Tarif ke atas S’pura dijangka kekal

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tarif ke atas S’pura dijangka kekal

Trump kenakan levi global baru sebanyak 10% meski Mahkamah Agung Amerika batal dasar tarif timbal balik utama
Feb 21, 2026 | 5:48 PM

Tarif ke atas S’pura dijangka kekal

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
United States, Amerika Syarikat, Singapore, tariff, Donald Trump
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (dua dari kiri), bertindak mengenakan tarif global baru sebanyak 10 peratus menggunakan peruntukan undang-undang perdagangan yang berbeza. - Foto REUTERS

Barangan dari Singapura tetap akan dikenakan tarif, meskipun Mahkamah Agung Amerika Syarikat membatalkan dasar tarif timbal balik utama Presiden Donald Trump dalam satu keputusan yang mengejutkan.

Mahkamah tertinggi itu memutuskan dengan undian 6-3 pada 20 Februari bahawa Presiden Amerika tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan tarif secara sehala di bawah Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (IEEPA), iaitu peruntukan yang digunakan Encik Trump untuk mengenakan tarif ke atas hampir semua rakan dagang.

Namun, Encik Trump segera bertindak mengenakan tarif global baru sebanyak 10 peratus menggunakan peruntukan undang-undang perdagangan yang berbeza, lapor The Straits Times.

Hanya beberapa jam selepas keputusan bersejarah itu, beliau muncul dalam sidang media di Rumah Putih dan menyifatkan perkembangan tersebut sebagai “amat mengecewakan”.

“Saya malu dengan segelintir hakim yang tidak mempunyai keberanian untuk melakukan apa yang betul demi negara kita.

“Negara asing yang telah mengambil kesempatan ke atas kita selama bertahun-tahun kini bersorak gembira. Tetapi mereka tidak akan lama bergembira!” katanya.

“Saya rasa mahkamah dipengaruhi kepentingan asing dan gerakan politik kecil, tetapi mereka sombong, jahil dan lantang!” tambahnya.

Apabila ditanya mengenai “kepentingan asing” yang dimaksudkan, beliau tidak menamakannya tetapi berkata:

“Mereka mempunyai pengaruh besar terhadap Mahkamah Agung, sama ada melalui rasa takut, hormat atau hubungan peribadi.”

Walaupun mengkritik keputusan itu, Encik Trump tidak kelihatan tergugat meskipun ia mengancam dasar perdagangan utama penggal keduanya.

Katanya, keputusan itu hanya memaksanya mengambil laluan lebih panjang untuk mencapai matlamat sama.

“Adalah satu penghormatan besar bagi saya untuk menandatangani tarif global 10 peratus ke atas semua negara, yang akan berkuat kuasa hampir serta merta,” katanya dalam hantaran di Truth Social.

Tarif baru ini dikenakan di bawah Seksyen 122 (Akta Perdagangan 1974), yang membenarkan surcaj atau kuota import sementara untuk menangani defisit perdagangan yang serius. 

Ia hanya langkah sementara sehingga siasatan lanjut selesai, dengan kadar maksimum 15 peratus dan berkuat kuasa selama 150 hari.

Di bawah IEEPA, barangan dari Singapura – rakan perdagangan bebas Amerika sejak 2004 – dikenakan tarif asas 10 peratus mengikut tarif timbal balik yang diumumkan pada April 2025.

“Memandangkan Singapura sudah pun dikenakan tarif 10 peratus, keadaan sepatutnya kekal stabil,” kata naib presiden kanan Institut Dasar Masyarakat Asia, Cik Wendy Cutler.

Selain tarif asas, kadar berbeza dikenakan ke atas sektor tertentu seperti farmaseutikal dan semikonduktor.

Kira-kira 75 peratus eksport semikonduktor Singapura memasuki pasaran Amerika tanpa duti atau pada kadar dikurangkan susulan pengecualian bagi pusat data, penyelidikan dan pembangunan, aplikasi pengguna serta pembangunan rantaian bekalan di Amerika.

Syarikat farmaseutikal berpangkalan di Singapura pula tertakluk kepada tarif 100 peratus ke atas produk berjenama atau berpaten, kecuali jika syarikat tersebut membina kemudahan pengeluaran di Amerika.

Namun, pelaksanaannya telah ditangguhkan.

Encik Trump berkata beliau mempunyai “alternatif hebat” kepada tarif IEEPA.

Beliau menyebut Seksyen 301 (Akta Perdagangan 1974) yang membolehkan Wakil Perdagangan Amerika menyiasat dan menangani amalan perdagangan tidak adil, termasuk melalui tarif.

Tindakan itu bersifat khusus mengikut negara dan tidak merangkumi semua secara menyeluruh.

Beliau juga merujuk Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962 yang membenarkan presiden mengenakan tarif ke atas import yang mengancam keselamatan negara selepas siasatan oleh Jabatan Perdagangan.

Namun, tiada satu pun peruntukan tersebut membenarkan tarif menyeluruh seperti yang dilaksanakan di bawah IEEPA.

Ia akan menjadikan dasar perdagangan Amerika lebih terikat kepada peraturan dan kurang bergantung kepada pendekatan individu.

Kesan keputusan itu turut dirasai di Asia Tenggara yang sebelum ini menyaksikan kadar tarif timbal balik antara 46 hingga 49 peratus diumumkan pada April 2025.

Sebahagian tarif kemudian diturunkan melalui rundingan perdagangan dengan Indonesia, Malaysia dan Kemboja, termasuk penyelarasan penguatkuasaan dan usaha menghalang pemindahan semula barangan dari China.

“Memandangkan Singapura sudah pun dikenakan tarif 10 peratus, keadaan sepatutnya kekal stabil.”
Cik Wendy Cutler, naib presiden kanan Institut Dasar Masyarakat Asia.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg