SPH Logo mobile
Langgan|

Dua kapal China berlanggar ketika kejar bot rondaan Filipina

Dua kapal China berlanggar ketika kejar bot rondaan Filipina

Aug 11, 2025 | 4:18 PM

Dua kapal China berlanggar ketika kejar bot rondaan Filipina

Rakaman video yang diambil dan diedarkan pada 11 Ogos 2025 oleh Pengawal Pantai Filipina ini menunjukkan insiden antara sebuah kapal Tentera Laut China (kiri) dan kapal Pengawal Pantai China (kanan) seperti yang dilihat dari sebuah bot nelayan Filipina berhampiran Scarborough Shoal di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian. Menurut Manila pada 11 Ogos, kapal Tentera Laut China telah berlanggar dengan kapal pengawal pantainya sendiri ketika mengejar sebuah bot rondaan Filipina di Laut China Selatan, sambil mendedahkan rakaman video dramatik konfrontasi tersebut.
Rakaman video yang diambil dan diedarkan pada 11 Ogos 2025 oleh Pengawal Pantai Filipina ini menunjukkan insiden antara sebuah kapal Tentera Laut China (kiri) dan kapal Pengawal Pantai China (kanan) seperti yang dilihat dari sebuah bot nelayan Filipina berhampiran Scarborough Shoal di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian. Menurut Manila pada 11 Ogos, kapal Tentera Laut China telah berlanggar dengan kapal pengawal pantainya sendiri ketika mengejar sebuah bot rondaan Filipina di Laut China Selatan, sambil mendedahkan rakaman video dramatik konfrontasi tersebut. - Foto AFP

MANILA: Sebuah kapal tentera laut China dilaporkan berlanggar dengan kapal pengawal pantainya sendiri ketika mengejar sebuah bot rondaan Filipina di Laut China Selatan, kata pihak berkuasa Filipina pada 11 Ogos, sambil mendedahkan rakaman video dramatik insiden tersebut.

Jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Komodor Jay Tarriela, berkata kejadian berlaku berhampiran beting yang menjadi pertikaian, Scarborough Shoal, ketika pihaknya mengiringi bot-bot yang mengagihkan bantuan kepada nelayan di kawasan itu.

Rakaman yang dikeluarkan Manila menunjukkan sebuah kapal pengawal pantai China dan sebuah kapal yang lebih besar dengan nombor lambung 164 berlanggar dengan dentuman kuat.

“(Kapal Pengawal Pantai China) CCG 3104, yang ketika itu sedang mengejar (kapal pengawal pantai Filipina) BRP Suluan pada kelajuan tinggi, melakukan manuver berisiko dari bahagian kanan belakang kapal Filipina, sehingga menyebabkan perlanggaran dengan kapal perang tentera laut China (PLA),” kata Encik Tarriela.

“Kejadian itu menyebabkan kerosakan besar pada bahagian haluan kapal CCG sehingga tidak lagi layak beroperasi di laut,” tambahnya.

Kedutaan China di Manila setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen.

Perlanggaran yang dilaporkan ini adalah insiden terbaru dalam siri konfrontasi antara China dan Filipina di Laut China Selatan, yang hampir keseluruhannya dituntut oleh Beijing walaupun mahkamah antarabangsa telah memutuskan tuntutan tersebut tidak mempunyai asas undang-undang. Lebih 60 peratus perdagangan maritim global melalui laluan perairan yang menjadi pertikaian itu.

Scarborough Shoal - gugusan terumbu karang dan batu berbentuk segi tiga telah menjadi titik panas antara kedua-dua negara sejak China merampasnya daripada Filipina pada 2012. Tidak dapat dipastikan sama ada terdapat mangsa cedera dalam insiden pada 11 Ogos itu.

Encik Tarriela memberitahu AFP bahawa kru kapal China “tidak pernah membalas” tawaran bantuan daripada kapal Filipina. Menurut kenyataan beliau, sebelum perlanggaran berlaku, BRP Suluan telah “disasarkan dengan meriam air” oleh pihak China tetapi “berjaya” mengelak serangan tersebut. - AFP

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg