Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dihimpit Israel, peranan Penguasa Palestin semakin pudar di Tebing Barat

Jul 29, 2024 | 5:30 AM
Pemandangan pada 19 Julai menunjukkan beberapa bangunan sedang didirikan serta tapak peluasan yang dirancang di penempatan Israel di Elon Moreh, sebuah perkampungan Palestin di Deir al-Hatab, timur bandar Nablus di Tebing Barat.
Pemandangan pada 19 Julai menunjukkan beberapa bangunan sedang didirikan serta tapak peluasan yang dirancang di penempatan Israel di Elon Moreh, sebuah perkampungan Palestin di Deir al-Hatab, timur bandar Nablus di Tebing Barat. - Foto AFP

JENIN (Tebing Barat): Jalan raya yang rosak sejak beberapa bulan lalu ekoran jentolak tentera Israel di kem pelarian Jenin, masih tidak dapat dilalui kerana Penguasa Palestin (PA) tidak mampu membaikinya.

Kakitangan pemerintah dibayar sebahagian kecil daripada gaji mereka, dan perkhidmatan kesihatan juga merosot.

Semua itu adalah tanda krisis kewangan mendalam, yang telah melumpuhkan pentadbiran Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang diketuai Presiden Mahmoud Abbas, di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Ini menimbulkan persoalan mengenai masa depannya, walaupun Amerika Syarikat dan negara lain mendesak supaya PA yang “dihidupkan semula” kembali berfungsi di Jaluran Gaza apabila pertempuran di sana berakhir.

Kewangan PA telah bercelaru selama bertahun-tahun, kerana negara penderma telah mengurangkan pembiayaan yang pernah meliputi hampir satu pertiga daripada bajet tahunannya yang berjumlah AS$6 bilion ($8.07 bilion), menuntut pembaharuan untuk menangani rasuah dan pembaziran.

Menurut pegawai Palestin, keadaan menjadi bertambah teruk selepas kumpulan Hamas menyerang Israel dari Gaza pada 7 Oktober.

Ia menyebabkan Israel menahan sebahagian daripada hasil cukai yang dikutipnya bagi pihak PA yang kini menjadi sumber pembiayaan utamanya.

Ketegangan itu amat ketara di Jenin, sebuah bandar yang tidak menentu di utara Tebing Barat, tempat Israel telah lama menyasarkan militan Palestin dan telah meningkatkan operasi sejak Oktober.

Datuk bandar Jenin, Encik Nidal Obeidi, berkata serbuan Israel sejak Oktober 2023 telah menyebabkan lebih banyak kerosakan berbanding sebelum ini, ke atas prasarana penting.

“Paip air dan kumbahan terkena tembakan. Bekalan tenaga ditembak, malah tangki simpanan air di atas bumbung juga dimusnahkan,” kata Encik Obeidi kepada agensi berita, Reuters.

Beliau menganggarkan pembaikan akan menelan belanja AS$15 juta di kem pelarian sahaja tetapi dengan PA “terkepung,” katanya, sumber adalah terhad.

Pegawai Palestin berkata, PA sedang menghadapi salah satu krisis paling teruk, sejak ia diwujudkan di bawah perjanjian damai sementara dengan Israel 30 tahun lalu.

Pada masa itu, rakyat Palestin melihat PA sebagai batu loncatan ke arah mencapai matlamat sebagai sebuah negara merdeka di Tebing Barat dan Gaza, dengan Baitulmakdis Timur sebagai ibu kotanya.

Tetapi memandangkan matlamat itu masih sukar difahami, gaji dan perkhidmatan yang disediakan oleh PA telah membantu mengekalkan Encik Abbas dan puak Fatahnya relevan dari segi politik.

Ini khususnya dalam menghadapi aksi peluasan penempatan Israel secara haram di Tebing Barat, dan cabaran yang ditimbulkan oleh saingan mereka, Hamas, yang mentadbir Gaza sejak 2007.

Pensyarah di Universiti Birzeit di Tebing Barat, Dr Ghassan Khatib, yang pernah berkhidmat sebagai menteri Palestin, berkata dasar Israel berisiko terus meminggirkan PA “dan pada masa tertentu mungkin menyebabkan keruntuhannya”.

“Mereka berupaya mengurangkan kuasa politik puak yang menyokong penyelesaian aman dengan Israel – iaitu Fatah – memihak kepada kumpulan pembangkang, terutamanya Hamas,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dan PA tidak mengulas kenyataan Dr Khatib.

Bagaimanapun, pegawai kanan Palestin, Encik Hussein al-Sheikh, memberitahu TV Al Arabiya pada Jun, kekurangan dalam pembiayaan bermakna PA tidak dapat “melaksanakan tugasnya terhadap rakyat Palestin”, yang boleh membawa kepada “keruntuhan PA”.

Bagaimanapun peranan PA selepas perang dilihat tidak pasti, sebahagiannya disebabkan pengaruhnya yang terhad di Gaza dan penentangan Encik Netanyahu, terhadap negara Palestin.

Terdapat perpecahan dalam pemerintah Israel mengenai rancangan pascaperang untuk Gaza.

AMARAN BERLAKU LAGI INTIFADA

Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur menjadi kediaman bagi lebih tiga juta rakyat Palestin dan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), terdapat kira-kira 700,000 peneroka Israel di situ.

Tentera Israel mengawal Tebing Barat, walaupun PA menjalankan tadbir urus terhad di kawasan tempat kebanyakan penduduk Palestin tinggal.

Di bawah perjanjian lama antara kedua-dua pihak, Israel mengutip cukai ke atas barangan yang melalui Israel ke Tebing Barat, dan memindahkan pungutan cukai itu secara bulanan kepada pihak berkuasa di Ramallah.

Berikutan serangan 7 Oktober, menteri kewangan sayap kanan Israel, Encik Bezalel Smotrich, mula menahan sebahagian daripada pendapatan tersebut.

Ia bersamaan dengan jumlah yang dipindahkan oleh PA ke Gaza, tempat pentadbiran pimpinan Encik Abbas meneruskan perkhidmatan pembiayaan, gaji dan pencen sejak Hamas mengambil alih.

Kepimpinan Palestin berpecah sejak 2007, dengan PA yang diketuai Encik Abbas memegang kuasa terhad di Tebing Barat, manakala kumpulan Hamas mengawal Jaluran Gaza.

Encik Smotrich berhujah bahawa dana itu akan berakhir di tangan Hamas.

Jumlah yang ditahan – kira-kira 300 juta shekel ($80 juta) sebulan.

Ia ditambah kepada potongan sebelumnya yang dikenakan oleh Israel bersamaan dengan jumlah yang dibayar oleh PA kepada keluarga anggota kumpulan dan orang awam yang dipenjarakan atau dibunuh oleh pihak berkuasa Israel.

Pada Mei, Encik Smotrich menggantung semua pemindahan dana, menuduh PA bertindak menentang Israel selepas pendakwa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengeluarkan waran tangkap terhadap perdana menteri dan menteri pertahanannya, dan tiga negara Eropah pula mengiktiraf negara Palestin.

Encik Smotrich turut menuduh PA menyokong serangan 7 Oktober, apabila kumpulan bersenjata pimpinan Hamas membunuh lebih 1,400 orang di Israel dan mengambil lebih 250 orang sebagai tebusan, berdasarkan pengiraan Israel.

Pihak berkuasa Kesihatan Gaza berkata, serangan Israel yang dilancarkan sebagai tindak balas telah membunuh lebih 38,700 orang. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg