NEWCASTLE: Kapten Tottenham Hotspur, Cristian Romero, menjaringkan dua gol melalui tandukan tajam dan ‘sepakan basikal’ untuk memastikan keputusan seri 2-2 buat pasukannya di padang Newcastle United dalam satu perlawanan Liga Perdana England (EPL) yang menghiburkan pada 2 Disember.
Menariknya, gol penyamaan itu berlaku pada masa kecederaan.
Spurs bermain dengan penuh semangat sepanjang perlawanan, namun melepaskan banyak bola kepada pasukan tuan rumah, tetapi akhirnya pemain antarabangsa Argentina, Romero, menyambar peluang untuk meraih satu mata bagi pasukan pelawat itu.
Selepas separuh masa pertama menyaksikan Newcastle menguasai bola tetapi tidak banyak mengancam, Bruno Guimaraes menambah dimensi baru dalam permainan mereka selepas dimasukkan pada waktu rehat, menjaringkan gol pada minit ke-71 susuli gerakan Anthony Gordon dan Nick Woltemade yang bergabung untuk menyajikan peluang jaringan gol yang cantikt.
Spurs menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian menerusi Romero, yang terus menyerang dan berjaya melepasi Dan Burn untuk menjaringkan gol dengan tandukan tajam yang hebat daripada hantaran lintang Mohammed Kudus.
Kegembiraan mereka tidak kekal lama apabila Rodrigo Bentancur memberikan penalti selepas menjatuhkan Burn dan semakan VAR (video pembantu pengadil) yang panjang memberi Gordon peluang untuk meletakkan pasukan tuan rumah kembali di hadapan, dengan menjaringkan gol pada minit ke-86.
Spurs belum sedia menyerah kalah apabila Romero menyumbat gol penyamaan pada minit kelima masa kecederaan melalui sepakan sudut.
Ketika penyerang dan pemain pertahanan berebut-rebut untuk mencari ruang, Newcastle cuba mengeluarkan bola tetapi bola jatuh untuk Romero yang melontarkan dirinya ke udara dan melakukan sepakan akrobatik yang menyaksikan bola melantun cantik ke dalam jaring.
Keputusan itu meletakkan Spurs di tangga ke-11 EPL dengan 19 mata, dengan Newcastle dua tangga di bawah berdasarkan perbezaan gol.
“Gol pertama sangat penting. Dalam tiga atau empat perlawanan terakhir, pasukan kami tidak cukup bagus. Ia merupakan masa yang sukar, tetapi dalam perlawanan ini, saya sukakan mentaliti yang dipamerkan pasukan,” kata Romero.
Menjadi kebiasaan Newcastle pada musim ini untuk kehilangan mata setelah mendahului perlawanan, dengan pengurus Eddie Howe kecewa melihat dua lagi gol membolosi gawang pasukannya terutama gol penyamaan pada lewat perlawanan.
“Kami tidak berada pada tahap terbaik hari ini tetapi kami berjuang untuk mencapai posisi yang kami inginkan, tetapi kami tidak dapat bertahan pada penghujung perlawanan. Ia mengecewakan setelah kami bekerja keras,” katanya. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg