DPM Gan: S’pura mungkin tertakluk kepada tarif baru 15% AS
DPM Gan: S’pura mungkin tertakluk kepada tarif baru 15% AS
Pemerintah pantau keadaan, minta penjelasan mengenai pelaksanaan tarif baru
Singapura mungkin tertakluk di bawah tarif baru 15 peratus yang dikenakan Amerika Syarikat ke atas semua barangan import, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, pada 22 Februari.
Perkembangan ini berlaku ketika negara ini juga bersiap sedia bagi kesan tarif baru itu dan sedang mendapatkan penjelasan daripada pihak Amerika mengenai pelaksanaannya.
“Kemungkinannya tarif baru 15 peratus bagi semua negara akan turut dikenakan ke atas Singapura dan kita perlu bersiap sedia bagi kesannya,” ujar Encik Gan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Pusat Masyarakat One Punggol, berikutan pengumuman Presiden Amerika, Encik Donald Trump, pada 21 Februari bahawa cukai import global ke atas barangan yang masuk ke negara itu akan dinaikkan daripada 10 peratus kepada 15 peratus.
Seorang jurucakap Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) berkata pemerintah sedang memantau situasi tersebut dan akan menghubungi pihak Amerika untuk mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan tarif baru itu.
Kenaikan tarif itu dilihat sebagai langkah Encik Trump memperkukuh komitmennya untuk mengekalkan dasar tarif agresifnya sehari selepas Mahkamah Agung memutuskan sebahagian besar daripadanya tidak sah.
Encik Trump berkata di platform Truth Social bahawa selepas meneliti keputusan mahkamah yang “amat anti-Amerika” pada 20 Februari, pentadbirannya memutuskan untuk menaikkan levi import “ke paras maksimum yang dibenarkan dan diuji secara sah, iaitu 15%”.
Tidak lama selepas keputusan mahkamah 6-3 yang menolak kuasa presiden untuk mengenakan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan 1977, Encik Trump pada mulanya mengumumkan levi global 10 peratus baru dengan menggunakan saluran undang-undang yang berbeza.
Pada masa yang sama, beliau melancarkan serangan peribadi yang luar biasa terhadap hakim-hakim konservatif yang menyokong majoriti, mengkritik mereka sebagai “tidak setia” dan menyifatkan mereka sebagai “bodoh”.
Keputusan itu merupakan tamparan hebat daripada Mahkamah Agung, yang biasanya menyokong presiden sejak beliau kembali memegang jawatan dan menandakan kemunduran besar dalam membatalkan dasar ekonomi Trump yang telah mengganggu sistem perdagangan global.
Pengumuman pada 21 Februari itu dijangka mencetuskan ketidakpastian lebih lanjut kerana Encik Trump terus mengemudi perang perdagangan yang telah memberi tekanan dan menghukum negara-negara, baik rakan mahupun lawan.
Ini adalah langkah terbaru dalam proses yang kacau-bilau, yang mana pelbagai tarif dikenakan ke atas negara-negara yang menghantar barangan ke Amerika, kemudian diubah atau dibatalkan oleh pasukan Encik Trump sepanjang 2025.
Cukai baru itu hanya sah sementara, untuk tempoh 150 hari.
Menurut Rumah Putih, pengecualian masih diberi untuk sektor yang berada di bawah siasatan berasingan, termasuk farmaseutikal, serta barangan yang memasuki Amerika di bawah perjanjian Amerika-Mexico-Canada.
Pada 20 Februari, Rumah Putih menyatakan bahawa rakan perdagangan Amerika yang telah mencapai perjanjian tarif berasingan dengan pentadbiran Trump juga akan dikenakan tarif global baru ini.
Keputusan mahkamah pada 20 Februari tidak menjejaskan tarif khusus sektor yang telah dikenakan Encik Trump secara berasingan ke atas keluli, aluminium dan barangan lain.
Siasatan pemerintah yang masih dijalankan boleh membawa kepada tarif sektor tambahan.
Namun, keputusan itu tetap menandakan kekalahan terbesar Encik Trump di Mahkamah Agung sejak beliau kembali ke Rumah Putih 13 bulan lalu.
Mahkamah sebelum ini secara umumnya telah memperluaskan kuasanya.
Encik Trump memuji hakim konservatif (Encik Clarence Thomas, Encik Samuel Alito dan Encik Brett Kavanaugh) yang menyokong kuasanya untuk mengenakan tarif dengan mengucapkan terima kasih “atas kekuatan, kebijaksanaan, dan kecintaan mereka kepada negara”.
Presiden itu mendakwa majoriti enam hakim, termasuk dua yang dilantik semasa penggal pertama beliau, telah “dipengaruhi oleh kepentingan asing”.
“Saya rasa kepentingan asing ini diwakili oleh orang-orang yang saya percaya mempunyai pengaruh yang tidak wajar,” katanya.
Saham di Wall Street – yang menjadi penunjuk penting bagi Encik Trump – naik secara sederhana pada 20 Februari selepas keputusan itu, seperti yang telah dijangka.
Kumpulan perniagaan secara umumnya menyambut baik keputusan itu, dengan Persekutuan Runcit Kebangsaan menyatakan bahawa ia “memberikan kepastian yang sangat diperlukan” kepada syarikat-syarikat. – AFP.

