Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Diplomat giat teliti isu tertunggak gencatan senjata Gaza

Jan 17, 2025 | 11:53 AM
Pertahanan Awam Gaza berkata bahawa serangan Israel di wilayah itu telah membunuh sekurang-kurangnya 77 orang sejak perjanjian itu diumumkan pada 15 Januari.
Pertahanan Awam Gaza berkata bahawa serangan Israel di wilayah itu telah membunuh sekurang-kurangnya 77 orang sejak perjanjian itu diumumkan pada 15 Januari. - Foto Reuters

TEL AVIV: Para perunding bergegas pada 16 Januari untuk menyelesaikan pertikaian saat akhir dalam perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas yang akan membebaskan tebusan dan menghentikan perang sejak 15 bulan lalu.

Pertikaian itu telah menangguhkan sekurang-kurangnya satu hari undian kritikal yang bakal diadakan oleh Kabinet Israel untuk meluluskan perjanjian itu.

Walaupun perunding Israel dan Hamas telah mencapai persetujuan sementara pada 15 Januari, namun mereka masih terus membincangkan isu-isu tertunggak melalui perantara.

Kabinet Israel, yang kelulusannya diperlukan untuk melaksanakan perjanjian gencatan senjata, dijangka mengundi pada 16 Januari, tetapi undian ditangguhkan.

Perjanjian itu telah membuka semula perpecahan yang mendalam di Israel dengan anggota garis keras pakatan pemerintah menentang gencatan senjata. Encik Itamar Ben-Gvir, menteri kanan Israel untuk keselamatan negara, mengumumkan pada malam 16 Januari bahawa partinya akan menarik diri daripada gabungan pimpinan Perdana Menteri Encik Benjamin Netanyahu sekiranya Kabinet meluluskan perjanjian gencatan senjata.

Tindakan itu boleh menggugat kestabilan pemerintah Israel pada masa yang kritikal tetapi tidak seharusnya menghalang perjanjian itu daripada diteruskan.

Amerika Syarikat, yang menghabiskan beberapa bulan bergelut untuk menjadi perantara perjanjian bersama Qatar dan Mesir, menegaskan gencatan senjata tetap akan berkuat kuasa pada 19 Januari seperti yang dirancang.

“Saya yakin dan menjangkakan pelaksanaan akan bermula,” kata Setiausaha Negara Encik Antony J. Blinken kepada pemberita.

“Tidaklah menghairankan bahawa dalam proses rundingan yang mencabar dan rumit in,i kita mungkin mendapat keputusan yang longgar. Kami mengikat hujung yang longgar itu semasa kami bercakap,” tambahnya.

Menurutnya, beliau telah menghubungi utusan negaranya menerusi telefon dan pegawai Qatar supaya berusaha untuk menyelesaikan soalan akhir.

Di Israel, Pejabat Perdana Menteri menuduh Hamas mengingkari sebahagian daripada perjanjian itu.

“Tiada sebarang perjanjian dicapai buat masa ini. Oleh itu, tiada mesyuarat Kabinet,” kata jurucakap Encik Netanyahu, Encik Omer Dostri, dalam mesej teks pada 16 Januari.

Seorang pegawai Hamas, Encik Izzat al-Rishq, berkata bahawa kumpulan itu tetap komited dengan perjanjian yang diumumkan oleh perantara.

Percanggahan pada saat-saat akhir mengenai perjanjian itu termasuk persoalan mengenai rakyat Palestin boleh dibebaskan dan bagaimana tentera Israel akan ditempatkan di sepanjang sempadan Gaza dengan Mesir semasa gencatan senjata, tambah Encik Dostri.

Selepas berbulan-bulan mengikuti perkembagan rundingan gencatan senjata, ramai rakyat Gaza, Israel dan lain-lain hanya dapat melahirkan harapan agar perjanjian dicapai.

Sedang gencatan senjata masih giat diusahakan, serangan udara maut Israel masih berterusan di Gaza pada 16 Januari. Tentera Israel menyatakan serangannya ditujukan terhadap kira-kira 50 sasaran di seluruh wilayah itu sepanjang hari tersebut.

Realiti di jaluran Gaza kekal sangat sukar dan berlaku malapetaka,” kata Encik Mahmoud Basal, jurucakap Pertahanan Awam Gaza, sebuah perkhidmatan kecemasan di bawah Kementerian Dalam Negeri yang dikendalikan Hamas.

Serangan Israel baru-baru ini di wilayah itu membunuh sekurang-kurangnya 81 orang dan mencederakan hampir 200 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Pertahanan Awam Gaza berkata bahawa serangan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 77 orang sejak perjanjian itu diumumkan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg