Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Diplomat Arab kunjungi Damsyik, isyarat sokong pemimpin baru

Negara Arab lihat peluang bawa Syria kembali ke dalam dunia Arab
Dec 24, 2024 | 12:12 PM
Menteri Negara Qatar, Encik Mohammed bin Abdulaziz Al-Khulaifi (depan, kiri), mengadakan pertemuan dengan pemimpin de facto Syria, Encik Ahmed al-Sharaa (depan, kanan) di Damsyik, Syria, pada 23 Disember selepas kejatuhan Bashar al-Assad.
Menteri Negara Qatar, Encik Mohammed bin Abdulaziz Al-Khulaifi (depan, kiri), mengadakan pertemuan dengan pemimpin de facto Syria, Encik Ahmed al-Sharaa (depan, kanan) di Damsyik, Syria, pada 23 Disember selepas kejatuhan Bashar al-Assad. - Foto REUTERS

DAMSYIK: Diplomasi di Syria semakin rancak apabila beberapa diplomat tinggi Arab mengunjungi ibu kota Damsyik pada 23 Disember, menandakan perubahan besar dalam hubungan rantau itu selepas kejatuhan Encik Bashar al-Assad pada 8 Disember.

Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, dan Menteri Negara Hal Ehwal Luar Qatar, Encik Mohammed bin Abdulaziz Al-Khulaifi, antara yang pertama mengadakan pertemuan dengan pemimpin baharu Syria, Encik Ahmed al-Sharaa.

“Kami bersetuju untuk terus menyokong rakyat Syria dalam proses peralihan ini,” kata Encik Safadi selepas pertemuan tersebut.  

Beliau turut menekankan isu pelarian Syria di Jordan, yang kini mencecah lebih 620,000 orang, dengan menegaskan kepulangan mereka mestilah secara “sukarela dan selamat”.

Dalam pertemuan itu, isu lain seperti keganasan, penyeludupan senjata dan perdagangan dadah turut dibangkitkan.

“Masalah-masalah ini memberi kesan besar kepada keselamatan rantau dan Jordan bersedia bekerjasama dengan Syria untuk menanganinya,” tambah Encik Safadi.

Pada hari yang sama, delegasi Qatar membawa mesej sokongan yang kuat kepada pemerintahan baru Syria.

“Syria dan rakyatnya memerlukan sokongan dalam fasa genting ini,” ujar Encik Al-Khulaifi dalam sidang media.

Qatar, yang sebelum ini enggan berdamai dengan Encik Assad, kini bersedia untuk melabur dalam sektor tenaga dan prasarana Syria.

Beliau turut memuji usaha Syria memulihkan kestabilan dan berjanji menyokong pembangunan semula negara itu, termasuk melalui pelaburan dalam sektor tenaga, pelabuhan, dan lapangan terbang.

Lawatan tersebut juga disertai pasukan teknikal Qatar Airways yang bertugas menilai kesiapan lapangan terbang antarabangsa Damsyik untuk kembali beroperasi selepas ditutup akibat konflik.

Penganalisis, Encik Paul Salem, Naib Presiden Institut Timur Tengah, menyatakan bahawa lawatan itu mencerminkan potensi perubahan mendalam dalam pakatan serantau.

“Negara Arab melihat peluang membawa Syria kembali ke dalam lipatan dunia Arab, terutama selepas kejatuhan rejim Assad,” katanya.

Terdahulu Encik Shara turut bertemu pemimpin Druze Lebanon, Encik Walid Jumblatt, bagi meredakan kebimbangan terhadap pengaruh negatif Syria di Lebanon.

“Syria di bawah Assad menjadi sumber ketakutan bagi Lebanon. Saya berjanji menamatkan campur tangan negatif ini,” kata Encik Sharaa.

Dalam perkembangan lain, ribuan wanita berkumpul di bandar Qamishli di timur laut Syria, menuntut hak wanita daripada pemerintah baru di Damsyik.

Bantahan itu juga mengecam serangan yang disokong Turkey di wilayah Kobani.

“Kami menuntut hak wanita dimasukkan ke dalam sistem baru ini. Wanita tidak boleh diketepikan,” kata Cik Sawsan Hussein, aktivis hak wanita.

Sejak 2011, kumpulan Kurdi di utara Syria menikmati autonomi, tetapi kedudukan mereka berubah selepas kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang disokong Ankara mengambil alih Damsyik dan membentuk pentadbiran baharu.

Encik Sharaa menegaskan semua senjata di negara itu, termasuk yang dimiliki oleh pasukan yang dipimpin Kurdi, akan berada di bawah kawalan negara, selepas dua minggu merampas kuasa.

Encik Sharaa berkata puak bersenjata Syria akan mula mengumumkan pembubaran mereka dan memasuki tentera.

Beliau berkata demikian di samping Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan, selepas pertemuan dengan pemimpin Druze Lebanon dan berikrar untuk menghentikan “campur tangan negatif” di negara jiran itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg