Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia izin gugurkan kandungan secara bersyarat

Peraturan baru tetap dapat kritikan hebat aktivis hak asasi manusia di negara itu yang perjuangkan nasib mangsa kes-kes rogol
Aug 10, 2024 | 5:30 AM
Sedang Badan Kependudukan dan Keluarga Berencana Nasional (BKKBN) Indonesia  menggalakkan perancangan keluarga dan meningkatkan kesedaran akan kepentingan isu kependudukan, Indonesia turut melonggarkan had tempoh bagi gugurkan kandungan.
Sedang Badan Kependudukan dan Keluarga Berencana Nasional (BKKBN) Indonesia menggalakkan perancangan keluarga dan meningkatkan kesedaran akan kepentingan isu kependudukan, Indonesia turut melonggarkan had tempoh bagi gugurkan kandungan. - Foto BKKBN

JAKARTA: Kajian pada 2018 di Jawa yang menempatkan hampir 60 peratus rakyat Indonesia menganggarkan 1.7 juta pengguguran kandungan berlaku di sana setiap tahun.

Gesaan untuk menghapuskan jenayah pengguguran kandungan di Indonesia semakin ketara selepas seorang remaja dirogol oleh abangnya dijatuhi hukuman penjara enam bulan pada 2018 kerana menggugurkan kandungan.

Remaja berkenaan kemudian dibebaskan oleh mahkamah yang lebih tinggi selepas bantahan awam.

Berdasarkan Undang-Undang Kesihatan 2009, pengguguran hanya dibenarkan apabila sesuatu kandungan memberikan risiko perubatan atau kehamilan yang berpunca daripada kes rogol, sehingga mencetuskan trauma secara fisiologi.

Pakar sejak itu mendesak supaya pemerintah menyediakan kemudahan lebih baik untuk menjalankan prosedur yang selamat, memandang permintaan terhadap perkhidmatan pengguguran bayi kekal tinggi di Jakarta.

Akhirnya Indonesia membenarkan wanita menggugurkan kandungan sehingga usia 14 minggu dalam keadaan tertentu, berbanding had enam minggu sebelum ini.

Peraturan baru itu ditandatangani menjadi undang-undang oleh Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo pada lewat Julai 2024 berikutan tuntutan daripada aktivis hak wanita dan pengamal penjagaan kesihatan.

Mereka berpendapat bahawa peraturan sebelum ini terlalu ketat terutama dalam kes rogol, menyebabkan beberapa wanita dan kanak-kanak perempuan dihukum penjara kerana menggugurkan kandungan yang melebihi enam minggu.

Ia juga sebahagian daripada perubahan peraturan bertujuan mengekang kadar kematian ibu bersalin di Indonesia yang mencatatkan jumlah tertinggi di Asia Tenggara.

Pengguguran bayi adalah dilarang di Indonesia, negara paling ramai penduduk Islam di dunia, kecuali bagi tujuan kecemasan perubatan atau kes jenayah rogol.

Namun peraturan baru mengenai kebenaran untuk menggugurkan kandungan oleh Polis Indonesia kepada mangsa rogol mendapat kritikan hebat daripada aktivis hak asasi manusia di negara itu.

Aktivis hak asasi manusia di Indonesia menganggap peraturan baru berkenaan adalah regresif atau sesuatu yang melangkah ke belakang.

Menggugurkan kandungan adalah salah di sisi undang-undang Indonesia melainkan jika si ibu mengalami komplikasi yang mengancam nyawa atau dalam keadaan tertentu seperti menjadi mangsa rogol.

Peraturan baru itu menetapkan bahawa untuk diiktiraf sebagai mangsa rogol, wanita terbabit perlu mendapatkan dokumen yang hanya boleh dikeluarkan oleh polis di negara itu.

Sebelum ini, wanita yang menjadi mangsa rogol boleh mendapatkan dokumen berkenaan daripada pakar perubatan atau ahli psikologi.

Sementara itu, Jurucakap Polis Indonesia tidak segera memberi maklum balas untuk menghuraikan peraturan baru berkenaan yang merupakan sebahagian daripada undang-undang kesihatan yang lebih luas dan berkuat kuasa serta-merta, atau mengenai prosedur polis untuk menangani mangsa rogol di negara itu.

Menurut Cik Maidina Rahmawati dari Institut Pembaharuan Keadilan Jenayah Indonesia (ICJR), polis masih belum mengeluarkan sebarang peraturan terperinci mengenai bantuan khusus kepada mangsa rogol, termasuk menyediakan pelan kecemasan atau perkhidmatan pengguguran kandungan yang lebih selamat serta latihan khas untuk pihak berkuasa.

Sementara itu, kumpulan aktivis hak wanita di Indonesia mendakwa perubahan peraturan berkenaan mungkin akan menghalang mangsa rogol daripada meminta bantuan daripada pihak berkuasa.

“Secara umumnya wanita masih takut kerana budaya, norma dan juga agama,” kata Cik Olin Monteiro, dari Kumpulan Feminis Jakarta, satu daripada beberapa kumpulan hak asasi manusia yang menggesa peraturan itu disemak semula.

“Nilai-nilai ini menghalang wanita mencari akses apabila mereka mempunyai hak untuk menamatkan kehamilan. Peraturan ini bermakna mangsa hanya mempunyai satu pilihan. Mereka perlu merujuk ke polis. Jadi, ia sangat terhad,” katanya.

Aktivis Wanita Tunggal yang hanya dikenali sebagai Cik Pawestri mendakwa peraturan baru itu tidak akan membantu mangsa.

“Daripada benar-benar menyokong mangsa rogol, saya fikir ini akan menjadi regresif,” kata Cik Pawestri.

Peraturan baru itu adalah sebahagian daripada langkah lebih luas yang diperkenalkan untuk meningkatkan kesihatan reproduktif wanita.

Antaranya termasuk pembiayaan swasta untuk hospital awam dan peningkatan bekalan doktor dengan menggalakkan doktor terlatih dari luar negara bekerja di Indonesia dan mengurangkan yuran pengajian untuk pelajar perubatan.

Indonesia, ekonomi terbesar Asia Tenggara, mempunyai enam doktor bagi setiap 10,000 orang, berbanding 25 di Singapura dan sembilan di Thailand, menurut data Bank Dunia.

Dengan 189 kematian ibu bagi setiap 100,000 kelahiran, Indonesia mempunyai nisbah kematian ibu yang jauh lebih tinggi berbanding negara-negara lain di rantau ini.

Indonesia sedang berusaha untuk menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk 278 juta penduduknya kerana kekurangan doktor di kawasan terpencil dan masa menunggu selama berbulan-bulan untuk rawatan.

Republik itu juga mahu mengekalkan jangka hayatnya pada 71.3 tahun pada 2019, berbanding dengan purata 76.3 tahun bagi golongan negara berpendapatan sederhana dan ke atas. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg