ABU DHABI: Kegagalan melaksanakan pelan damai Gaza serta keganasan yang semakin meningkat di Tebing Barat boleh menyebabkan penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin menjadi hampir mustahil untuk dicapai, menurut seorang pegawai kanan Lembaga Keamanan.

Wakil Tinggi bagi Gaza di Lembaga Keamanan, Encik Nickolay Mladenov, berkata keadaan semasa tidak menyediakan laluan politik yang meyakinkan ke arah penyelesaian konflik, terutama apabila sebahagian besar Gaza masih berada di bawah kawalan tentera Israel.

Bercakap di Forum Hili di Abu Dhabi pada 7 September, beliau berkata lebih 50 peratus Gaza kini dikuasai tentera Israel, manakala kurang separuh lagi berada di bawah kawalan Hamas.

“Jika Gaza terus berada dalam keadaan sekarang, atau kita gagal bergerak ke arah melaksanakan pelan menyeluruh yang telah dipersetujui, penyelesaian dua negara secara praktikal akan menjadi mustahil,” katanya.

“Dengan segala yang berlaku di Tebing Barat, dan lebih 50 peratus Gaza kini di bawah kawalan tentera Israel sementara kurang 50 peratus di bawah kawalan Hamas, tiada laluan yang meyakinkan untuk bergerak ke arah penyelesaian politik konflik ini.”

Encik Mladenov berkata usaha menghidupkan kembali prospek penyelesaian dua negara memerlukan tiga perkara utama – pentadbiran peralihan di Gaza, pelucutan senjata dan pengunduran tentera Israel.

Beliau berkata walaupun terdapat kemajuan berbanding setahun lalu, keadaan semasa masih jauh daripada apa yang diperlukan untuk menghasilkan penyelesaian politik yang berkekalan.

“Kita masih berada pada tahap di mana kita perlu memastikan apa yang telah dipersetujui benar-benar dilaksanakan dan dapat mengubah kehidupan penduduk Gaza secara ketara.

“Malangnya, kita belum sampai ke tahap itu,” katanya.

Menurut beliau, perbincangan masih berlangsung dengan Israel mengenai pelaksanaan komitmennya di bawah pelan tersebut, termasuk pengunduran tentera sebagai sebahagian proses yang turut melibatkan pelucutan senjata Hamas dan pembinaan semula Gaza.

Lembaga Keamanan menggariskan pelan pelaksanaan pada 31 Julai bagi menggerakkan fasa seterusnya rancangan Gaza.

Ia merangkumi pelucutan senjata Hamas secara berperingkat, pengunduran tentera Israel secara berperingkat, pemindahan pentadbiran Gaza kepada sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin, penempatan pasukan antarabangsa serta pembinaan semula wilayah itu.

Satu pelan tindakan yang dipersetujui Hamas pada 30 Julai menetapkan proses lucut senjata akan diselia Pasukan Penstabilan Antarabangsa, yang dijangka ditempatkan di Gaza apabila keadaan keselamatan mengizinkan.

Pasukan itu diketuai Mejar Jeneral Amerika Syarikat Jasper Jeffers.

Hamas sebelum ini berikrar menyerahkan senjatanya kepada sebuah badan pentadbiran Palestin yang baru.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyifatkan persetujuan itu sebagai satu kejayaan penting, meskipun Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mempersoalkan sama ada ia dapat dilaksanakan.

Israel pula keberatan untuk meneruskan pengunduran tenteranya sehingga semua senjata Hamas dilucutkan.

Encik Mladenov berkata rundingan mengenai pelucutan senjata Hamas sudah berlangsung selama tujuh bulan dan menyifatkannya sebagai perbincangan yang “sangat sengit dan sangat sukar”.

Beliau turut memuji usaha pengantaraan Turkey, Mesir dan Qatar serta sokongan Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa negara serantau lain.

Menurutnya, terdapat tiga kemungkinan bagi Gaza – mengekalkan keadaan semasa, Israel memperluaskan operasi ketenteraan dan menduduki semula Gaza, atau semua pihak melaksanakan peta jalan Lembaga Keamanan.

Beliau menyifatkan pilihan ketiga sebagai jalan paling munasabah kerana ia menawarkan proses damai melalui persetujuan, pengunduran Israel yang dipersetujui serta pembinaan semula dengan sokongan antarabangsa dan serantau.

Keadaan di Tebing Barat pula menambah tekanan terhadap prospek penyelesaian dua negara.

Keganasan meningkat sejak beberapa bulan lalu, terutama serangan peneroka Israel terhadap penduduk Palestin, selain beberapa serangan oleh rakyat Palestin terhadap warga Israel.

Lebih 500,000 warga Israel kini tinggal di petempatan di Tebing Barat, wilayah yang turut dihuni kira-kira tiga juta rakyat Palestin. Petempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki dianggap tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.

Encik Mladenov turut memberi amaran keadaan kemanusiaan di Gaza masih buruk dan penduduknya tidak mampu menghadapi satu lagi musim sejuk dalam keadaan sekarang.

“Rakyat Palestin mahupun Israel tidak akan ke mana-mana. Tiada siapa akan meninggalkan rumah mereka,” katanya sambil menegaskan perlunya dialog politik dipulihkan bagi mencari jalan membolehkan kedua-dua masyarakat hidup bersama.

Lembaga Keamanan ditubuhkan pada Januari sebagai sebahagian rancangan lebih luas Encik Trump bagi Gaza, dengan Presiden Amerika itu bertindak sebagai pengerusinya.

Badan tersebut, yang disokong Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bertanggungjawab menyelia peralihan Gaza termasuk aspek pentadbiran, keselamatan dan pembinaan semula.

Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG), sebuah badan teknokrat Palestin, turut dibentuk untuk mengambil alih pentadbiran awam, memulihkan perkhidmatan asas dan membina semula institusi di Gaza. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti