Seramai 13 pelajar Indonesia bakal menerima peluang menjalani latihan industri dan bimbingan daripada pemimpin kanan syarikat Singapura yang beroperasi di Indonesia selepas dianugerahkan biasiswa oleh komuniti perniagaan Singapura di negara itu.

Selain bantuan kewangan, biasiswa itu turut menyediakan program pembangunan profesional dan persediaan kerjaya bagi membantu penerima memperoleh pengalaman industri, memperkukuh kemahiran serta meningkatkan kesiapsiagaan mereka untuk memasuki alam pekerjaan.

Seorang penerima biasiswa, Cik Nahwa Fitri Nabila dari Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta, berkata beliau berharap dapat menjalani latihan industri sekurang-kurangnya enam bulan di salah sebuah syarikat anggota Dewan Perniagaan dan Perusahaan Singapura (SingCham) di Indonesia.

“Saya berharap dapat menyumbang kepada masyarakat berdasarkan pengalaman dan ilmu yang akan saya peroleh daripada peluang ini.

“Saya juga berharap ia dapat membantu saya berkembang dan memanfaatkan rangkaian komuniti ini,” katanya selepas diumumkan sebagai penerima biasiswa pada 16 Julai.

Cik Nahwa adalah antara 13 pelajar yang menerima Biasiswa Pemerkasaan SingCham 2026.

Biasiswa itu memasuki edisi kedua sejak diperkenalkan pada 2025, dengan jumlah penerima meningkat daripada lapan orang pada tahun lalu kepada 13 orang tahun 2026 ini.

SingCham berkata pemohon tahun 2026 ini menunjukkan keupayaan lebih kukuh dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI), selain tahap inovasi, keusahawanan dan kebolehsuaian yang tinggi.

Seorang lagi penerima, Encik Hanif Al Ghiffari Yusuf, 21 tahun, dari Universitas Pendidikan Indonesia di Bandung, berkata beliau tidak mempunyai strategi atau petua khusus untuk mendapatkan biasiswa itu, selain yakin terhadap kajian kes yang ditulis dalam esei permohonannya.

“Saya hanya yakin bahawa kajian kes yang saya bentangkan dalam esei itu mampu memberi kesan dan cukup praktikal untuk dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata eseinya membincangkan program latihan untuk guru sekolah menengah Indonesia yang mengikuti latihan di Singapura sebelum berkongsi pengalaman pembelajaran mereka dengan pelajar di Indonesia.

“Bidang pengajian saya ialah pendidikan perniagaan, jadi saya memberi tumpuan kepada pembangunan guru,” katanya.

Penerima biasiswa tahun 2026 ini terdiri daripada pelajar universiti di sekitar Jakarta Raya dan Bandung, termasuk Institut Teknologi Bandung (ITB); Universiti Padjadjaran (Unpad); Universiti Pendidikan Indonesia (UPI); Politeknik Negeri Bandung (POLBAN); Universiti BINUS; Universiti I3L; Sekolah Perniagaan Antarabangsa IPMI; UPN Veteran Jakarta dan Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta.

Biasiswa itu ditawarkan kepada mahasiswa tahun ketiga dan keempat peringkat sarjana muda.

Ia menggabungkan bantuan kewangan, latihan industri di syarikat penaja serta bimbingan daripada anggota komuniti perniagaan SingCham.

Selain menambah jumlah penerima, SingCham turut memperluaskan program itu kepada pelajar di luar Jakarta Raya dengan membuka penyertaan kepada pelajar dari Bandung buat pertama kali.

Menurut SingCham, langkah itu mengukuhkan komitmennya untuk membangunkan tenaga kerja masa depan Indonesia melalui bimbingan, pembangunan kepimpinan dan pendedahan kepada industri.

Perluasan program itu juga bertepatan dengan ulang tahun ke-20 SingCham di Indonesia.

Duta Singapura ke Indonesia, Encik Kwok Fook Seng, hadir pada majlis penganugerahan untuk menyampaikan biasiswa kepada para penerima.

Beliau berkata pembangunan modal insan merupakan antara perkara teras dalam hubungan dua hala Indonesia-Singapura dan menyambut baik keputusan SingCham menambah jumlah penerima biasiswa tahun ini.

Pengerusi SingCham Indonesia, Encik Shoeb Kagda berkata: “Dunia pekerjaan terus berubah dengan pantas. Pengalaman seperti ini memberi pelajar pendedahan praktikal kepada industri serta membantu mereka membina kemahiran, keyakinan dan pengetahuan yang diperlukan untuk berjaya dalam kerjaya.’’

Kinobi, organisasi yang menguruskan bersama inisiatif biasiswa itu, berkata jawatankuasa pemilihan mendapati peningkatan ketara dalam mutu serta kepelbagaian permohonan yang diterima tahun 2026 ini.

Pemohon dinilai berdasarkan pencapaian akademik, potensi kepemimpinan, keupayaan menyelesaikan masalah serta esei kajian kes yang membincangkan cabaran perniagaan sebenar.

“Kami tidak hanya melihat pencapaian akademik, sebaliknya turut memberi penekanan sama rata kepada motivasi, potensi kepemimpinan dan keupayaan menyelesaikan masalah.

“Ketika industri berubah dengan pantas, kemahiran teknikal sahaja tidak lagi mencukupi. Golongan profesional masa depan juga memerlukan pengalaman kerjasama merentas budaya, perspektif global dan keupayaan menyesuaikan diri untuk bersaing dalam persekitaran antarabangsa yang semakin mencabar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kinobi, Encik Hafiz Kasman.

UOB Indonesia, antara penaja program itu, berkata pihaknya komited membangunkan bakat masa depan Indonesia kerana percaya usaha melahirkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan penting untuk membina Indonesia yang lebih kukuh dan berdaya saing.

Menurutnya, pelajar yang layak perlu diberi peluang memperoleh pengalaman praktikal dalam industri di samping menerima bantuan kewangan.

“Kami berharap program ini dapat memperkasa bakat muda dengan kemahiran, keyakinan dan pandangan global yang diperlukan untuk berkembang dalam ekonomi Asean yang semakin saling berhubung,” kata Ketua Komunikasi Strategik dan Jenama UOB Indonesia, Encik Luke Ariefiandi.