sebagai mencurigakan.
Ini terutama kerana ia berlaku berikutan laporan wartawan itu mengenai kejadian perjudian yang berlaku di daerah itu yang didakwa melibatkan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI).
Maklumat itu ditemui susulan siasatan pasukan pencari fakta bebas daripada Suruhanjaya Keselamatan Wartawan (KKJ) Sumatera Utara, gabungan yang terdiri daripada kumpulan karyawan seperti Persatuan Wartawan Bebas (AJI) bahagian Medan.
Beberapa saksi mendakwa kebakaran berpunca daripada tumpahan petrol di rumah mangsa.
Keluarga itu pernah menjual petrol dari sebuah kiosk.
“Majlis Akhbar menggesa Ketua Polis Negara dan Polis Sumatera Utara membentuk satu pasukan bagi menyiasat kes itu secara adil dan saksama,” kata majlis itu dalam satu kenyataan.
Selain polis, majlis itu turut mendesak TNI, Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Komnas HAM) dan Agensi Perlindungan Saksi dan Mangsa (LPSK) membentuk pasukan penyiasat masing-masing.
TNI sedang menunggu hasil siasatan polis berhubung kematian wartawan Tribrata TV, baru-baru ini.
Ketua Pusat Penerangan TNI, Mejar Jeneral Nugraha Gumilar, berkata TNI tidak dapat mengesahkan pembabitan anggota tentera dalam kes itu namun menegaskan bahawa jika ada yang terbabit, mereka akan tertakluk kepada undang-undang tentera. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg