Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perancis hos mesyuarat Syria, waspada hulur bantuan

Dec 19, 2024 | 1:20 PM
Kehidupan kelihatan telah kembali biasa dengan orang ramai bebas mengunjungi kafe, membeli-belah dan bersiar-siar di di bandar Homs, tengah Syria.
Kehidupan kelihatan telah kembali biasa dengan orang ramai bebas mengunjungi kafe, membeli-belah dan bersiar-siar di di bandar Homs, tengah Syria. - Foto AFP

PARIS: Perancis berkata negaranya akan menjadi tuan rumah mesyuarat antarabangsa mengenai Syria pada Januari 2025 dan penarikan semula sekatan dan bantuan pembinaan semula, namun akan disertakan syarat.

Langkah itu akan diambil jika pihak berkuasa peralihan Syria menunjukkan komitmen politik dan keselamatan yang jelas.

Sepasukan diplomat Perancis telah bertemu seorang pegawai daripada pasukan peralihan Syria pada 17 Disember di Damsyik dan menaikkan bendera di bangunan kedutaan Perancis di sana, 12 tahun selepas memutuskan hubungan dengan Presiden Bashar al-Assad ketika perang saudara melanda negara itu.

Pemangku Menteri Luar, Encik Jan-Noel Barrot, memberitahu Parlimen bahawa kumpulan diplomat itu telah melihat isyarat positif daripada pihak berkuasa peralihan dan rakyat Syria kelihatan meneruskan kehidupan biasa mereka tanpa halangan.

“Kami tidak akan menilai mereka dengan kata-kata mereka tetapi dengan tindakan mereka dan memantaunya dari masa ke masa,” kata Encik Barrot.

Mesyuarat pada Januari itu merupakan susulan kepada mesyuarat di Jordan minggu lalu yang merangkumi negara Arab, Barat dan Turkey.

Tidak jelas sama ada pemimpin Syria akan hadir atau apakah objektif tepat persidangan itu.

Negara Barat mengalu-alukan kejatuhan rejim Assad tetapi sedang menimbang sama ada mereka boleh bekerjasama dengan pemberontak yang menggulingnya, termasuk Hayat Tahrir al-Sham (HTS), kumpulan yang disifatkan sebagai pertubuhan pengganas oleh Kesatuan Eropah (EU).

Encik Barrot berkata peralihan inklusif akan menjadi penting dan kuasa Barat mempunyai banyak kaedah yang boleh digunakan untuk meredakan keadaan, terutamanya penarikan sekatan antarabangsa dan bantuan bagi pembinaan semula.

“Tetapi kami membuat sokongan ini dengan syarat mereka menunjukkan komitmen yang jelas dalam bidang politik dan keselamatan,” tegasnya.

Sejak memutuskan hubungan dengan rejim Assad pada 2012, Perancis telah menyokong penentang sekular secara meluas dan Angkatan Demokratik Syria (SDF) pimpinan kaum Kurdi di timur laut Syria.

SDF adalah sekutu utama dalam pakatan Amerika Syarikat menentang militan ISIS di Syria.

Ia diterajui oleh militia YPG, sebuah kumpulan yang dilihat Turkey – sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) – sebagai lanjutan daripada Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang diharamkan.

Encik Barrot menegaskan bahawa peralihan politik perlu memastikan mereka diwakili, terutamanya memandangkan mereka berada di barisan hadapan dalam memerangi ISIS.

“Menyedari kebimbangan keselamatan Ankara terhadap PKK, kami yakin bahawa adalah mungkin untuk mencari pengaturan yang memenuhi kepentingan semua orang. Kami sedang mengusahakannya,” kelas Encik Barrot. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg