Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Doktor sukar tangani kebuluran kanak-kanak di Gaza

Feb 26, 2024 | 05:30 AM



RAFAH (Jaluran Gaza): Para pekerja perubatan melilitkan jalur plastik bagi mengukur sekeliling lengan atas kanak-kanak kecil dalam khemah di Rafah.


Seorang demi seorang kanak-kanak menjalani pemeriksaan itu yang bertujuan mengesan tanda-tanda berat badan menyusut di tengah-tengah krisis kelaparan yang melanda Gaza selepas peperangan melibatkan tentera Israel meletus sejak beberapa bulan lalu.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia sekitar dua setengah tahun mempunyai tangan yang kecil, kulitnya sudah mula menggelebeh selepas berat badannya menyusut daripada 11 kilogram sebelum konflik kepada tujuh kilogram sekarang, kata ibunya, Cik Hana Tabash.

Data awal daripada ukuran yang diambil di sekitar Gaza menunjukkan 5 peratus kanak-kanak bawah lima tahun di kawasan kecil Palestin yang sesak itu, kini mengalami kekurangan zat makanan, kata Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Salah seorang doktor daripada pasukan MedGlobal yang bekerja dengan Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak PBB (Unicef), Dr Muhammed Abu Sultan, berkata keadaan kesihatan yang teruk di Gaza dan ketidakcukupan makanan menyebabkan masalah kekurangan zat makanan semakin berleluasa.

Agensi bantuan telah menuduh Israel menghalang penghantaran bantuan ke Gaza dan mendakwa pihak tentera menghalang pengagihan di luar kawasan selatan sekitar Rafah.

Krisis kelaparan dipercayai jauh lebih teruk di kawasan utara yang lebih sukar ditujui.

Israel menafikan terdapat sebarang langkah membataskan bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza dan sebaliknya telah mengaitkan masalah tersebut dengan mempersoal keupayaan PBB mengagihkannya kepada penduduk.

Menurut Cik Tabash, anak perempuannya memang mengalami kurang berat badan sebelum perang meletus, tetapi ketika keluarga itu meninggalkan rumah mereka di Khan Younis untuk berlindung di Rafah, anaknya semakin kurus.

“Saya pernah memberinya rawatan perubatan dan makanan tambahan, tetapi dengan keadaan semasa, saya tidak dapat mencari penyelesaian untuknya,” kata Cik Tabash sambil menambah bahawa anak perempuannya mengalami masalah kelewatan tumbesaran.

Rafah di selatan Gaza dekat sempadan Mesir, kini menjadi tempat perlindungan sekitar sejuta penduduk Palestin yang mengharapkan bantuan kemanusiaan untuk meneruskan kehidupan.

Perang meletus pada 7 Oktober apabila kumpulan Hamas menyerang selatan Israel, membunuh lebih 1,400 orang, kebanyakannya orang awam, dan menawan sekitar 240 yang lain sebagai tebusan.

Serangan udara dan darat Israel sejak itu telah membunuh lebih 28,500 orang, juga kebanyakan orang awam, kata pihak berkuasa kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.

Israel juga telah mengepung Gaza dan memutuskan bekalan makanan, air, elektrik, gas dan ubat-ubatan sehingga menimbulkan krisis kemanusiaan yang genting di wilayah Palestin itu.

Ketua komunikasi serantau Unicef, Encik Ammar Ammar, yang berpangkalan di Jordan, berkata bahawa dalam tempoh beberapa minggu akan datang, bakal terdapat sekurang-kurangnya 10,000 kanak-kanak di Gaza yang nyawa mereka berisiko terancam ekoran kekurangan zat makanan yang diburukkan lagi dengan kekurangan air minuman bersih.

“Terdapat juga kesan langsung daripada segi perkembangan fizikal, keupayaan kognitif, prestasi sekolah dan produktiviti di kemudian hari akibat daripada kekurangan zat makanan yang mereka alami sekarang,” tambah Encik Ammar. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >