Topik diikuti
Pergi ke BHkuDhaka sita aset S$8 bilion dikaitkan dengan Sheikh Hasina
Dhaka sita aset S$8 bilion dikaitkan dengan Sheikh Hasina
Menteri: Bekas PM Bandladesh akan dipenjara sebaik pulang ke Bangladesh
Dhaka sita aset S$8 bilion dikaitkan dengan Sheikh Hasina
DHAKA: Pemerintah Bangladesh menyita aset bernilai kira-kira 760 bilion taka (S$8 bilion) yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina, anggota keluarganya serta 10 kumpulan perniagaan, ketika siasatan terhadap dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram terus diperluaskan.
Unit Perisikan Kewangan Bangladesh (BFIU) berkata, daripada jumlah itu, aset bernilai 570 bilion taka dirampas di dalam negara, manakala baki 190 bilion taka dikenal pasti dan dibekukan di luar negara.
Ketua BFIU, Encik Ikhtiar Mohammad Mamun, berkata setakat ini sebanyak 98 kes telah dibuka membabitkan Sheikh Hasina, ahli keluarganya dan individu atau syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan pemerintahannya.
“Kami masih berusaha mendapatkan semula wang yang dipercayai diseludup ke luar negara. Kami berharap dapat mengumumkan perkembangan positif menjelang akhir tahun ini,” katanya ketika membentangkan laporan tahunan agensi itu di Dhaka pada 15 Julai.
Siasatan terhadap Sheikh Hasina bermula selepas beliau digulingkan dalam kebangkitan rakyat yang diterajui pelajar pada Ogos 2024 sebelum melarikan diri ke India.
Pemerintah baharu Bangladesh kemudian melancarkan siasatan menyeluruh terhadap kekayaan bekas perdana menteri itu, anggota keluarganya serta beberapa konglomerat yang didakwa memperoleh manfaat sepanjang pemerintahannya selama 15 tahun.
Sheikh Hasina, 78 tahun, kini berdepan pelbagai pertuduhan termasuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.
Beliau turut disabitkan bersalah tanpa hadir dalam beberapa kes, termasuk dakwaan rasuah berkaitan pemberian lot tanah di kawasan elit Dhaka.
Pada November 2025 lalu, Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh turut menjatuhkan hukuman mati terhadap beliau selepas didapati bersalah atas jenayah terhadap kemanusiaan kerana mengarahkan tindakan keras terhadap penunjuk perasaan ketika kebangkitan pelajar pada 2024.
Sheikh Hasina bagaimanapun menafikan semua tuduhan itu dan menyifatkannya bermotifkan politik.
Sheikh Beliau terus menetap di New Delhi sejak meninggalkan Bangladesh hampir dua tahun lalu.
Terdahulu Sheikh Hasina menyatakan hasrat untuk pulang ke Bangladesh menjelang akhir tahun 2026 ini bersama pemimpin parti Liga Awami yang kini berada dalam buangan di India, United Kingdom dan beberapa negara Asia Barat.
Beliau berkata mereka akan menyerahkan diri secara sukarela kepada pihak berkuasa sebaik tiba di Dhaka.
“Kes telah difailkan terhadap hampir semua pemimpin dan penyokong parti kami, manakala ramai lagi terpaksa bersembunyi.
“Saya akan pulang ke tanah air dan kami semua akan menyerahkan diri di mahkamah,” katanya dalam satu temu bual bersama Reuters.
Sheikh Hasina mengakui beliau mungkin akan ditangkap atau dibunuh sebaik pulang ke Bangladesh, namun tetap bertekad untuk kembali.
“Jika kematian menanti saya, biarlah ia berlaku di tanah air sendiri, tempat ibu bapa saya dikebumikan dan tempat darah mereka tertumpah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Bangladesh, Shama Obaed Islam, menegaskan Sheikh Hasina akan dipenjarakan jika pulang kerana beliau kini merupakan seorang pesalah yang telah disabitkan oleh mahkamah.
“Sheikh Hasina ialah seorang pesalah yang telah disabitkan. Jika beliau menyerah diri, tindakan akan diambil mengikut undang-undang Bangladesh.
“Beliau perlu menjalani hukuman penjara dan proses perundangan selanjutnya akan diteruskan,” katanya.
Menteri Dalam Negeri Bangladesh, Salahuddin Ahmed, pula berkata pemerintah tetap berusaha mendapatkan ekstradisi Hasina dari India bagi memastikan beliau dibicarakan di negara itu.
“Keputusan mahkamah akan dilaksanakan. Mahkamah juga akan menentukan sama ada masih ada ruang untuk rayuan,” katanya.
Dhaka sebelum ini beberapa kali mengemukakan permohonan rasmi kepada New Delhi supaya menyerahkan Sheikh Hasina kepada Bangladesh.
India mengesahkan pada April lalu bahawa permohonan itu sedang diteliti sambil menegaskan negara itu mahu terus menjalin hubungan baik dengan pemerintah baharu Bangladesh.
Bagaimanapun, kelewatan India membuat keputusan mengenai ekstradisi Hasina dikatakan menjejaskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara serta membuka ruang kepada China untuk memperluaskan pengaruhnya di Bangladesh.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekurang-kurangnya 1,400 orang terbunuh ketika protes antikerajaan yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan Sheikh Hasina pada 2024.
Sejak mengambil alih pentadbiran, pemerintah sementara Bangladesh memberi tumpuan kepada usaha membawa pulang aset yang didakwa diselewengkan ke luar negara, selain meneruskan pendakwaan terhadap bekas pemimpin serta individu yang dikaitkan dengan pemerintahannya. - Agensi berita
