Topik diikuti
Pergi ke BHkuDraf perjanjian terbaharu COP31 masih tidak sebutkan bahan api fosil
Draf perjanjian terbaharu COP31 masih tidak sebutkan bahan api fosil
ANTALYA (Turkey): Kepresidenan Sidang Puncak Perubahan Iklim ke-31 (COP31) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi gagal menyebut tentang bahan api fosil secara eksplisit dalam cadangan perjanjian saat-saat akhir pada 22 November.
Perkara tersebut mencetuskan kebuntuan tegang pada rundingan iklim PBB.
Tawaran terbaharu oleh tuan rumah bersama sidang kemuncak itu, Turkey dan Australia, yang diterbitkan jauh melepasi masa tamat rundingan, meninggalkan ketegangan yang tidak selesai berhubung bahan api fosil yang memanaskan dunia.
Namun, tawaran itu mengekalkan matlamat yang sangat diharapkan untuk ‘mengelektrikkan’ atau menggalakkan penggunaan kuasa elektrik dalam ekonomi global.
Cadangan tersebut memerlukan kelulusan sebulat suara daripada hampir 200 negara pada sesi penutup pada 22 November, tetapi mereka bergelut untuk merapatkan jurang perbezaan semasa rundingan sepanjang dua minggu itu.
Bahan api fosil menjadi titik panas dalam rundingan iklim tersebut, dan sidang kemuncak ini berlangsung di tengah kelonjakan harga tenaga serta ketegangan geopolitik yang berpunca daripada perang di Iran.
Draf perjanjian yang didedahkan awal minggu ini menyeru penamatan berperingkat yang lebih pantas bagi bahan api fosil, namun versi kedua yang dikeluarkan pada 19 November menggugurkan semua sebutan mengenai arang batu, minyak dan gas.
Ancaman untuk keluar daripada rundingan itu mendorong Turkey dan Australia mengadakan mesyuarat tergempar untuk mencari kompromi antara Kesatuan Eropah (EU) dan Arab Saudi, dua kem yang bertentangan dalam isu bahan api fosil.
Teks terbaharu itu memperkenalkan rujukan kepada perjanjian global terdahulu pada tahun 2023 untuk menjauhkan dunia daripada bahan api fosil tetapi tidak menyebutnya secara terang-terangan.
Ia juga mengekalkan dorongan kontroversi untuk memperluas pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), satu teknologi yang diperjuangkan oleh industri bahan api fosil tetapi dikritik sebagai mahal dan tidak berkesan dalam mengurangkan pelepasan karbon.
Draf itu juga menyeru usaha global untuk meningkatkan bahagian elektrik dalam jumlah penggunaan tenaga akhir kepada 35% menjelang 2035 serta peluasan tenaga bersih.
Sidang kemuncak itu berada di bawah tekanan untuk menunjukkan kemajuan dalam menangani pelepasan gas rumah hijau yang melonjak susulan tahun yang menyaksikan bencana berkaitan iklim dari Eropah hingga ke Nepal dan Indonesia.
Berdepan tentangan hebat berhubung bahan api fosil, Turkey dan Australia mengetengahkan “pengelektrikan” sebagai cara untuk mengurangkan pelepasan gas pemerangkap haba dan memperkukuh keselamatan tenaga.
Langkah ini berfungsi dengan menggantikan teknologi yang membakar bahan api fosil secara langsung, seperti kereta diesel dan pemanasan gas, dengan alternatif elektrik.
Namun, beberapa negara menuntut sasaran pengelektrikan bersih secara eksplisit supaya bekalan elektrik tambahan itu dijana oleh tenaga boleh diperbaharui dan bukannya bahan api fosil.
Sekitar satu pertiga daripada bekalan elektrik global dijana menggunakan arang batu dan satu perlima lagi menggunakan gas fosil.
Sementara itu, percubaan oleh Arab Saudi, India dan Kenya untuk menangguhkan set laporan seterusnya oleh Panel Antara Pemerintah mengenai Perubahan Iklim (IPCC) PBB menjadi satu lagi punca utama pergeseran pada rundingan tersebut.
Draf itu menekankan pentingnya laporan-laporan berkenaan bagi penilaian semula usaha pengurangan karbon global yang akan datang pada tahun 2028.
Berpuluh negara di seluruh Eropah, Afrika dan Pasifik mahu penilaian oleh badan berkuasa saintifik global mengenai perubahan iklim itu diterbitkan tepat pada masanya untuk penilaian penting tersebut.
Beberapa negara juga tidak sependapat di COP31 mengenai cara bertindak balas terhadap ancaman pelanggaran sasaran pemanasan 1.5 darjah Celsius yang ditetapkan di bawah perjanjian iklim Paris.
Draf terbaharu itu menyuarakan kebimbangan mendalam bahawa pemanasan global akan melepasi 1.5 darjah Celsius di atas paras pra-industri dalam beberapa tahun akan datang.
Rundingan itu juga tergendala berhubung aduan berpanjangan bahawa negara kaya mengelak daripada tanggungjawab mereka untuk membantu negara membangun menghadapi perubahan iklim.
Pengguguran sasaran AS$120 bilion ($155 bilion) bagi penyesuaian iklim juga telah membangkitkan kemarahan negara membangun. - AFP.
