Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua mayat ditemui dalam pikap yang tenggelam

Empat mayat belum ditemui, lebih banyak kenderaan dipercayai terperangkap dalam timbunan konkrit, keluli terpintal Jambatan Francis Scott Key
Mar 28, 2024 | 2:01 PM
Dua mayat ditemui daripada lori yang tenggelam di jambatan Baltimore yang runtuh
Dua mayat ditemui daripada lori yang tenggelam di jambatan Baltimore yang runtuh - Foto AFP

BALTIMORE (Amerika Syarikat): Mayat dua pekerja pembinaan ditemui di perairan sejuk pelabuhan Baltimore pada 27 Mac, terperangkap dalam trak pikap merah mereka selepas sebuah kapal kargo raksasa penuh dengan muatan merempuh jambatan di Baltimore, menyebabkan ia runtuh.

Polis Maryland mengumumkan penemuan ngeri itu pada satu sidang media dan menambah bahawa alat pengesan menunjukkan apa yang mereka percaya adalah lebih banyak kenderaan terperangkap di bawah timbunan konkrit dan keluli terpintal Jambatan Francis Scott Key itu.

Enam daripada lapan pekerja pembinaan dipercayai terbunuh, dengan empat mayat belum ditemui.

Memberi amaran bahawa tidak selamat bagi penyelam cuba menembusi serpihan itu, polis berkata mereka sedang beralih kepada operasi menyelamat, mengalihkan struktur besar dan kemudian menghantar penyelam kembali untuk mendapatkan mayat yang lain.

“Berdasarkan imbasan sonar, kami yakin kenderaan itu tertimbus dalam struktur besar dan konkrit yang kita lihat secara tragik runtuh,” kata Kolonel Roland Butler, superintenden polis negeri Maryland.

Penyiasat persekutuan turut memberi garis masa terperinci tragedi itu, berdasarkan penemuan awal daripada perakam data suara kapal itu.

Encik Marcel Muise, ketua penyiasat Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, memberitahu satu sidang media berasingan bahawa kapal kontena ‘Dali’, kira-kira 300 meter panjang dan penuh dengan muatan kontena kargo, meninggalkan dok pada 12.39 tengah malam 26 Mac dalam pelayaran ke Asia.

Pada 1.24 pagi, penggera mula berbunyi di atas kapal dengan tanda-tanda masalah kuasa dan malim tidak lama kemudian menghubungi pihak berkuasa pelabuhan, berkata bahawa kapal itu sedang menuju ke jambatan, dan meminta bantuan bot tunda.

Panggilan bantuan itu diterima oleh dua unit Penguasa Pengangkutan Maryland yang berada di jambatan itu kerana kerja membaiki jalan raya, dan mereka menutup semua lorong trafik. Ini mungkin telah menyelamatkan banyak nyawa.

Encik Muise memberitahu wartawan pada 1.29 pagi perakam data suara mengesan “bunyi konsisten dengan perlanggaran”.

Hampir keseluruhan struktur keluli jambatan itu – yang dilalui puluhan ribu kenderaan setiap hari – runtuh dalam beberapa saat.

Kejadian itu menghalang pergerakan dan kegiatan di salah sebuah pelabuhan perdagangan Amerika yang paling sibuk.

Tidak ada peluang memindahkan lapan pekerja yang terperangkap itu.

Kolonel Butler mengenal pasti mangsa yang ditemui itu sebagai Encik Alejandro Hernandez Fuentes, 35 tahun, penduduk Baltimore asal Mexico, dan rakan sekerjanya, Encik Dorlian Ronial Castillo Cabrera, 26 tahun, penduduk Dundalk asal Guatemala.

Dua lagi mangsa masih hidup diselamatkan dari perairan itu sejurus selepas runtuhan awal pada 26 Mac. Seorang daripada mereka tidak cedera, manakala seorang lagi sudah keluar hospital. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg