IDAHO: Pihak berkuasa Amerika Syarikat mengesahkan pada malam 29 Jun bahawa seorang lelaki telah ditemui mati bersama sepucuk senjata api di Canfield Mountain, Idaho - lokasi insiden tembakan terhadap pasukan bomba yang sedang memadam kebakaran hutan.
“Petang ini, pasukan SWAT (Pasukan Khas Senjata dan Taktik) menemui seorang lelaki yang telah meninggal dunia di Canfield Mountain. Sebuah senjata api turut ditemui berhampiran,” menurut kenyataan Pejabat Sheriff Daerah Kootenai.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa perintah perlindungan di tempat tinggal yang dikenakan kepada penduduk sekitar kini telah ditarik balik, namun orang ramai masih diingatkan agar berwaspada kerana kebakaran hutan masih aktif di kawasan terbabit.
Insiden tragis itu berlaku pada 28 Jun sekitar jam 1.30 petang, ketika pasukan bomba tiba di lereng gunung untuk mengawal kebakaran di kawasan rekreasi popular di Daerah Kootenai. Ketika itu, anggota bomba diserang hendap oleh individu bersenjata, menyebabkan dua anggota terbunuh serta beberapa lagi cedera.
“Serangan ini menggunakan senapang berkuasa tinggi, dan mencetuskan insiden berbalas tembakan selama beberapa jam antara suspek dan pihak berkuasa,” kata Sheriff Robert Norris dalam sidang media.
Ketua bomba tempatan, Encik Pat Riley, meluahkan rasa kecewa atas kejadian itu yang disifatkan sebagai tragedi tidak masuk akal terhadap anggota yang menjalankan tugas menyelamat.
“Saya sangat kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku. Setakat ini tiada arahan pemindahan dikeluarkan, walaupun kebakaran belum dikawal sepenuhnya,” katanya kepada stesen tempatan KHQ.
Apabila ditanya tentang risiko kebakaran merebak, Encik Riley berkata: “Ya, memang ada kebimbangan. Tapi sejauh mana, saya tak pasti, kerana kami tidak dapat menghantar kru ke lokasi api disebabkan keadaan keselamatan.”
Beliau turut mengesahkan bahawa semua mangsa yang terbunuh adalah anggota bomba, namun jumlah sebenar yang cedera masih belum dapat dipastikan.
Rakaman dari stesen TV dan gambar yang disiarkan NBC menunjukkan kepulan asap putih tebal menyelubungi kawasan pergunungan dan hutan berhampiran lokasi kejadian.
Menurut Sheriff Robert Harris, siasatan awal menunjukkan kemungkinan lebih daripada seorang penembak terlibat dalam serangan itu. Namun pihak berkuasa masih belum mengenal pasti suspek sepenuhnya, dan tidak menolak kemungkinan siasatan berlarutan selama beberapa hari.
“Kawasan sekitar Trailhead Canfield dan Nettleton Gulch Road kini ditutup sepenuhnya. Kami sedang menjalankan operasi pemindahan dan menyelamat,” kata Sheriff Harris.
Gabenor Idaho, Brad Little, mengecam keras serangan itu dan menyifatkannya sebagai jenayah kejam terhadap anggota barisan hadapan.
“Ini adalah serangan kejam terhadap anggota bomba yang berani. Saya menyeru semua warga Idaho agar mendoakan keselamatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Keganasan senjata api terus menjadi isu besar di Amerika Syarikat.
Menurut data Arkib Keganasan Senjata Api, sebanyak 189 insiden tembakan besar-besaran telah direkodkan setakat tahun 2025 ini, iaitu insiden yang melibatkan sekurang-kurangnya empat orang terkorban atau cedera, tidak termasuk penembak. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg