WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat pada 3 Jun meluluskan satu ketetapan yang dipimpin Parti Demokrat bagi menghentikan perang dengan Iran sehingga tindakan ketenteraan itu mendapat kelulusan Kongres, sekali gus mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan ahli politik Amerika termasuk daripada parti Presiden Donald Trump sendiri.

Resolusi kuasa perang itu diluluskan dengan keputusan 215 menyokong dan 208 menolak, selepas empat wakil Republikan bertindak menyokong Demokrat dalam undian yang dilihat sebagai tamparan politik terbaru kepada Encik Trump.

Walaupun langkah itu dianggap sebahagian besarnya simbolik kerana ia masih perlu diluluskan Senat dan berdepan kemungkinan veto oleh Encik Trump, keputusan tersebut menunjukkan semakin ramai anggota Kongres mula mempersoalkan hala tuju konflik yang kini memasuki bulan keempat.

Undian itu juga menjadi tanda jelas bahawa sokongan terhadap perang Iran mula retak, termasuk dalam Parti Republikan sendiri, ketika tekanan politik menjelang pilihan raya pertengahan penggal semakin memuncak.

Resolusi berkenaan mengarahkan Encik Trump menarik keluar tentera Amerika daripada konflik dengan Iran atau mendapatkan kelulusan rasmi Kongres untuk meneruskan operasi ketenteraan tersebut.

Ia merupakan teguran terbuka yang jarang berlaku terhadap Encik Trump, yang sebelum ini berulang kali menolak usaha Kongres untuk mengehadkan kuasa presidennya dalam menentukan tindakan ketenteraan luar negara.

Kepimpinan Republikan sebelum ini cuba menangguhkan pengundian dua minggu lalu selepas menyedari mereka tidak mempunyai sokongan mencukupi untuk menggagalkan resolusi itu.

Namun, usaha mempengaruhi ahli parti sendiri gagal apabila perang berlanjutan tanpa tanda penyelesaian jelas.

Demokrat menggunakan Akta Kuasa Perang yang mewajibkan Kongres mempertimbangkan ketetapan sedemikian dalam tempoh tertentu, sekali gus memaksa undian diteruskan.

Pemerhati politik melihat perkembangan itu sebagai petanda hubungan antara Encik Trump dan anggota Republikan di Kongres semakin tegang dalam beberapa isu utama menjelang pilihan raya pertengahan penggal.

Ia berlaku selepas beberapa senator Republikan sebelum ini turut memaksa Encik Trump menarik balik permintaan dana keselamatan bernilai AS$1 bilion (S$1.28 bilion) bagi projek dewan tariannya serta rancangan Jabatan Kehakiman untuk mewujudkan dana pampasan khas.

Ahli Republikan yang menyokong resolusi tersebut ialah Encik Tom Barrett dari Michigan; Encik Brian Fitzpatrick dari Pennsylvania; Encik Warren Davidson dari Ohio dan Encik Thomas Massie dari Kentucky.

Seorang Demokrat dari Maine, Encik Jared Golden, yang sebelum ini menolak langkah serupa, turut mengubah pendiriannya dan menyokong resolusi itu.

Wakil Demokrat dari New York yang juga pengerusi utama Jawatankuasa Hal Ehwal Luar, Encik Gregory W. Meeks, memuji anggota Republikan yang berani menentang presiden mereka sendiri.

“Mereka mempunyai keberanian untuk melakukan perkara yang betul,” katanya sejurus selepas undian berlangsung.

Beliau berkata tindakan Kongres itu penting bagi mempertahankan Perlembagaan Amerika yang menetapkan hanya Kongres mempunyai kuasa menentukan bila negara itu boleh terlibat dalam peperangan.

“Kongres telah mengikut Perlembagaan hari ini. Demokrat dan Republikan berkata, ‘sudah cukup’. Perlembagaan menyatakan hanya Kongres boleh menentukan bila kita pergi berperang,” katanya.

Walaupun terdapat beberapa pembelotan, majoriti besar Republikan tetap menyokong Encik Trump.

Mereka menerima hujah pentadbiran Trump bahawa operasi ketenteraan awal telah selesai dan serangan terbaru terhadap Iran dilakukan atas dasar mempertahankan diri, sekali gus memberi kuasa penuh kepada presiden sebagai pemerintah tertinggi tentera.

Speaker Dewan Perwakilan, Encik Mike Johnson, memberi amaran bahawa meluluskan resolusi tersebut boleh melemahkan keupayaan presiden untuk meneruskan usaha diplomatik dan mencari penyelesaian aman.

“Ini satu prospek yang sangat berbahaya. Ia akan melemahkan presiden sebagai pemerintah tertinggi,” katanya kepada wartawan sebelum undian dijalankan.

Encik Trump sendiri sebelum ini dilihat semakin kecewa dengan rundingan diplomatik tidak rasmi berkaitan konflik Iran.

Terdahulu beliau menyifatkan proses rundingan melalui pihak pengantara sebagai “mula menjadi sangat membosankan”.

Ramai anggota Republikan pula menganggap usaha Demokrat itu bermotifkan politik dan boleh melemahkan kepentingan Amerika di Asia Barat.

Namun Demokrat menegaskan kedua-dua parti perlu mempertahankan peranan Kongres dalam menentukan penglibatan ketenteraan jangka panjang di luar negara.

Encik Warren Davidson, yang pernah berubah pendirian selepas tekanan hebat daripada Encik Trump dan pimpinan Republikan, berkata Kongres perlu memainkan peranan lebih besar dalam menentukan matlamat perang.

“Tentukan misi. Luluskan misi. Selesaikan misi,” katanya dalam kenyataan ringkas selepas pengundian.

Sementara itu, Senat Amerika turut sedang mempertimbangkan resolusi serupa.

Pada Mei lalu, empat senator Republikan bersama hampir semua senator Demokrat menyokong langkah awal untuk membawa resolusi itu ke peringkat undian penuh.

Walaupun peluang untuk kedua-dua resolusi benar-benar memaksa Encik Trump menamatkan perang masih tipis, tindakan Kongres itu tetap dianggap sebagai teguran politik yang signifikan terhadap cara presiden mengendalikan konflik Iran.

Tinjauan pendapat di Amerika menunjukkan semakin ramai rakyat mula mempersoalkan sama ada perang tersebut berbaloi dengan kos dan risiko yang ditanggung.

Demokrat percaya walaupun resolusi itu mungkin tidak mempunyai kesan undang-undang segera, tekanan politik bipartisan boleh mempengaruhi Encik Trump supaya mengubah pendekatannya terhadap perang Iran.

Konflik yang berpanjangan itu kini bukan sahaja menguji dasar luar Amerika, malah mula membuka keretakan politik dalam Parti Republikan sendiri ketika Encik Trump berusaha mengekalkan pengaruhnya menjelang pilihan raya akan datang. - Agensi berita