DOHA: Perunding antara Israel dan Hamas telah mencapai persetujuan mengenai gencatan senjata selama 42 hari serta pembebasan tebusan di Gaza, kata Presiden Joe Biden dan pemimpin-pemimpin lain pada 15 Januari.
Gencatan senjata ini dijangka berkuat kuasa pada 19 Januari, kata Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani, yang turut memainkan peranan penting dalam proses perantaraan.
Beliau memaklumkan bahawa kedua-dua belah pihak sedang berusaha menyelesaikan beberapa perkara teknikal sebelum perjanjian dimuktamadkan.
Menurut dokumen yang disahkan kedua-dua pihak, perjanjian ini melibatkan gencatan senjata selama enam minggu pada fasa pertama, yang diikuti penarikan secara berperingkat pasukan tentera Israel dari Gaza.
Dalam masa yang sama, tebusan yang ditahan oleh Hamas akan dibebaskan sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin yang dipenjara oleh Israel.
“Perjanjian ini akan menghentikan pertempuran di Gaza, memberi bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan kepada rakyat Palestin, dan menyatukan kembali tebusan dengan keluarga mereka selepas lebih 15 bulan ditawan,” kata Presiden Joe Biden dalam satu kenyataan di Washington.
Perjanjian ini belum disahkan secara rasmi oleh Israel, yang masih menunggu kelulusan dari kabinet keselamatan negara dan pemerintah Israel, yang dijadualkan pada 16 Januari menurut seorang pegawai Israel.
Meski terdapat tentangan daripada golongan konservatif dalam pentadbiran Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, perjanjian ini dijangka akan mendapat sokongan.
Rakyat Palestin di Gaza meraikan perjanjian gencatan senjata yang dicapai antara Hamas dan Israel.
“Saya tidak percaya mimpi ngeri selama lebih setahun ini akhirnya akan berakhir. Kami kehilangan begitu ramai orang, kami kehilangan segala-galanya,” kata Cik Randa Sameeh, 45 tahun, yang dipindahkan dari Bandar Gaza ke Kem Nuseirat di tengah-tengah wilayah itu.
Kegembiraan dan kelegaan yang dirasai oleh keluarga tebusan pada pengumuman tersebut diselubungi perasaan bimbang, kerana ramai yang masih tidak pasti apakah semua tebusan akan dibebaskan.
Cik Mia Schem, wanita Israel yang pernah menjadi tebusan selama 55 hari sebelum dibebaskan dalam gencatan senjata sementara pada 2023, berkongsi kegembiraan di media sosial tentang pembebasan tebusan yang lain.
Beliau turut mengingatkan orang ramai untuk berhati-hati kerana kemungkinan Israel akan meningkatkan serangan dalam beberapa hari sebelum gencatan senjata bermula.
Meskipun pengumuman gencatan senjata disambut baik di Gaza, di mana rakyat Palestin telah lama berdepan dengan kekurangan bekalan makanan, air, tempat perlindungan dan bahan api, serangan Israel masih berterusan.
Di Bandar Gaza, serangan udara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya 32 orang pada malam 15 Januari, manakala serangan pada 16 Januari merosakkan rumah-rumah di Rafah, Nuseirat dan kawasan utara Gaza.
Seorang pegawai Palestin yang terlibat dalam rundingan gencatan senjata memaklumkan bahawa pihak perantara sedang berusaha memujuk kedua-dua pihak menghentikan pertempuran sebelum gencatan senjata dilaksanakan sepenuhnya.
Laporan lanjut di Muka 9
Perjanjian ini juga menggariskan peningkatan bantuan kemanusiaan ke Gaza, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Palang Merah Antarabangsa bersedia untuk meningkatkan operasi bantuan mereka.
“Gencatan senjata adalah permulaan, bukan penghujung. Kami sudah sedia dengan bekalan makanan di sempadan Gaza dan perlu memastikan ia dapat dihantar secara besar-besaran,” kata Cik Cindy McCain, Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP) di media sosial.
Reaksi global terhadap perjanjian gencatan senjata ini amat positif. Pemimpin-pemimpin dari negara-negara seperti Mesir, Turkwy, Britain, PBB, Kesatuan Eropah, Jordan, Jerman, dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) turut mengucapkan tahniah terhadap perkembangan ini.
Presiden Biden dan Presiden terpilih Encik Donald Trump turut mengaku telah memainkan peranan dalam membantu mencapai perjanjian ini, yang telah dipersetujui selepas beberapa bulan perundingan intensif.
Utusan Timur Tengah Trump, Encik Steve Witkoff, turut berada di Qatar bersama wakil-wakil Rumah Putih untuk meneruskan rundingan ini, dan seorang pegawai kanan pentadbiran Biden menyatakan bahawa kehadiran Witkoff adalah kunci dalam mencapai persetujuan selepas 96 jam rundingan.
Perundingan untuk melaksanakan fasa kedua perjanjian ini dijangka akan bermula pada hari ke-16 fasa pertama, yang dijangka melibatkan pembebasan semua tebusan yang masih tinggal, gencatan senjata secara kekal, dan penarikan pasukan tentera Israel dari Gaza.
Fasa ketiga akan fokus pada pemulangan jenazah dan permulaan pembinaan semula Gaza yang akan diawasi oleh Mesir, Qatar dan PBB.
Serangan ke atas Gaza bermula selepas serangan besar-besaran yang dilakukan oleh pejuang Hamas pada 7 Oktober 2023, yang membunuh lebih 1,200 orang termasuk tentera dan orang awam Israel, serta menawan lebih daripada 250 orang. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg