Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PBB: Ramai kanak-kanak Gaza hadapi risiko maut akibat kekurangan makanan

Feb 20, 2024 | 12:44 PM



GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran pada 19 Februari bahawa krisis kekurangan bekalan makanan dan zat makanan yang meruncing di Gaza akan mengakibatkan kematian sejumlah besar kanak-kanak di wilayah itu.


Kira-kira 20 minggu sejak meletusnya perang Israel menentang kumpulan militan Hamas di Jaluran Gaza, agensi PBB memberi amaran bahawa bekalan makanan dan air yang selamat telah menjadi “sangat terbatas” di wilayah Palestin itu.

Badan dunia itu menambah bahawa hampir semua kanak-kanak kecil menghidapi penyakit berjangkit.

“Jaluran Gaza akan menyaksikan malapetaka kematian kanak-kanak yang boleh dielakkan, yang akan menambahkan lagi bilangan kematian kanak-kanak yang sudah tidak tertanggung di Gaza,” kata Encik Ted Chaiban, timbalan ketua tindakan kemanusiaan di agensi kanak-kanak PBB, Unicef.

Sekurang-kurangnya 90 peratus kanak-kanak berusia di bawah lima tahun di Gaza terjejas oleh satu atau lebih penyakit berjangkit, menurut penilaian bersama oleh agensi PBB untuk kanak-kanak, makanan dan kesihatan.

Sementara 70 peratus lagi telah mengalami cirit-birit dalam masa dua minggu sebelum penilaian itu dibuat.

Keadaan ini menandakan peningkatan 23 kali ganda, berbanding dengan angka garis dasar 2022.

“Kelaparan dan penyakit adalah gabungan yang membawa maut,” kata pengarah kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Encik Mike Ryan, dalam satu kenyataan.

“Kanak-kanak yang kelaparan berasa lemah dan sangat trauma, lebih mudah jatuh sakit. Kanak-kanak yang sakit pula, terutamanya yang mengalami cirit-birit, tidak dapat menyerap nutrien dengan baik,” jelas Encik Ryan.

“Ini bahaya dan tragis, dan berlaku di hadapan mata kita,” ujar beliau.

Serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas selatan Israel mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan agensi berita AFP berdasarkan angka rasmi Israel.


Serangan balas Israel ke atas Gaza pula telah membunuh lebih 29,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan wilayah kendalian Hamas.

Sejak permulaan perang, Gaza telah terjerumus ke dalam krisis pemakanan dengan bantuan luar sangat terhad.

Penilaian PBB menunjukkan bahawa lebih 15 peratus kanak-kanak di bawah umur dua tahun di utara Gaza – satu daripada enam – mengalami kekurangan zat makanan, manakala 3 peratus lagi mengalami keadaan kesihatan yang mengancam nyawa mereka.

“Memandangkan data dikumpul pada Januari, keadaan mungkin lebih buruk hari ini,” agensi PBB itu memberi amaran.

Di selatan Gaza, 5 peratus kanak-kanak di bawah usia dua tahun mengalami kekurangan zat makanan akut, menurut penilaian itu.

Sebelum perang, hanya 0.8 peratus kanak-kanak berusia bawah lima tahun di Gaza dianggap kekurangan zat makanan akut, kata agensi PBB.

“Penurunan status pemakanan penduduk dalam tempoh tiga bulan tidak pernah berlaku sebelum ini di seluruh dunia,” kata mereka. – AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >