Lapan pelajar universiti dari Indonesia berpeluang merasai pengalaman bekerja dengan syarikat Singapura selepas melepasi proses pemilihan yang melibatkan sesi temu duga, di mana mereka diminta membentangkan esei mengenai usaha memperkasakan belia Indonesia dengan kemahiran penting bagi memenuhi keperluan pasaran kerja di negara seperti Singapura.
Pelajar yang dipilih dari universiti sekitar kawasan Jakarta turut berpeluang memahami budaya korporat menerusi sesi bersama eksekutif syarikat berpangkalan di Singapura yang beroperasi di Indonesia merentas pelbagai sektor.
Encik Daffa Nadindra Paramananda, pelajar jurusan pengajian politik dari Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah Jakarta, merupakan antara yang terpilih selepas membentangkan eseinya kepada panel juri mengenai jurang akses digital antara tenaga kerja Indonesia dan Singapura.
“Saya menulis analisis tentang bagaimana bakat-bakat Indonesia yang tinggal di kawasan terpencil boleh mendapat akses digital dan peluang untuk bekerja di Singapura. Saya rasa kita di Indonesia punya potensi, tetapi kita kekurangan akses digital yang mencukupi,” kata Encik Daffa kepada Berita Harian selepas menerima anugerah pada 16 Julai bersama tujuh penerima lain daripada Dewan Perniagaan dan Perusahaan Singapura di Indonesia (SingCham), iaitu dewan perniagaan yang mewakili komuniti perniagaan Singapura di Indonesia.
Lapan penerima anugerah yang dipilih daripada 22 finalis menerima anugerah tersebut daripada Duta Besar Singapura ke Indonesia, Encik Kwok Fook Seng. Anugerah itu merangkumi bantuan kewangan untuk pengajian mereka, serta akses kepada penempatan latihan industri di syarikat-syarikat Singapura yang beroperasi di Indonesia.
Kebanyakan program universiti di Indonesia kini mewajibkan pelajar tahun ketiga mengikuti latihan industri, yang membolehkan mereka memperoleh dua hingga empat kredit kursus sebelum menamatkan pengajian.
Cik Indi Naswa dari Universiti Pakuan, Bogor berkata ilmu dan jaringan yang diperoleh sepanjang program bimbingan ini membantu membentuk cara pemikirannya dan mempersiapkannya untuk transisi daripada dunia kampus ke dunia pekerjaan.
Manakala Encik Michael Divo dari Institut IPMI pula menyatakan beliau memperoleh pandangan langsung yang berharga mengenai pertumbuhan kerjaya dan strategi kejayaan, dan anugerah ini turut mengukuhkan penjenamaan peribadinya.
Pengerusi SingCham, Encik Shoeb Kagda, berkata dewan perniagaan itu, yang ahlinya banyak beroperasi di Indonesia, menjadikan pembangunan tenaga kerja Indonesia sebagai keutamaan dalam menghadapi isu pengangguran yang semakin meningkat.
“Dalam jangka panjang, ini bertujuan mewujudkan kumpulan bakat untuk syarikat-syarikat. Kami bergantung kepada tenaga kerja Indonesia kerana kami beroperasi di sini. Jadi ini adalah situasi menang-menang,” katanya.
Data dari Badan Statistik Indonesia yang dikeluarkan pada Mei menunjukkan kadar pengangguran adalah 4.76 peratus, berdasarkan tinjauan yang dijalankan pada Februari. Pada bulan tersebut, terdapat kira-kira 7.28 juta penganggur, kebanyakannya berusia muda. Jumlah ini meningkat sebanyak 83,000 orang berbanding tempoh yang sama tahun 2024.
Indonesia kini sedang menikmati bonus demografi, iaitu tempoh apabila jumlah penduduk usia bekerja (15–64 tahun) mengatasi jumlah penduduk tidak bekerja, menjadikan ia satu cabaran besar buat pemerintah untuk mewujudkan peluang pekerjaan baru. Bonus ini dijangka berlangsung sehingga tahun 2045, iaitu ulang tahun kemerdekaan ke-100 Indonesia yang digelar sebagai momen “Indonesia Emas”.
Namun gelombang pemberhentian besar-besaran yang berlaku baru-baru ini menyukarkan lagi kemasukan ke pasaran kerja apabila golongan muda terpaksa bersaing dengan pekerja yang diberhentikan dalam mendapatkan pekerjaan dalam pasaran yang semakin terhad.
Encik Tadjuddin Noer Effendi, seorang ahli sosiologi dari Universitas Gadjah Mada di Yogyakarta, berkata ketidakpadanan antara keperluan industri dan kemahiran tenaga kerja menjadi antara penyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran.
“Gabungan antara pemberhentian kerja dan pengangguran dalam kalangan belia berpendidikan adalah faktor yang mendorong kenaikan kadar pengangguran. Pemeriantah perlu melaksanakan dasar untuk menangani isu ini. Jika tidak, idea Indonesia Emas hanya akan tinggal mimpi kerana kita sedang kehilangan tenaga kerja berpotensi untuk membangunkan negara,” kata Encik Tadjuddin.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg