Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Dua calon presiden Indonesia hasrat tubuhkan agensi serupa HDB

Semua calon presiden ikrar lebih ramai miliki rumah sendiri
Dec 04, 2023 | 02:04 PM



JAKARTA: Semua calon presiden berikrar untuk menyelesaikan masalah perumahan di Indonesia, di mana hartanah tidak terjangkau oleh ramai pemilik rumah, sama ada disebabkan harga melambung tinggi atau bekalan tidak mencukupi bagi menampung permintaan yang meningkat.


Ketiga-tiga calon presiden yang akan bertanding dalam pilihan raya 2024, berjanji untuk memudahkan prosedur gadai janji dan meningkatkan pembinaan perumahan, jika dipilih.

Dua daripadanya juga berhasrat menubuhkan sebuah agensi pemerintah baru, yang serupa dengan Lembaga Perumahan & Pembangunan (HDB) Singapura.

Agensi itu diharapkan dapat merapatkan pemaju hartanah dan orang ramai.

Sekitar 11 juta keluarga di Indonesia menghadapi tunggakan pemilikan rumah pada 2022, dengan hampir 40 peratus daripada golongan milenium menunggu, diikuti oleh Gen X dengan bahagian yang hampir sama, menurut Kementerian Kerja Raya dan Perumahan.

Tinjauan 2021 juga menunjukkan 63 peratus responden milenium, tidak mampu membeli rumah kerana kesukaran memperoleh pembiayaan, menurut data daripada pemberi pinjaman gadai janji milik pemerintah (BTN).

Calon presiden, Encik Anies Baswedan, berkata pada 24 November bahawa beliau mahu memudahkan proses gadai janji, dengan membuka kelayakan kepada pekerja dari sektor tidak formal.

Encik Thomas ‘Tom’ Lembong, ketua bersama pasukan kempen Encik Anies Baswedan dan Encik Muhaimin Iskandar, menjelaskan bahawa sektor kewangan Indonesia sering keberatan untuk mengeluarkan gadai janji kepada kumpulan itu.

Mereka menganggap bahawa pekerja dari sektor tidak formal itu berisiko tinggi dan terdapat kekurangan insentif untuk memasuki segmen.

“Ahli bank kita memerlukan anjakan paradigma. Mereka tidak seharusnya memberi pinjaman hanya kepada orang yang mempunyai slip gaji.

“Pemerintah boleh menjamin risiko yang dilihat oleh bank,” kata Encik Thomas dalam wawancara di televisyen pada 30 November.

Menurut beliau, gadai janji boleh dibuat mampu milik, dengan membenarkan peminjam memenuhi liabiliti mereka dalam tempoh yang lebih lama, dan bukannya purata semasa sekitar 15 hingga 20 tahun.

Untuk mengurangkan risiko, skim itu boleh menggabungkan pilihan insurans dan pembiayaan semula.

Encik Panangian Simanungkalit, pakar hartanah yang mewakili pasukan kempen Encik Prabowo Subianto dan Encik Gibran Rakabuming Raka, juga melihat keperluan memudahkan keperluan gadai janji dan membenarkan pekerja tidak formal membuat pinjaman perumahan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pemerintah tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada BTN untuk membiayai semua bakal pemilik rumah.

Oleh itu, pasukan itu ingin membentuk sebuah institusi kewangan, untuk membiayai gadai janji pekerja tidak formal secara khusus.

“Ia boleh menjadi firma baru atau multifinance yang dimiliki oleh negara,” kata Encik Panangian kepada akhbar, The Jakarta Post pada 29 November.


Pasukan kempen calon presiden Encik Ganjar Pranowo dan Encik Mahfud MD, tidak segera menjawab untuk mendapatkan ulasan berhubung rancangan daripada kem mereka.

Bagaimanapun, Encik Heru Dewanto, setiausaha eksekutif kempen Encik Ganjar berkata pada 11 November bahawa calon itu merancang membina 10 juta rumah dalam tempoh lima tahun pentadbiran.

Pasangan itu juga bertujuan meningkatkan perbelanjaan pemerintah bagi perumahan, sambil menggabungkan sumber lain di luar bajet negeri.

Ia juga mengintai menyediakan kadar faedah yang berpatutan untuk gadai janji, yang boleh bertahan untuk tempoh pinjaman yang lebih lama daripada yang tersedia hari ini.

Encik Panangian menjelaskan, Encik Prabowo juga mempunyai rancangan membina 2 juta rumah di kawasan luar bandar, serta 500,000 rumah berhalaman dan 500,000 unit rumah susun di bandar.

Pembinaan itu akan diselaraskan oleh badan pemerintah baru, yang akan bertanggungjawab menapis siapa yang boleh mendapat manfaat daripada program itu, yang bertujuan memberi khidmat kepada segmen berpendapatan sederhana rendah.

Menurut Encik Panangian, agensi baru itu akan menjalankan penyelidikan dengan banyak pihak berkepentingan, bagi menentukan kawasan yang boleh digunakan bagi tapak perumahan baharu itu, termasuk permintaan dan kuasa beli dari persekitarannya.

Kemudian, agensi itu akan merundingkan transaksi dengan pemilik tanah dan pemaju untuk memberikan pembeli harga yang jauh lebih berpatutan.

Selepas pembinaan selesai, penjualan unit hanya boleh dilakukan melalui agensi, yang akan mempunyai senarai pembeli berpotensi.

Penjualan semula unit itu akan diharamkan bagi tempoh tertentu, katanya.

Encik Thomas daripada pasukan kempen Encik Anies berkata pasukan itu juga mempunyai rancangan yang sama untuk menubuhkan agensi yang mempunyai kuasa, dan kuasa melaksanakan strategi perumahannya, terutama yang berkaitan dengan perancangan, pembinaan, pembiayaan dan pengurusan ladang.

Idea itu diilhamkan oleh HDB di Singapura, serta Perbadanan Tanah dan Perumahan di Korea Selatan, menurutnya.

“Kami membayangkan menggabungkan reformasi pemaju perumahan awam milik pemerintah, Perumnas, dengan pembentukan agensi baru yang menyelaras antara kementerian berkaitan,” katanya sambil menambah, pasangan (Encik Anies-Encik Muhaimin) itu juga bertujuan meningkatkan perbelanjaan pemerintah untuk perumahan.


Sementara itu, Encik Heru dari pasukan kempen Encik Ganjar berkata pasangan itu, jika dipilih, sedang mempertimbangkan membentuk kementerian baru, khusus untuk perumahan, berikutan input daripada pemaju hartanah.

Sebelum ini, Indonesia sudah mempunyai Kementerian Perumahan yang berdiri sendiri, tetapi ia telah digabungkan menjadi Kementerian Kerja Raya dan Perumahan apabila Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo memegang jawatan pada Oktober 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif, Indonesia Property Watch (IPW), Encik Ali Tranghanda, berkata membentuk agensi perumahan boleh membantu mengurus hala tuju pembangunan perumahan, mengimbangi bekalan rumah mampu milik di negara itu dan memastikan ketersediaan bank tanah untuk perumahan awam.

“Berbeza dengan HDB di Singapura, yang menguasai majoriti tanah di negara itu, Indonesia tidak mempunyai bank tanah untuk perumahan awam.

“Justeru, berdasarkan mekanisme pasaran, harga tanah yang ada terus meningkat,” kata Encik Ali dalam laporan, The Jakarta Post, pada 30 November.


Beliau turut mengingatkan calon presiden supaya memberi perhatian kepada celik kewangan dalam kalangan anak muda kerana ramai yang menghadapi kesukaran mendapatkan gadai janji akibat pengurusan wang yang tidak baik, termasuk mempunyai terlalu banyak hutang. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >