TEL AVIV: Sebuah dokumentari Israel mengenai kematian orang awam di Gaza mencetuskan pertikaian politik menjelang pilihan raya negara itu, dengan pengarah dan keluarga mereka menerima ancaman sedang Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mahu menggubal undang-undang yang membolehkan kewarganegaraan mereka yang didakwa memburukkan tentera Israel ditarik balik.

Kontroversi tercetus selepas dokumentari ‘NAZA’, arahan wartawan Israel, Encik Yuval Abraham dan Cik Rachel Szor, memenangi Hadiah Khas Juri di Festival Filem Venice pada 12 September.

Filem itu menggunakan keterangan tanpa mendedahkan identiti 24 anggota tentera dan pegawai perisikan Israel bagi mengetengahkan dakwaan mengenai cara sasaran serangan di Gaza dan kematian orang awam yang terhasil daripada operasi tersebut.

Tentera Israel menolak dakwaan dalam dokumentari itu dan mempertikaikan penggunaan sumber tanpa nama yang menurutnya menyukarkan pengesahan identiti, jawatan dan penglibatan mereka dalam operasi di Gaza.

Pertikaian itu semakin memuncak selepas Encik Netanyahu pada 16 September mengumumkan rancangan memperkenalkan dua rang undang-undang terhadap mereka yang menurutnya memburukkan anggota tentera Israel.

Rang undang-undang pertama akan membuka jalan kepada penarikan kewarganegaraan, manakala satu lagi akan meningkatkan sehingga 20 kali ganda jumlah ganti rugi yang boleh dituntut dalam saman fitnah berkaitan tentera.

Encik Netanyahu secara khusus menyebut ‘NAZA’ ketika mengumumkan langkah tersebut dan menuduh filem itu menggambarkan pegawai serta anggota tentera Israel sebagai penjenayah perang.

“Tempat mereka bukan bersama kita,” katanya dalam rakaman video yang disiarkan di media sosial.

Langkah itu diumumkan ketika Israel bakal mengadakan pilihan raya pada 27 Oktober, dengan perang Gaza dan tindakan pemerintah Encik Netanyahu sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 menjadi antara isu utama kempen.

Reaksi terhadap filem itu tidak terhad kepada perdebatan politik.

Puluhan penunjuk perasaan berhimpun di luar rumah ibu bapa Cik Szor di Savyon, tengah Israel, pada 16 September, dengan sebahagian mereka melaungkan slogan mengecam pembikin filem tersebut.

Bantahan itu diketuai aktivis sayap kanan Mordechai David, yang berikrar akan meneruskan tindakan terhadap pembikin dokumentari dan keluarga mereka.

Di Ashdod, selatan Israel, sebuah mural yang memaparkan wajah Encik Abraham dan Cik Szor turut muncul dengan sasaran berwarna merah dan perkataan “pengkhianat”.

Ancaman terhadap kedua-dua pengarah itu mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan mereka dan kebebasan bersuara di Israel.

Kesatuan Wartawan di Israel mengecam ancaman terhadap pembikin filem tersebut dan menegaskan bahawa kebebasan bersuara merupakan asas demokrasi.

Kontroversi itu bermula selepas ‘NAZA’ ditayangkan di Festival Filem Venice dan menerima tepukan gemuruh selama kira-kira 25 minit sebelum memenangi Hadiah Khas Juri.

Dokumentari sepanjang 80 minit itu meneliti penggunaan sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) dalam menentukan sasaran serangan Israel di Gaza.

Nama ‘NAZA’ diambil daripada istilah yang digunakan berkaitan anggaran kerosakan sampingan, termasuk jumlah orang awam yang dijangka menjadi korban dalam sesuatu serangan.

Pembikin filem itu mendakwa keterangan sumber mereka menunjukkan jumlah korban awam yang tinggi diketahui ketika beberapa keputusan serangan dibuat.

Tentera Israel menolak dakwaan tersebut dan berkata ia beroperasi mengikut undang-undang antarabangsa serta mengambil langkah untuk mengurangkan kematian orang awam.

Tentera Israel turut berkata dakwaan dalam filem itu bergantung kepada individu tanpa nama yang latar belakang serta peranan mereka tidak dapat disahkan secara bebas.

Ketua Turus tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, sudah mengarahkan penelitian undang-undang terhadap dokumentari tersebut, termasuk kemungkinan mengambil tindakan berkaitan sumber yang memberikan maklumat kepada pembikin filem.

Menteri Kebudayaan Israel, Encik Miki Zohar, pula menuduh kedua-dua pengarah melakukan “pengkhianatan terhadap negara” dan meminta pihak keselamatan menyiasat sumber tanpa nama dalam dokumentari itu.

Kecaman turut datang daripada pembangkang.

Encik Gadi Eisenkot, mantan ketua tentera yang kini menjadi pencabar politik utama Encik Netanyahu, mengecam dokumentari tersebut, manakala pemimpin parti Demokrat, Encik Yair Golan, turut menyatakan penentangannya.

Encik Golan bagaimanapun menuduh Encik Netanyahu menggunakan kontroversi ‘NAZA’ untuk mengalihkan perhatian daripada perdebatan mengenai tindakannya berkaitan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Encik Abraham pula mempertahankan dokumentari itu dan berkata perdebatan mengenai tindakan tentera di Gaza tidak seharusnya disekat.

Kontroversi tersebut berlaku ketika jumlah korban perang Gaza terus meningkat.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata lebih 73,700 rakyat Palestin terbunuh sejak perang bermula. Kementerian yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas itu tidak membezakan antara anggota bersenjata dengan orang awam dalam angka keseluruhannya.

Israel mempertikaikan gambaran bahawa tenteranya sengaja menyasarkan orang awam dan menegaskan operasinya ditujukan terhadap Hamas.

Pertikaian mengenai ‘NAZA’ kini berkembang melangkaui kandungan filem itu kepada perdebatan lebih luas mengenai batas kritikan terhadap tentera, kebebasan bersuara dan penggunaan kewarganegaraan sebagai hukuman, hanya beberapa minggu sebelum rakyat Israel keluar mengundi. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti