MAGDEBURG; Jerman: Warga Arab Saudi yang didakwa melakukan serangan maut ke atas sebuah pasar Krismas di bandar Magdeburg di Saxony-Anhalt, Jerman, yang membunuh lima orang dan mencederakan lebih 200, telah memberi amaran di media sosial bahawa “sesuatu yang besar akan berlaku”.
Taleb Jawad al-Abdulmohsen, seorang doktor berusia 50 tahun, ditangkap polis selepas kereta BMW berwarna hitam yang dipandunya merempuh dengan laju sepanjang 400 meter pasar yang sesak itu pada 20 Disember.
Dia dilaporkan sebagai seorang aktivis anti-Islam dan ateis (orang tidak mengakui atau mempercayai kewujudan Tuhan).
Beberapa orang yang dirempuh dalam kejadian itu melambung ke udara. Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun antara yang terbunuh dalam kejadian itu. Seramai 41 mangsa dalam keadaan kritikal dengan kecederaan mengancam nyawa. Mangsa yang cedera sedang dirawat di 15 klinik.
Al-Abdulmohsen, yang datang ke Jerman pada 2006 dan memohon suaka 10 tahun kemudian, ditangkap polis yang lengkap bersenjata selepas satu pergelutan yang disaksikan orang ramai yang terkejut akan kejadian itu.
Dia diberitahu polis berkali-kali supaya baring di atas tanah di sebelah kereta yang dipandunya.
Saintis forensik sedang menyiasat kemungkinan al-Abdulmohsen sengaja mematikan mekanisme brek kecemasan kereta itu, yang disewanya sebelum serangan tersebut, untuk memaksimumkan impak rempuhan.
Agensi berita AFP melaporkan bahawa al-Abdulmohsen telah beberapa kali melakukan ancaman membunuh warga Jerman dan ada rekod bertelagah dengan pihak berkuasa Jerman.
Majalah Der Spiegel berkata beberapa sumber keselamatan yang boleh dipercayai bahkan mendedahkan khidmat risikan Arab Saudi telah banyak kali memberi amaran kepada agensi risikan Jerman, BND, sejak 2023 mengenai kiriman ‘tweet’ al-Abdulmohsen yang mengancam Jerman akan menerima balasan besar kerana tidak peka melayan pelarian Arab Saudi.
Dalam satu sidang media yang diadakan oleh polis dan pendakwa raya pada 21 Disember, seorang pegawai berkata soal siasat awal ke atas al-Abdulmohsen, yang telah didakwa dengan lima pertuduhan membunuh dan 200 percubaan membunuh, telah dijalankan, tetapi beliau enggan mendedahkan apa-apa yang dikatakan suspek.
Namun, apabila ditanya mengenai motif al-Abdulmohsen, seorang pengkritik Islam dan pembela wanita Arab Saudi, Encik Horst Walter Nopens, berkata: “Mungkin dia tidak berpuas hati mengenai cara pelarian Arab Saudi ditangani di Magdeburg.”
Encik Nopens berkata penyerang itu memintas tanda keselamatan dan menggunakan laluan bagi kenderaan perkhidmatan kecemasan ketika memasuki pasar tersebut.
Laluan itu sepatutnya disekat dan hanya ambulans serta kenderaan polis dibenarkan masuk.
Di tengah-tengah persoalan sama ada perbuatan penyerang itu boleh dihentikan lebih awal, Encik Nopens berkata: “Kami tidak mempunyai pelaku itu dalam senarai tumpuan kami.”
Antara banyak ancaman keganasan yang dilaporkan dibuat di media sosial oleh al-Abdulmohsen adalah hasrat membunuh mantan canselor Jerman, Cik Angela Merkel, kerana percubaannya “mengislamkan Eropah” dengan membenarkan pelarian masuk ke negara itu dalam jumlah yang besar pada 2015.
Al-Abdulmohsen menuduh pihak berkuasa Jerman cuba melarangnya dan mendakwa dipinggirkan oleh rakan dan keluarganya selepas secara rasmi mengumumkan dia telah meninggalkan agama Islam.
Pesakit – selalunya pencari suaka – di klinik Al-Abdulmohsen bekerja sebagai perunding psikiatri dan psikoterapi, yang terletak 15 kilometer ke selatan Magdeburg, menuduhnya sebagai “orang jahat” kerana berbuat demikian, katanya.
Pihak berkuasa Arab Saudi memberitahu media Jerman mereka telah memberi amaran kepada pihak berkuasa Jerman lebih daripada sekali bahawa al-Abdulmohsen boleh menimbulkan ancaman. Tidak jelas sama ada amaran itu membawa pada sebarang tindakan.
Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz, yang melawat tempat kejadian pada 21 Disember, menyifatkan serangan itu sebagai “mengerikan dan gila”.
Selepas meletak sekuntum mawar putih di tempat kejadian, Encik Scholz berkata serangan di pasar Krismas itu amat mengejutkan, begitu juga masanya.
Kejadian itu berlaku hampir lapan tahun setelah seorang pengganas Islam memandu sebuah lori yang dicurinya dengan laju dan merempuh sebuah pasar Krismas di Breitscheidplatz di Berlin, membunuh 12 orang dan mencederakan ramai lagi. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg