Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

E-MEL DARI KL

Desakan PRU15 disegerakan Nov ini?

Sep 20, 2022 | 05:30 AM



DESAKAN supaya supaya Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) diadakan November ini semakin lantang walaupun terdapat kebimbangan bencana musim tengkujuh dan banjir melanda negara.



"Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut tetapi kalau Perdana Menteri bubar masa banjir pun, sanggup redah banjir untuk bertanding," kata Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi.



Tekanan daripada pucuk pimpinan Umno supaya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen bertambah kuat sejak mantan Perdana Menteri Najib Razak dipenjarakan tiga minggu lalu.



Malah, beliau yang pada awalnya kelihatan enggan memberi sebarang komitmen kini membayangkan ia akan berlaku dalam masa terdekat.



"Kita sudah hampir ke Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), percayalah sikit masa lagi. Saya mendengar dengan jelas (gesaan pembubaran)," kata Datuk Seri Ismail hujung minggu lalu.



Ini adalah isyarat paling jelas setelah beliau memberi petanda dua minggu lalu bahawa Belanjawan 2023 akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober - tiga minggu lebih awal dari biasa.



Laungan terbaru pembubaran Parlimen itu dikecam keras para pemimpin pembangkang. Mereka berpendapat kempen pilihan raya akan mengalihkan perhatian kerajaan dan sumber yang diperlukan rakyat untuk menghadapi bencana banjir.



Apatah lagi kerana banjir besar Disember lalu yang mengorbankan 50 orang dan mengakibatkan kerosakan harta benda bernilai lebih RM10 bilion ($3.1 bilion) masih segar dalam ingatan.



Parti pembangkang juga mendakwa langkah tergesa-gesa Umno untuk mengadakan PRU15 adalah sebahagian daripada usaha untuk menyelamatkan Datuk Seri Zahid Hamidi sendiri yang sedang dibicarakan di mahkamah atas tuduhan rasuah dan pecah amanah.



Para penganalisis ekonomi berpendapat negara belum bersedia menghadapi satu lagi perubahan kerajaan memandangkan keadaan ekonomi belum mantap akibat pandemik Covid 19 dan kos sara hidup semakin tinggi yang menjerat kehidupan rakyat.



Di samping itu, masih banyak persoalan sama ada Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan awal Oktober nanti akan mendapat kelulusan Parlimen.



Bagaimanapun, kuasa menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen bukan hanya terletak di tangan Perdana Menteri. Beliau perlu mendapatkan persetujuan Kabinet.



Memandangkan dalam Kabinet sekarang ini terdapat lebih sepertiga jumlah Menteri daripada Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS), langkah pembubaran Parlimen mungkin akan mengalami halangan.



Ia juga dirumitkan lagi dengan keputusan PAS yang tidak akan membubarkan kerajaan negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dikuasainya sehingga akhir penggal tahun hadapan.



Perkembangan terbaru ini adalah di luar dugaan kerana sebelum ini terdapat desas-desus bahawa Perdana Menteri mungkin merancang menunda PRU15 sehingga tamat tempoh penggal Parlimen ke 14 pada Julai tahun depan.



Ia bertujuan memberi beliau lebih banyak masa dan ruang untuk memperkukuh kedudukannya sebagai Perdana Menteri yang baru disandang sejak Ogos tahun lalu.



Ketegasan beliau tidak mencampuri urusan mahkamah sewaktu perbicaraan Encik Najib mendapat penghargaan daripada parti-parti pembangkang kerana ia membuktikan ketelusan sistem kehakiman negara.



Malah ada pihak menyifatkan peralihan kuasa tiga orang Perdana Menteri sejak 2018 sebagai satu hikmah yang baru kelihatan apabila Encik Najib dipenjarakan.



Mantan Perdana Menteri Najib didakwa pada 2018 sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.



Dia didapati bersalah pada 2020, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih kuasa.



Dan kini Encik Najib menjalani hukuman penjara semasa Datuk Seri Ismail dari Umno menjadi Perdana Menteri.



"Bayangkan jika yang jadi Perdana Menteri itu sekarang Muhyiddin, kita boleh bayangkan bagaimana rasa tidak puas hati terutama ahli Umno kepada Perdana Menteri," kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.




► Penulis mantan wartawan kanan BH yang kini menetap di Kuala Lumpur.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >