Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk Gaza campur makanan haiwan buat roti​ dek kebuluran

Jan 26, 2024 | 11:58 AM
UNTUK SESUAP NASI: Rakyat Palestin memegang periuk kosong ketika berbaris untuk mendapatkan bantuan makanan yang disediakan oleh kumpulan pemuda Palestin di kem pelarian Rafah, sedang terdapat laporan sebilangan penduduk mengisar makanan haiwan ternakan sebagai bahan menghasilkan roti kerana kekurangan tepung gandum.
UNTUK SESUAP NASI: Rakyat Palestin memegang periuk kosong ketika berbaris untuk mendapatkan bantuan makanan yang disediakan oleh kumpulan pemuda Palestin di kem pelarian Rafah, sedang terdapat laporan sebilangan penduduk mengisar makanan haiwan ternakan sebagai bahan menghasilkan roti kerana kekurangan tepung gandum. - Foto EPA-EFE

GAZA: Akibat kekurangan makanan serius angkara pengeboman Israel dan halangan bantuan ke Gaza, rakyat Palestin terpaksa mengambil langkah terdesak, termasuk mencampurkan makanan haiwan dan makanan burung ke dalam bahan membuat roti.

Agensi Anadolu melaporkan berikutan kepungan Israel, hampir tiada bantuan kemanusiaan sampai ke bahagian utara Gaza, menyebabkan rakyat di daerah itu sengsara menghadapi kekangan makanan.

Makanan haiwan ternakan dilihat dijual di utara Gaza untuk kegunaan manusia berikutan bekalan tepung gandum amat terhad.

Middle East Eye, wadah berita dalam talian yang berpangkalan di United Kingdom, memetik Encik Abu Alaa, seorang penduduk dan pemilik kilang di tengah Gaza, sebagai berkata makanan yang disediakan orang ramai tidak boleh dimakan.

Beberapa rakaman video memaparkan rakyat Palestin terpaksa memakan roti diperbuat daripada makanan haiwan ternakan, 

“Sesuatu harus dilakukan mengenai perkara ini dengan segera. Orang ramai mencampurkan makanan burung dan makanan haiwan ke dalam makanan mereka. Ini tidak betul, ia tidak sihat. Orang ramai mengisar ini dan mencampurkannya ke dalam roti mereka,” tambahnya.

Menurut beliau, perkara itu berlaku berikutan kekurangan penghantaran bantuan selain harga barangan melambung tinggi.

Encik Abu Alaa berkata beliau terpaksa mengurangkan harga gandum kerana keadaan teruk, walaupun kenaikan kos melanda semua orang.

Encik Abu Anas, penduduk tempatan yang tinggal berhampiran kilang, berkata harga makanan di Gaza tidak lagi berpatutan.

Encik Mazen al-Terk, 50 tahun, berkata keadaan telah menjadi kritikal.

“Demi Allah, kami telah berhenti membezakan antara makanan keldai dengan makanan manusia. Kami makan apa saja kerana tiada siapa yang membantu kami.

“Kami menyeru semua negara di seluruh dunia supaya menyokong kami, kerana kami tidak lagi dapat mencari makanan.

“Kami tidak mempunyai akses kepada tepung putih tulen selama tiga bulan sekarang, sejak 9 Oktober ketika Israel mengenakan kepungan penuh.

“Orang ramai mengutip barang dari lantai untuk memakannya.

“Semua anak saya mengalami sakit perut dan cirit-birit akibat makanan tak sihat, air kotor dan sampah di jalanan,” kata Encik al-Terk. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg