MAGDEBURG: Mahkamah Jerman pada 26 Jun menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang doktor warga Arab Saudi selepas didapati bersalah membunuh enam orang dan mencederakan ratusan lagi dalam serangan rempuhan kereta di pasar Krismas di bandar Magdeburg pada Disember 2024.

Serangan itu mengejutkan Jerman kerana berlaku di pasar Krismas yang sesak menjelang musim perayaan.

Ia turut mencetuskan perdebatan politik mengenai imigresen dan keselamatan awam, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum Jerman pada Februari 2025.

Tertuduh ialah Taleb al-Abdulmohsen, 51 tahun, seorang pakar psikiatri kelahiran Arab Saudi. Mengikut amalan undang-undang privasi Jerman, namanya sebelum ini sering dilaporkan sebagai Taleb A.

Pihak berkuasa Jerman berkata dia mempunyai sejarah mempunya pandangan dan kenyataan anti-Islam serta pernah dikaitkan dengan pandangan pelampau sayap kanan.

Pendakwa raya berkata serangan itu dirancang selama beberapa minggu sebelum tertuduh memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) BMW yang disewa ke arah orang ramai di pasar Krismas berkenaan.

Menurut pihak pendakwaan, serangan tersebut berlaku selama satu minit empat saat.

Lima wanita berusia antara 45 hingga 75 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun terbunuh dalam kejadian itu.

Selain enam pertuduhan membunuh, tertuduh turut berdepan 338 pertuduhan cubaan membunuh.

Pendakwa raya sebelum ini memohon hukuman penjara seumur hidup serta pengisytiharan bahawa jenayah itu mempunyai “graviti khusus”, yang boleh memastikan tertuduh kekal dipenjara sepanjang hayatnya.

Mahkamah akhirnya bersetuju dengan permohonan tersebut.

Sepanjang perbicaraan, Taleb mengaku memandu kenderaan itu merempuh pasar Krismas di bandar timur Jerman tersebut pada 20 Disember 2024, namun menafikan dia sengaja menyasarkan orang ramai.

Pihak pendakwaan bagaimanapun menolak dakwaan itu dan menegaskan serangan tersebut dilakukan secara sengaja.

Menurut pendakwaan, tindakan tertuduh didorong perasaan dendam dan keinginan mendapatkan perhatian umum.

Penyiasat berkata tertuduh memandu SUV itu pada kelajuan sehingga 48 kilometer sejam ketika merempuh kawasan pasar yang dipenuhi pengunjung menjelang sambutan Krismas.

Pendakwa raya turut berkata tertuduh dipercayai bertindak bersendirian.

Dia bertindak akibat rasa tidak puas hati terhadap keputusan pertikaian undang-undang sivil serta kegagalannya dalam beberapa aduan jenayah yang dikemukakan sebelum ini.

Perbicaraan yang berlangsung selama beberapa bulan itu melibatkan lebih 100 saksi serta ratusan mangsa dan ahli keluarga mangsa.

Perbicaraan itu turut meneliti kecenderungan tertuduh terhadap fahaman yang menentang Islam, sokongannya kepada teori konspirasi pelampau sayap kanan serta rasa tidak puas hatinya terhadap pihak berkuasa Jerman.

Pendakwa raya berkata tertuduh langsung tidak menunjukkan penyesalan sepanjang prosiding berlangsung.

Laporan penilaian psikiatri mendapati Taleb mengalami gangguan personaliti narsistik, namun pakar mengesahkan dia masih bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakannya dari sudut jenayah.

Laporan itu turut menyatakan tertuduh masih dianggap berbahaya.

Serangan di Magdeburg itu menjadi antara serangan paling maut di Jerman dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Kejadian tersebut mencetuskan kebimbangan besar terhadap keselamatan awam serta meningkatkan tekanan politik berkaitan dasar imigresen dan pemantauan individu berisiko tinggi.

Selepas serangan berlaku, beberapa parti politik kanan menggunakan isu itu untuk menggesa kawalan imigresen lebih ketat dan penilaian keselamatan lebih menyeluruh terhadap pendatang.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Jerman menegaskan serangan itu dilakukan oleh individu yang bertindak sendiri dan tidak mewakili mana-mana komuniti tertentu.

Pemerintah Jerman sebelum ini turut berjanji memperkukuh pemantauan terhadap ancaman ekstremisme dan mempertingkat langkah keselamatan di lokasi awam terutama ketika musim perayaan.

Pasar Krismas di Jerman terkenal sebagai antara tarikan utama hujung tahun dan biasanya dikunjungi jutaan penduduk tempatan serta pelancong.

Namun sejak beberapa tahun lalu, lokasi sedemikian semakin diberi perhatian keselamatan susulan beberapa insiden keganasan dan serangan menggunakan kenderaan di Eropah.

Dalam kes Magdeburg, ramai mangsa yang terselamat mengalami kecederaan serius dan trauma psikologi akibat kejadian tersebut.

Mahkamah berkata hukuman berat itu mencerminkan tahap keganasan serangan serta kesan mendalam terhadap mangsa, keluarga mereka dan masyarakat Jerman secara keseluruhan. - Agensi berita