JAKARTA: Dua menteri Indonesia kini menjadi perhatian umum dalam dua kontroversi berasingan membabitkan isu etika, ketelusan dan tadbir urus, ketika pemerintah Presiden Prabowo Subianto, berusaha menampilkan imej pentadbiran yang bersih dan berjimat.

Menteri Perhutanan, Raja Juli Antoni, disorot selepas Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) menyiasat dakwaan cubaan memberi suapan kepadanya oleh Bupati Kuantan Singingi, Encik Suhardiman Amby, yang kini menjadi suspek dalam kes rasuah.

Pada masa sama, Menteri Kerja Raya, Encik Dody Hanggodo, berdepan kritikan selepas satu dokumen rasmi kementerian menyenaraikan isteri dan anak perempuannya sebagai sebahagian daripada rombongan rasmi ke Amerika Syarikat.

Jurucakap KPK, Encik Budi Prasetyo, berkata Raja Juli melaporkan pada 3 Julai lalu bahawa Encik Suhardiman cuba memberikan “gratifikasi” atau wang pemberian tidak sah kepadanya, tetapi dakwaan itu masih perlu disahkan.

“Penjelasan beliau mengenai kejadian itu sedang disahkan dan dianalisis oleh KPK,” kata Encik Budi.

Menurut Encik Budi, hasil semakan itu akan menentukan sama ada cubaan sogokan tersebut mempunyai kaitan dengan siasatan rasuah yang sedang dijalankan terhadap Encik Suhardiman.

Encik Suhardiman, anggota Parti Gerindra pimpinan Encik Prabowo, dinamakan sebagai suspek pada hujung Jun atas dakwaan menerima sogokan daripada Setiausaha Daerah Kuantan Singingi, Encik Zulkarnain, sebagai imbalan bagi pelantikannya.

Siasatan KPK kemudian berkembang kepada dakwaan aliran wang daripada Encik Suhardiman ke Kementerian Perhutanan bagi mendapatkan permit penukaran status hutan, dipercayai melibatkan lebih 1,800 hektar hutan produksi terbatas di Kuantan Singingi, Riau.

Di bawah undang-undang Indonesia, Kementerian Perhutanan mempunyai kuasa menukar status kawasan hutan negara kepada kategori penggunaan lain, termasuk untuk penempatan atau kegiatan industri.

Bagaimanapun, jurucakap kementerian, Encik Ristianto Pribadi, berkata tiada keputusan dibuat untuk menukar status kawasan berkenaan.

“Tiada perubahan sebenar dibuat terhadap status hutan produksi terbatas dan tiada kawasan hutan di Kuantan Singingi yang diklasifikasikan semula oleh Kementerian Perhutanan,” katanya.

Dalam sidang media sebelum ini, Raja Juli berkata kementerian memulangkan sampul yang diberikan Encik Suhardiman kepada polis Kuantan Singingi pada 12 Jun – 10 hari selepas pertemuan mereka di Jakarta.

Beliau berkata beliau tidak mempunyai hak untuk menerima sampul itu.

Namun, tindakan itu menimbulkan persoalan kerana undang-undang Indonesia mewajibkan penjawat awam melaporkan pemberian tidak sah kepada KPK, bukan polis, dalam tempoh 30 hari bagi mengelakkan pertuduhan jenayah.

Beberapa ahli Parlimen, termasuk dari parti penyokong Encik Prabowo seperti Golkar dan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), mempersoalkan mengapa Raja Juli tidak terus melaporkan perkara itu kepada KPK.

Raja Juli, yang juga Setiausaha Agung Parti Solidariti Indonesia (PSI), sebelum ini pernah dikritik atas dakwaan nepotisme dan kontroversi bergambar bermain domino dengan bekas suspek pembalakan haram.

Dalam kontroversi berasingan, Encik Dody pula dikritik selepas surat rasmi Kementerian Kerja Raya yang tular di media sosial menunjukkan lapan wakil dijadual menyertai lawatan ke New York dari 13 hingga 19 Julai.

Dokumen bertarikh 29 Jun dan ditandatangani Setiausaha Agung kementerian, Encik Apri Artoto, menyenaraikan isteri Encik Dody, Cik Irma Hermawati, serta anaknya, Aurellia Tsabitha Meidirama, sebagai peserta rombongan.

Menurut dokumen itu, Cik Irma akan menggunakan pasport diplomatik, manakala Aurellia menggunakan pasport biasa.

Rombongan tersebut dijadual menghadiri Mesyuarat Peringkat Tinggi Kajian Pertengahan Agenda Bandar Baharu, anjuran Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB-Habitat) di New York pada 16 dan 17 Julai.

Kemasukan nama anggota keluarga menteri dalam rombongan rasmi mencetuskan kritikan awam, terutama ketika pemerintah Encik Prabowo melaksanakan dasar penjimatan perbelanjaan negara.

Encik Apri mengesahkan nama isteri dan anak menteri dimasukkan dalam dokumen perjalanan, tetapi menegaskan tiada dana negara digunakan untuk membiayai mereka.

“Saya perlu tegaskan bahawa tiada belanjawan negara akan digunakan untuk menanggung kos ahli keluarga. Jika ahli keluarga menyertai perjalanan itu, semua kos akan ditanggung secara peribadi,” katanya.

Beliau berkata senarai itu hanya disediakan bagi memudahkan urusan visa melalui Kementerian Luar, manakala penggunaan pasport diplomatik oleh isteri menteri dibuat mengikut peraturan sedia ada.

Namun, penjelasan itu belum meredakan kebimbangan awam.

Anggota Ombudsman Indonesia, Encik Maneger Nasution, menggesa kementerian memberi penjelasan lebih telus, termasuk memastikan tiada kemudahan negara digunakan untuk tujuan peribadi.

“Yang lebih penting, kementerian mesti memastikan penyertaan mereka sah, mengikut undang-undang, bebas daripada konflik kepentingan dan tiada kuasa disalahgunakan untuk manfaat atau keistimewaan peribadi,” katanya. – Agensi berita.