Topik diikuti
Pergi ke BHkuDewan Perwakilan AS lulus rangka belanjawan AS$95b perang Iran
Dewan Perwakilan AS lulus rangka belanjawan AS$95b perang Iran
Pakej perbelanjaan perlu kelulusan Senat; Demokrat bantah dana besar untuk operasi ketenteraan ketika kos sara hidup terus meningkat
Dewan Perwakilan AS lulus rangka belanjawan AS$95b perang Iran
WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat meluluskan rangka kerja belanjawan bernilai AS$95 bilion ($122.6 bilion) pada 22 Julai, dengan sebahagian besar peruntukan disalurkan kepada Pentagon bagi membiayai operasi ketenteraan dalam perang menentang Iran.
Rang undang-undang itu diluluskan dengan majoriti tipis 216 undi menyokong berbanding 214 menolak dan kini akan dibawa ke Senat, yang masih belum pasti sama ada akan memberikan kelulusan.
Daripada jumlah keseluruhan itu, AS$73 bilion diperuntukkan kepada angkatan tentera dan agensi perisikan Amerika, termasuk untuk membiayai operasi berkaitan konflik dengan Iran.
Selain itu, AS$12 bilion disediakan bagi membantu petani yang terjejas akibat perang perdagangan yang dilaksanakan pentadbiran Presiden Donald Trump.
Satu lagi peruntukan berjumlah AS$10 bilion dicadangkan bagi program berkaitan pilihan raya sebagai sebahagian daripada usaha Encik Trump memperkenalkan sekatan pengundian di seluruh negara, selepas rang undang-undang utamanya, Akta Save America, gagal memperoleh sokongan mencukupi di Kongres.
Pakej bajet itu dianggap sebagai usaha perundangan terbesar Parti Republikan menjelang pilihan raya separuh penggal pada November ini, yang bakal menentukan sama ada parti itu dapat mengekalkan penguasaan di Kongres sepanjang baki penggal kedua pentadbiran Encik Trump.
Ketika ini, dokumen yang diluluskan hanyalah rangka kerja bajet.
Sekiranya mendapat kelulusan Senat, Ahli Parlimen Republikan akan menyediakan rang undang-undang lebih terperinci dalam tempoh beberapa bulan akan datang sebelum dibentangkan semula untuk kelulusan akhir.
Republikan berharap menggunakan prosedur khas berkaitan bajet yang hanya memerlukan sokongan majoriti mudah di Senat, sekali gus mengelakkan keperluan memperoleh sekurang-kurangnya 60 undi seperti lazimnya serta mengatasi tentangan Demokrat.
Speaker Dewan Perwakilan, Encik Mike Johnson, berkata kelulusan rangka kerja itu membuka laluan kepada dua keutamaan utama Republikan.
“Langkah ini meletakkan Republikan di Kongres pada landasan untuk mencapai dua matlamat penting iaitu memperkukuh keselamatan pilihan raya Amerika dan memperkukuh keselamatan negara,” katanya.
Parti Demokrat mengkritik keras cadangan berkenaan kerana berpendapat ia memberi ruang kepada Encik Trump meneruskan perang dengan Iran menggunakan dana awam yang besar.
Ahli Dewan Perwakilan daripada Demokrat, Cik Rosa DeLauro, berkata rakyat Amerika tidak mahu negara terus terbabit dalam konflik yang panjang, mahal dan tidak mempunyai hala tuju jelas di Asia Barat.
“Rakyat Amerika tidak mahu lebih banyak peperangan yang berpanjangan, tidak berpenghujung, mahal dan membawa maut di Asia Barat.
“Mereka mahu harga makanan, perumahan, penjagaan kesihatan, penjagaan kanak-kanak dan petrol diturunkan,” katanya.
Isu kos sara hidup dijangka menjadi antara topik utama menjelang pilihan raya separuh penggal apabila kadar inflasi di Amerika masih kekal tinggi walaupun pelbagai langkah ekonomi telah diperkenalkan pentadbiran Encik Trump.
Pemerhati politik berpandangan keputusan Senat terhadap rangka kerja bajet itu akan menjadi penentu sama ada Republikan mampu meneruskan agenda utama Encik Trump, termasuk memperluaskan pembiayaan ketenteraan dan melaksanakan pembaharuan terhadap sistem pilihan raya negara.
Jika gagal memperoleh kelulusan Senat, Republikan dijangka berdepan kesukaran untuk meluluskan sebarang pakej perbelanjaan utama sebelum pengundi turun mengundi pada November nanti. – Agensi berita.