MUMBAI: Pakar perubatan India memulakan penutupan 24 jam perkhidmatan bukan kecemasan di seluruh negara pada 17 Ogos sebagai tanda protes terhadap kejadian rogol dan pembunuhan seorang doktor pelatih di bandar timur Kolkata.
Penutupan itu yang bermula pada 6 pagi (8.30 pagi waktu Singapura) telah memutuskan akses kepada prosedur perubatan elektif dan perundingan pesakit luar di negara paling ramai penduduk di dunia itu, menurut kenyataan Persatuan Perubatan India (IMA).
Namun, jabatan kecemasan di hospital terus beroperasi.
Seorang doktor pelatih berusia 31 tahun dirogol dan dibunuh di dalam sebuah maktab perubatan di Kolkata, tempat beliau bekerja minggu lalu, sekali gus mencetuskan bantahan dalam kalangan doktor di seluruh negara tersebut.
Kejadian itu menggambarkan persamaan dengan peristiwa rogol beramai-ramai dan pembunuhan seorang pelajar berusia 23 tahun di dalam bas yang sedang bergerak di New Delhi pada 2012.
Kemarahan terhadap kegagalan undang-undang keras untuk menghalang gelombang keganasan yang semakin meningkat terhadap wanita mencetuskan bantahan oleh doktor dan kumpulan hak wanita.
“Wanita membentuk sebahagian besar doktor di India. Berkali-kali, kami meminta keselamatan untuk mereka,” kata Presiden IMA, Encik RV Asokan, kepada agensi berita Reuters pada 16 Ogos.
Lebih sejuta pegawai perubatan menyertai mogok itu.
Doktor kanak-kanak di hospital swasta, Dr Sandip Saha, menjelaskan beliau tidak akan bertemu pesakit kecuali dalam kes kecemasan.
Di Odisha, pesakit beratur manakala doktor kanan cuba tangani kekecohan yang melanda.
“Semua doktor mogok. Tekanan memuncak buat doktor kanan khususnya,” kata Superintendan Perubatan Tambahan di Institut Sains Perubatan All India di kota Bhubaneswar, Dr Prabhas Ranjan Tripathy.
Sesetengah pesakit pula beratur di hospital dan tidak tahu menahu mengenai keadaan huru-hara itu.
“Saya sudah pun menghabiskan 500 rupee ($7.80) untuk datang ke sini. Saya lumpuh kaki dan terasa berbahang bak terbakar kulit kaki, kepala dan bahagian tubuh saya yang lain.
“Kami tak tahu ada mogok dalam kalangan doktor di sini. Nak buat apa sekarang? Terpaksalah pulang rumah kembali,” kata seorang pesakit di Hospital Maktab Perubatan SCB di Cuttack, Odisha, dalam satu wawancara televisyen. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg