Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel perhebat serangan selepas pengumuman perjanjian gencatan senjata Gaza

Jan 16, 2025 | 5:44 PM
Penduduk Palestin memeriksa tapak serangan udara Israel ke atas sebuah rumah, di tengah-tengah konflik yang berterusan antara Israel dan Hamas, di Deir Al-Balah, Gaza Tengah, pada 15 Januari 2025. 
Penduduk Palestin memeriksa tapak serangan udara Israel ke atas sebuah rumah, di tengah-tengah konflik yang berterusan antara Israel dan Hamas, di Deir Al-Balah, Gaza Tengah, pada 15 Januari 2025.  - Foto REUTERS

GAZA: Ketegangan yang melanda Gaza terus memuncak meskipun perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan telah diumumkan pada 15 Januari, apabila Israel melancarkan serangan udara yang lebih hebat ke atas Gaza beberapa jam selepas pengumuman itu.

Penduduk dan pihak berkuasa tempatan melaporkan bahawa serangan berterusan ini menunjukkan bahawa gencatan senjata yang dijadualkan akan bermula pada Ahad, 19 Januari masih berada dalam ketidaktentuan.

Para perantara yang terlibat dalam rundingan gencatan senjata kini bekerja keras untuk memastikan pertempuran dapat dihentikan menjelang tarikh pelaksanaan yang dijadualkan.

Perjanjian gencatan senjata yang dimeterai antara Israel dan Hamas, kumpulan militan yang menguasai Gaza, tercapai setelah berbulan-bulan usaha diplomatik oleh Qatar, Mesir, dan Amerika Syarikat.

Perjanjian ini selepas 15 bulan yang mengorbankan puluhan ribu orang di Gaza dan menyebabkan ketegangan yang meluas di Timur Tengah. Pengumuman gencatan senjata ini dianggap sebagai harapan baru bagi penduduk Gaza yang telah lama menderita akibat serangan bertubi-tubi.

Dalam satu sidang media yang diadakan di Doha, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, mengumumkan bahawa gencatan senjata itu akan berkuat kuasa pada hari Ahad, 19 Januari. “Perundingan masih diteruskan antara Israel dan Hamas untuk memastikan pelaksanaan perjanjian ini dapat dilaksanakan dengan lancar,” kata beliau.

Sheikh Mohammed juga menyatakan bahawa perjanjian ini memberi peluang kepada masyarakat Palestin untuk menerima bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, yang turut memuji kejayaan perjanjian ini, berkata, “Perjanjian ini akan menghentikan pertempuran yang sudah terlalu lama, memberi ruang bagi bantuan kemanusiaan masuk dengan lebih banyak, dan mengembalikan para tebusan yang telah terpisah dengan keluarga mereka lebih dari 15 bulan.”

Encik Biden juga mengucapkan terima kasih kepada para pemimpin Qatar dan Mesir yang telah memainkan peranan penting dalam mencapai gencatan senjata ini.

Bagaimanapun, Israel belum memberikan respons rasmi terhadap perjanjian tersebut, kerana keputusan itu perlu mendapatkan kelulusan daripada kabinet keselamatan negara itu.

Menurut seorang pegawai Israel, undian bagi meluluskan perjanjian itu dijadualkan pada Khamis, 16 Januari. Walaupun terdapat tentangan daripada beberapa ahli konservatif dalam pemerintahan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, perjanjian ini dijangka mendapat sokongan majoriti.

Meskipun terdapat kesepakatan tentang gencatan senjata, serangan udara Israel terus berlanjutan dengan lebih hebat. Pada malam Rabu, 15 Januari, serangan udara di Bandar Gaza menyebabkan sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh, menurut laporan perubatan yang diterima. Serangan ini berlanjutan hingga pagi Khamis, 16 Januari meruntuhkan rumah-rumah di beberapa kawasan termasuk Rafah, Nuseirat, dan utara Gaza.

Cik Rista Tuyu, seorang penduduk Gaza yang ditemui, menyatakan bahawa penduduk di Gaza masih dalam keadaan bimbang meskipun perjanjian gencatan senjata telah diumumkan. “Kami semua gembira dengan berita ini, tetapi masih ada ketakutan dalam hati kami. Israel mungkin akan meningkatkan serangan mereka dalam beberapa hari ini untuk memaksimumkan ‘keuntungan’ sebelum gencatan senjata bermula,” katanya.

Penduduk Gaza juga dilaporkan masih melaksanakan aktiviti harian mereka dengan penuh hati-hati, memandangkan risiko serangan udara yang boleh datang pada bila-bila masa.

Namun, di tengah-tengah kebimbangan itu, kegembiraan jelas terpancar di Gaza. Sejumlah penduduk yang sudah lama menderita akibat serangan bertalu-talu meluahkan perasaan mereka.

Di Khan Younis, jalan-jalan dipenuhi dengan penduduk yang meraikan berita gembira ini. Sorakan, dentuman hon, dan kibaran bendera Palestin mengisi udara ketika mereka menari kegembiraan. “Saya rasa sangat bahagia. Ya, saya menangis, tetapi itu adalah air mata kegembiraan,” kata Cik Ghada, seorang ibu lima anak yang kini tinggal di tempat perlindungan.

Di Tel Aviv, keluarga-keluarga tebusan Israel turut menyambut baik pengumuman tersebut. Mereka mengucapkan terima kasih atas perjanjian gencatan senjata ini dan menyatakan perasaan lega dan kegembiraan mereka. Dalam satu kenyataan bersama, mereka mengatakan, “Kami tidak sabar untuk menyambut kepulangan orang tersayang. Setiap detik yang berlalu sangat menyakitkan bagi kami, tetapi kini ada harapan baru.”

Hamas, melalui kenyataan media mereka, menyebut perjanjian ini sebagai “pencapaian besar untuk rakyat Palestin” dan “satu titik perubahan dalam perjuangan kami.” Mereka juga menegaskan bahawa ini adalah langkah pertama dalam memulihkan keadilan untuk rakyat Palestin yang telah lama ditindas.

Sekiranya gencatan senjata ini berjaya, ia dijangka dapat menghentikan pertempuran yang telah memusnahkan hampir seluruh Gaza. Lebih 46,000 orang telah terkorban dalam pertempuran ini dan hampir semua penduduk Gaza yang berjumlah 2.3 juta orang terpaksa mengungsi. Dengan perjanjian ini, bantuan kemanusiaan diharap dapat masuk dengan lebih banyak dan lebih cepat ke dalam Gaza.

Fasa pertama perjanjian ini turut melibatkan pembebasan 33 tebusan Israel, yang termasuk wanita, kanak-kanak, dan lelaki berusia lebih 50 tahun. Beberapa tebusan Amerika, termasuk Keith Siegel dan Sagui Dekel-Chen, turut termasuk dalam senarai mereka yang akan dibebaskan.

Bantuan kemanusiaan akan dihantar dalam jumlah yang lebih besar selepas gencatan senjata berkuat kuasa. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Palang Merah Antarabangsa kini sedang bersiap sedia untuk melaksanakan rancangan penghantaran bantuan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.

Fasa kedua perjanjian ini dijangka bermula selepas 16 hari pelaksanaan gencatan senjata pertama. Fasa kedua ini akan menyaksikan pembebasan semua tebusan yang masih ditahan, pengakhiran rasmi pertempuran, serta penarikan sepenuhnya tentera Israel dari Gaza. Fasa ketiga pula akan fokus kepada penghantaran jenazah mayat yang tertinggal dan pemulihan semula Gaza, yang akan diselia oleh Mesir, Qatar, dan PBB. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg