Draf pelan Gaza dedah Hamas diizin simpan sebahagian senjata pada peringkat awal
Draf pelan Gaza dedah Hamas diizin simpan sebahagian senjata pada peringkat awal
WASHINGTON/GAZA: Amerika Syarikat memberi tekanan kepada Hamas supaya menyerahkan semua senjata yang berupaya menyerang Israel, namun masih bersedia membenarkan kumpulan itu mengekalkan sebahagian senjata ringan, sekurang-kurangnya pada peringkat awal, menurut satu draf pelan yang sedang dirangka oleh Washington.
Beberapa pegawai dan individu yang mengetahui cadangan itu berkata, satu pasukan yang diketuai Amerika merancang mengemukakan dokumen tersebut kepada Hamas dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Pasukan itu termasuk Encik Jared Kushner, menantu Presiden Donald Trump; Encik Steve Witkoff, utusan khas Amerika bagi misi keamanan; serta Encik Nickolay Mladenov, mantan pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Mereka yang terlibat dalam perbincangan itu, termasuk seorang diplomat serantau, berkata kepada The New Times bahawa maklumat tersebut dikongsikan secara sulit berikutan sensitiviti politik dan keselamatan, sambil menegaskan bahawa butiran pelan masih boleh berubah dan versi lain berkemungkinan muncul.
Jika dikemukakan secara rasmi kepada Hamas, pelan itu akan menjadi usaha paling serius setakat ini untuk melucutkan senjata kumpulan bersenjata berkenaan, yang merupakan teras kepada pelan 20 perkara Trump untuk Gaza.
Pelan tersebut menjadi asas kepada perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas selepas lebih dua tahun peperangan.
Hamas kekal sebagai kuasa Palestin paling dominan di Gaza.
Sekiranya kumpulan itu bersetuju menyerahkan sebahagian besar senjatanya, ia akan dilihat sebagai satu kejayaan besar dalam usaha mengurangkan monopoli kuasa Hamas di wilayah tersebut dan membuka laluan kepada fasa pentadbiran pascaperang.
Bagaimanapun, sehingga kini, masih belum jelas siapa yang akan mengambil alih pemilikan senjata yang diserahkan Hamas atau bagaimana proses pelucutan senjata itu akan dilaksanakan di lapangan.
Jurucakap kepada Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu serta pegawai media Hamas tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen mengenai pelan tersebut.
Jurucakap Rumah Putih, Encik Dylan Johnson, berkata pentadbiran Encik Trump menjangkakan Hamas akan melucutkan senjata dan melaksanakan pelan 20 perkara itu sepenuhnya.
“Amerika bekerjasama rapat dengan semua pihak dan pengantara bagi memastikan pelaksanaan menyeluruh pelan ini serta memajukan rangka keselamatan yang mampan demi kestabilan jangka panjang di rantau ini dan kemakmuran Gaza,” katanya.
Draf pelan itu dilihat selari dengan prinsip yang telah dibincangkan secara terbuka sebelum ini.
Pada Januari lalu, Encik Kushner membentangkan langkah seterusnya bagi pelucutan senjata Gaza dalam satu forum di Davos, Switzerland, dengan menyatakan bahawa “senjata berat” akan “ditamatkan serta-merta”.
Dalam pembentangan itu, beliau turut menyebut bahawa “senjata peribadi” akan “didaftarkan dan ditamatkan penggunaannya” seiring dengan pengambilalihan tanggungjawab keselamatan oleh sebuah pentadbiran Palestin baharu di Gaza.
Namun, pembentangan tersebut tidak memperincikan jenis senjata yang dimaksudkan.
Israel sebelum ini berulang kali menegaskan bahawa ia tidak akan menarik balik tenteranya dari Gaza selagi Hamas dan kumpulan bersenjata lain belum menyerahkan senjata.
Israel juga menganggap rangkaian terowong bawah tanah Hamas yang luas sebagai sebahagian daripada infrastruktur ketenteraan kumpulan itu.
Tanpa pelucutan senjata, pelaksanaan langkah seterusnya dalam pelan 20 perkara Trump, termasuk peranan Lembaga Keamanan, akan berdepan kesukaran besar.
Lembaga Keamanan, sebuah badan yang digagaskan Washington, bertujuan menyelia pelaksanaan gencatan senjata, penstabilan keselamatan dan peralihan tadbir urus di Gaza.
Namun, badan itu turut menerima kritikan kerana mandatnya yang kabur dan pengaruh dominan Amerika.
Encik Kushner, walaupun tidak memegang jawatan rasmi dalam pentadbiran Encik Trump, muncul sebagai antara arkitek utama pelan pascaperang Gaza.
Langkah seterusnya dalam pelan itu termasuk penempatan pasukan penstabilan antarabangsa, pelancaran usaha pembinaan semula berskala besar, serta penyerahan pentadbiran Gaza kepada sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin.
“Pelucutan senjata adalah tunjang kepada segala-galanya,” kata Encik Shira Efron, Pengerusi Dasar Israel di Rand Corporation.
“Jika ia gagal, kita mungkin berdepan dua Gaza, satu di bawah kawalan Israel dan satu lagi di bawah Hamas, atau kembali kepada perang berskala penuh,” katanya.
Israel secara konsisten menolak sebarang penyelesaian yang tidak melibatkan pelucutan senjata sepenuhnya di Gaza, dengan berikrar untuk melumpuhkan keupayaan Hamas melancarkan serangan seperti yang berlaku pada 7 Oktober 2023, yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan mencetuskan perang di wilayah itu.
Pada November lalu, Encik Netanyahu berkata di Parlimen Israel bahawa Hamas akan dilucutkan senjata “dengan cara mudah atau cara sukar, tetapi ia akan berlaku”.
Hamas pula belum menyatakan secara terbuka sama ada ia bersedia menyerahkan senjata.
Malah, idea untuk membincangkan pelucutan senjata telah mencetuskan perpecahan dalaman dalam kumpulan tersebut.
Bagi ramai anggotanya, melepaskan senjata dianggap sebagai penyerahan, memandangkan perjuangan bersenjata menentang Israel merupakan teras ideologi Hamas.
Pada 8 Februari, Encik Khaled Meshal, seorang pemimpin kanan Hamas, memberi bayangan bahawa kumpulan itu mahu mengekalkan senjata, namun tidak merancang menggunakannya dalam masa terdekat.
“Selagi masih ada pendudukan, selagi itu ada penentangan,” katanya dalam satu acara di Doha, Qatar.
Namun, beliau menambah bahawa adalah sukar membayangkan rakyat Gaza mengangkat senjata menentang Israel “dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang”.
Menurut pegawai yang mengetahui draf pelan itu, proses pelucutan senjata dijangka dilaksanakan secara berperingkat dan boleh mengambil masa berbulan-bulan, atau lebih lama.
Dalam temu bual dengan Fox News pada Disember lalu, Encik Netanyahu mendakwa Hamas masih memiliki sekitar 60,000 senapang jenis AK.
Pegawai Israel juga berkata lebih separuh daripada rangkaian terowong bawah tanah di Gaza, yang digunakan untuk menyimpan senjata, berlindung dan menahan tebusan, masih kekal utuh, sekali gus menambah kerumitan kepada sebarang usaha penyahsenjataan menyeluruh. – Agensi berita

