WASHINGTON: Korea Selatan telah menjadi salah satu sekutu Amerika Syarikat paling penting di Asia sejak beberapa dekad.
ia bukan sahaja kerana hampir 30,000 tentera Amerika ditempatkan di sana, bahkan juga kerana ia menjadi mercu tanda demokrasi di rantau yang menyaksikan negara autoritarian yang berkuasa, bersaing dengan negara demokrasi.
Presiden Joe Biden telah memberikan penekanan khusus kepada Korea Selatan, memilihnya sebagai tempat pertama di luar Amerika bagi Sidang Puncak untuk Demokrasi.
Pada 2023, Encik Biden menjadi tuan rumah kepada Presiden Yoon Suk Yeol bagi jamuan negara di Rumah Putih.
Encik Biden turut bergantung kepada Encik Yoon untuk menyediakan senjata pertahanan bagi Ukraine menentang pencerobohan Russia.
Kini, dengan Encik Yoon mengenakan undang-undang tentera selepas menuduh parti pembangkang bersekongkol dengan Korea Utara untuk melemahkannya, pakatan Amerika dengan Korea Selatan menghadapi ujian terbesar dalam beberapa dekad.
Encik Biden, yang telah menggunakan demokrasi berbanding autokrasi sebagai rangka kerja penentu dasar luarnya, perlu membuat pilihan sukar bagi menangani krisis itu.
Ini selepas bertahun-tahun beliau memupuk hubungan dengan Encik Yoon, seorang pemimpin konservatif, dan memperbaiki hubungan ketenteraan agar dapat menentang China, Korea Utara dan Russia dengan lebih baik.
Tindakan Encik Yoon nampaknya mengejutkan pentadbiran Encik Biden.
Pada petang 3 Disember di Washington, beberapa jam selepas Encik Yoon membuat pengumuman mengejutkan itu, Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih mengeluarkan kenyataan ringkas, menggunakan singkatan untuk nama rasmi Korea Selatan, sebagai Republik Korea.
“Pentadbiran sedang berhubung dengan pemerintah Republik Korea dan sedang memantau keadaan dengan teliti untuk mengetahui lebih lanjut.
“Amerika tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai pengumuman itu. Kami amat prihatin dengan perkembangan di Republik Korea,” kata kenyataan itu.
Pegawai dilaporkan telah memberi taklimat kepada Encik Biden, yang sedang melawat Angola, Afrika Selatan.
Terdapat spekulasi di Washington bahawa Encik Yoon mungkin memilih saat itu kerana pemerintah Amerika sedang dalam peralihan – daripada pentadbiran Encik Biden kepada pentadbiran Encik Donald Trump – dan kerana Encik Biden berada di luar negara. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg