DHAKA: Ketua polis Bangladesh yang baru dilantik pada 7 Ogos menawarkan permohonan maaf atas kelakuan pegawainya semasa bantahan ganas baru-baru ini, dan berikrar menjalankan siasatan “tidak berat sebelah” terhadap pembunuhan yang berlaku.
“Kami komited menjalankan siasatan yang adil dan saksama terhadap setiap pembunuhan pelajar, rakyat biasa dan polis baru-baru ini,” kata Ketua Polis Negara, Encik Md Mainul Islam, kepada wartawan.
“Semasa berlaku bantahan... pegawai kami yang bertanggungjawab sebelum ini tidak dapat melaksanakan tugas mereka seperti yang diharapkan oleh rakyat negara,” tambahnya, sehari selepas beliau dilantik berikutan penyingkiran perdana menteri Cik Sheikh Hasina.
“Saya, sebagai ketua polis, memohon maaf bagi pihak polis Bangladesh,” katanya, lapor agensi berita AFP.
Beliau juga telah meminta unit polis untuk menamatkan mogok mereka dan kembali bertugas pada 8 Ogos, apabila perintis kewangan mikro yang memenangi Hadiah Nobel, Encik Muhammad Yunus bersedia untuk kembali ke negara ini untuk memimpin pemerintah sementara.
Lebih 400 orang terbunuh dalam pertempuran berminggu-minggu antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan, sebelum bekas perdana menteri Cik Hasina meletak jawatan pada 5 Ogos.
Antara 44 mayat yang dibawa ke Hospital Kolej Perubatan Dhaka pada 5 Ogos – hari paling dahsyat sejak pergolakan bermula pada awal Julai – ramai daripada mereka adalah lelaki muda dan hampir kesemuanya alami luka tembak.
Sejak Cik Hasina melarikan diri, polis melaporkan kumpulan perusuh melancarkan serangan balas dendam terhadap sekutu beliau serta balai polis dan pegawai polis.
Kesatuan sekerja anggota polis berkata anggota mereka telah melancarkan mogok pada 6 Ogos “sehingga keselamatan” pegawai terjamin.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg