Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketegangan memuncak di sempadan Lebanon-Israel

Oct 18, 2023 | 4:45 PM
DI SEMPADAN LEBANON-ISRAEL: Pasukan tentera Israel bersedia di Upper Galilee bagi menghadapi kemungkinan kumpulan militan Hezbollah menyasarkan serangan di perkampungan perbatasannya dengan Israel di Dahaira, selatan Lebanon.
DI SEMPADAN LEBANON-ISRAEL: Pasukan tentera Israel bersedia di Upper Galilee bagi menghadapi kemungkinan kumpulan militan Hezbollah menyasarkan serangan di perkampungan perbatasannya dengan Israel di Dahaira, selatan Lebanon. - Foto EPA-EFE

BEIRUT: Pertempuran meletus Selasa di sepanjang sempadan Lebanon-Israel, mengakibatkan lima militan Hezbollah terkorban, menandakan jumlah korban terbesar bagi kumpulan militan itu dalam sehari ketika ketegangan dengan Israel semakin memuncak.

Tentera Israel dan kumpulan bersenjata di Lebanon telah terlibat dalam beberapa siri pertempuran peringkat rendah sejak tercetusnya perang terkini di Gaza antara tentera Israel dengan kumpulan Hamas.

Hezbollah telah mengumumkan kematian 10 militan sejak pertempuran bermula.

Ketua Staf tentera Israel, Encik Herzi Halevi, mengancam bahawa Israel akan bertindak balas secara agresif sekiranya Hezbollah meningkatkan kegiatannya.

“Ini adalah perang di tempat kami,” kata Encik Halevi selepas bertemu dengan tentera Israel berhampiran sempadan utara dengan Lebanon.

“Jika Hezbollah melakukan kesilapan, ia akan dimusnahkan.”

Pergolakan itu berlaku di tengah-tengah kebimbangan bahawa perang boleh merebak ke Lebanon, di mana Hezbollah telah menyatakan sokongan padu kepada kumpulan militan Palestin Hamas.

Israel menganggap kumpulan bersenjata lengkap di Lebanon itu sebagai ancaman yang lebih besar daripada Hamas.

Setakat ini, pertukaran artileri antara Hezbollah dengan Israel terhad kepada beberapa bandar di sepanjang sempadan.

Israel telah mengancam bahawa jika Hezbollah membuka barisan baru, seluruh Lebanon akan menerima akibatnya.

Israel dan Hezbollah berperang selama sebulan pada 2006. Sejak itu, selain pertempuran terhad dan retorik yang meningkat, kaliber ketenteraan Hezbollah telah meningkat dengan ketara, dan menjadi kumpulan ketenteraan utama di Syria, Iraq dan tempat lain di rantau ini.

Masyarakat antarabangsa bersungguh-sungguh berusaha untuk mengelakkan perang daripada meluas ke Lebanon dan mungkin seluruh wilayah itu.

Peluru berpandu antikereta kebal yang ditembak dari Lebanon mendarat di bandar Metula di utara Israel pada Selasa, mencederakan tiga orang, menurut Pusat Perubatan Ziv di Safed.

Beberapa jam kemudian, kumpulan militan Lebanon itu mengeluarkan kenyataan yang mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu.

Tidak jelas sama ada yang cedera adalah orang awam atau tentera, tetapi Israel telah mengarahkan orang awam untuk mengosongkan kawasan berhampiran sempadan dengan Lebanon.

Israel bertindak balas dengan menyerang beberapa kawasan di sepanjang sempadan di selatan Lebanon dengan tembakan meriam dan fosforus putih, lapor Agensi Berita Nasional di Lebanon.

Tentera Israel berkata kereta kebalnya membalas tembakan ke Lebanon selepas peluru berpandu antikereta kebal dilancarkan merentasi sempadan.

Dua lagi peluru berpandu antikereta kebal ditembak dari Lebanon di penempatan Israel di Yiftah, utara Israel tanpa sebarang kemalangan jiwa, kata tentera Israel, sambil menambah bahawa ia telah membedil kedudukan Hezbollah sebagai tindak balas.

Hamas berkata bahawa mayat tiga militan mereka di Lebanon telah dibawa oleh tentera Israel berikutan operasi rentas sempadan pada 14 Oktober.

Jurucakap tentera Israel turut berkata bahawa pertahanan udaranya telah memintas dron yang menghampiri sempadan dari Lebanon. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg