MANILA: Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan tujuh lagi dirawat di hospital selepas kejadian tembakan di sebuah sekolah menengah di selatan Filipina pada 18 September, insiden maut ketiga membabitkan kampus pendidikan di negara itu sejak Jun.

Kejadian berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Banga di wilayah South Cotabato, Mindanao, sekitar 1.30 tengah hari waktu tempatan.

Seorang pegawai agensi pengurusan bencana wilayah, Encik Rolly Aquino, berkata pasukan penyelamat tempatan menerima panggilan mengenai bunyi tembakan di kawasan sekolah sebelum dikerahkan ke tempat kejadian.

Menurut maklumat awal, kedua-dua mangsa yang terbunuh dipercayai pelajar sekolah berkenaan.

“Setakat yang saya tahu, kedua-duanya pelajar. Maklumat lengkap masih belum diperoleh,” kata Encik Aquino kepada AFP.

Beliau berkata sekurang-kurangnya tujuh lagi mangsa sedang menerima rawatan di hospital.

Pihak berkuasa belum memberikan maklumat mengenai keadaan mereka atau jenis kecederaan yang dialami.

Jumlah individu yang melepaskan tembakan juga belum dapat dipastikan.

Gabenor South Cotabato, Encik Reynaldo Tamayo, berkata keadaan di kawasan berkenaan sudah stabil dan insiden itu telah dapat dikawal.

“Buat masa ini, kami cuba memaklumkan kepada penduduk bahawa keadaan stabil dan kes ini sudah dapat dikawal,” katanya.

“Kami tidak pernah menyangka perkara seperti ini akan berlaku.”

Rakaman video yang dimuat naik ke Facebook dan disahkan AFP menunjukkan seorang lelaki membawa seorang kanak-kanak yang kelihatan cedera keluar dari sekolah sebelum membawanya menaiki motosikal dengan kereta sisi.

Dalam satu lagi rakaman, seorang guru yang bercakap dalam dialek tempatan kedengaran berkata terdapat dua individu yang melepaskan tembakan.

Seorang pelajar pula mendakwa kedua-dua individu berkenaan bukan dari sekolah itu.

Pihak berkuasa belum mengesahkan dakwaan tersebut dan siasatan masih dijalankan bagi menentukan jumlah penyerang serta motif kejadian.

Insiden terbaru itu berlaku ketika Filipina meningkatkan langkah keselamatan di sekolah susulan dua kejadian tembakan maut sejak Jun.

Latihan menghadapi penyerang bersenjata diadakan di seluruh negara bulan ini bagi meningkatkan kesiapsiagaan sekolah dan pihak berkuasa sekiranya berlaku kejadian serupa.

Kejadian tembakan di sekolah dianggap jarang berlaku di Filipina berbanding beberapa negara lain, tetapi beberapa insiden dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini telah meningkatkan kebimbangan mengenai keselamatan pelajar dan kakitangan sekolah.

Pihak berkuasa South Cotabato meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sementara polis menjalankan siasatan dan mengumpulkan maklumat mengenai kejadian tersebut. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti