DAMSYIK: Pemimpin pemerintah de facto Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, menerima kunjungan pemimpin Druze Lebanon, Encik Walid Jumblatt, pada 22 Disember dalam dalam usaha meyakinkan golongan minoriti bahawa mereka akan dilindungi selepas pemberontak menggulingkan rejim Bashar al-Assad pada 8 Disember.
Encik Sharaa berkata tiada fahaman akan diketepikan di Syria dalam apa yang disifatkannya sebagai, “zaman baru yang jauh daripada amalan membezakan fahaman”.
Beliau mengetuai Hayat Tahrir al-Sham (HTS), kumpulan utama yang memaksa Encik Assad melarikan diri ke Russia pada 8 Disember.
Sesetengah rakyat Syria dan kuasa asing bimbang beliau mungkin mengenakan tadbir urus Islam yang ketat ke atas negara yang mempunyai banyak kumpulan minoriti seperti Druze, Kurd, Kristian dan Alawi.
“Kami berbangga dengan budaya kami, agama kami dan Islam kami. Menjadi sebahagian daripada persekitaran Islam tidak bermakna mengetepikan mazhab lain.
“Sebaliknya, menjadi tanggungjawab kami untuk melindungi mereka,” katanya semasa pertemuan dengan Encik Jumblatt, dalam komen yang disiarkan oleh penyiar Lebanon Al Jadeed.
Encik Jumblatt, ahli politik veteran dan pemimpin Druze yang terkenal, berkata pada pertemuan itu bahawa penyingkiran rejim Assad seharusnya membawa kepada jalinan hubungan membina yang baru antara Lebanon dengan Syria.
Druze adalah minoriti Arab bukan Islam yang mengamalkan fahaman gabungan Islam dan Kristian.
Encik Sharaa, berpakaian sut dan bertali leher, juga berkata beliau akan menghantar delegasi pemerintahnya ke bandar Sweida di barat daya Druze, serta berjanji untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakatnya dan menonjolkan “kepelbagaian fahaman yang kaya di Syria”.
Berusaha untuk meredakan kebimbangan tentang masa depan Syria, Encik Sharaa telah menerima kunjungan ramai pelawat asing sejak kebelakangan ini.
Beliau berikrar mengutamakan pembinaan semula Syria, yang musnah akibat perang saudara selama 13 tahun.
Dalam satu acara berasingan, Encik Sharaa berkata pentadbirannya akan mengumumkan struktur baru kementerian pertahanan dan tentera dalam masa beberapa hari.
Dalam sidang akhbar bersama Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan, beliau berkata pentadbirannya tidak akan membenarkan senjata bebas di luar kawalan negara.
Encik Sharaa berkata pemerintah barunya berhasrat merombak semula perlembagaan dan institusi Syria.
Menurutnya, selepas rundingan dengan pegawai pertahanan dan tentera mengenai struktur baru untuk tentera, “kumpulan bersenjata akan mula mengumumkan pembubaran mereka dan memasuki” tentera.
“Kami sama sekali tidak akan membenarkan ada senjata di luar kawalan negara, sama ada dari puak revolusi atau puak yang berada dalam angkatan tentera Syria,” tambahnya, merujuk kepada Angkatan Demokratik Syria yang diketuai kaum Kurdi.
Turkey melihat komponen utama pasukan yang disokong Amerika Syarikat, yang mengawal kawasan utara dan timur laut Syria, sebagai dikaitkan dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), musuh domestiknya yang telah diharamkan. –Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg