ZAMBOANGA, Filipina: Dua pelajar maut, termasuk seorang pelajar yang dipercayai melepaskan tembakan, dalam kejadian tembakan di sebuah sekolah menengah di selatan Filipina pada 18 Ogos, insiden kedua seumpamanya di negara itu dalam tempoh kurang dua bulan.

Dua lagi pelajar cedera dalam kejadian di sebuah sekolah yang dikendalikan Universiti Ateneo de Zamboanga, sebuah institusi pendidikan swasta di Bandar Zamboanga.

Menurut laporan awal polis, pelajar Gred 9 yang dipercayai penyerang membawa sepucuk pistol dan senapang ke kawasan sekolah sebelum melepaskan tembakan ke arah pelajar di dalam sebuah bilik darjah.

Seorang pelajar lelaki Gred 10 maut ditembak, manakala dua yang lain cedera.

Pelajar yang melepaskan tembakan itu kemudian dipercayai menembak dirinya sendiri dan meninggal dunia.

Jurucakap polis, Mejar Shellermie Chang, berkata kejadian berlaku sekitar 7.50 pagi waktu tempatan.

Menurut beliau, keadaan berjaya dikawal menjelang 8.40 pagi dan tiada lagi ancaman terhadap pelajar serta kakitangan sekolah.

Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang menjalankan siasatan menyeluruh dan menentukan langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan kejadian keganasan serupa di sekolah.

“Sekolah adalah tempat kita mengamanahkan anak-anak untuk belajar, membesar dan mengimpikan kehidupan mereka pada masa depan. Sekolah juga mesti menjadi antara tempat paling selamat di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Bandar Zamboanga, Encik Khymer Adan Olaso, berkata pelajar berkenaan dipercayai menggunakan senjata api berkuasa tinggi dan sepucuk pistol berkaliber .45 dalam serangan itu.

Beliau berkata penyerang juga dipercayai memakai kamera pada badannya dan menyiarkan tindakannya secara langsung ketika kejadian.

Satu rakaman video yang tersebar dalam talian dilaporkan menunjukkan pelajar itu memasuki sebuah bilik darjah dan melepaskan tembakan ke arah seorang guru tetapi tidak mengenai sasarannya.

Dia kemudian memasuki sebuah lagi bilik darjah dan melepaskan tembakan menggunakan pistol ke arah pelajar, menyebabkan seorang daripada mereka terkena tembakan.

Menurut Encik Olaso, pelajar itu kemudian menghalakan senjata ke arah dirinya sendiri.

Pihak berkuasa belum mengumumkan motif kejadian dan siasatan masih dijalankan bagi menentukan bagaimana pelajar tersebut memperoleh serta membawa senjata api ke sekolah.

Presiden Universiti Ateneo de Zamboanga, Encik Ernald Andal, mengesahkan tiada lagi ancaman tembakan aktif dan tiada kematian atau kecederaan tambahan dilaporkan.

“Kami tidak mahu perkara seperti ini berlaku. Kami mahu mengutamakan keselamatan semua pelajar kami,” katanya.

Universiti itu berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan akan memberikan maklumat lanjut selepas fakta mengenai kejadian itu disahkan.

Semua kelas di Ateneo de Zamboanga University dibatalkan selepas kejadian tersebut, manakala 19 Ogos diisytiharkan sebagai hari berkabung dan berdoa.

Sekolah berkenaan terletak dalam bangunan lima tingkat di kawasan kampus seluas kira-kira lapan hektar yang turut menempatkan pelajar sekolah rendah dan menengah rendah.

Rakaman media selepas kejadian menunjukkan pelajar dan ibu bapa berkumpul di luar pintu masuk sekolah, sementara anggota polis dan tentera bersenjata ditempatkan di kawasan tersebut.

Pasukan penyiasat tempat kejadian turut dilihat memasuki kawasan sekolah.

Pemerintah Bandar Zamboanga berkata pihaknya “amat sedih” dengan kejadian tersebut dan sedang bekerjasama dengan pihak sekolah serta agensi berkaitan.

Orang ramai turut diminta tidak menyebarkan maklumat, gambar atau video yang belum disahkan dan sebaliknya mendapatkan perkembangan daripada saluran rasmi.

“Kami memberi jaminan kepada orang ramai bahawa keadaan terkawal dan langkah keselamatan sewajarnya telah dilaksanakan.

“Keselamatan pelajar, guru dan masyarakat sekolah kekal menjadi keutamaan tertinggi kami,” menurut kenyataan itu.

Kejadian terbaru berlaku kurang dua bulan selepas satu lagi insiden tembakan di sebuah sekolah awam di Tacloban City pada Jun.

Dalam kejadian itu, sekurang-kurangnya tiga pelajar maut dan sekitar 20 yang lain cedera selepas dua pelajar dilaporkan melepaskan tembakan di kawasan sekolah.

Tembakan di sekolah jarang berlaku di Filipina, yang mempunyai peraturan pemilikan senjata api agak ketat.

Pemohon lesen senjata api antara lain perlu menjalani pemeriksaan latar belakang dan penilaian psikologi, walaupun senjata api haram masih beredar di negara itu.

Insiden di Zamboanga turut berlaku kurang 10 hari selepas seorang pelajar melakukan serangan tembakan di sebuah sekolah di pinggir Bangkok, Thailand.

Kejadian terbaru itu dijangka meningkatkan perhatian terhadap keselamatan sekolah dan akses golongan muda kepada senjata api, sedang siasatan pihak berkuasa kini memberi tumpuan kepada motif penyerang serta bagaimana dua senjata dapat dibawa masuk ke kawasan sekolah. -Agensi berita