MANILA: Pemerintah Filipina mengarahkan sekatan sementara terhadap permainan video dalam talian GoreBox, selepas siasatan awal polis mendapati seorang daripada dua pelajar yang didakwa terbabit dalam insiden tembakan di sebuah sekolah merupakan pemain aktif permainan berunsur ganas itu.

Tiga pelajar terbunuh manakala 20 lagi cedera dalam kejadian tembakan di sebuah sekolah di Tacloban City, wilayah Visayas Tengah, pada 22 Jun lalu.

Dua suspek berusia 14 dan 15 tahun didakwa melepaskan tembakan menggunakan pistol.

Timbalan Setiausaha Pusat Penyiasatan dan Penyelarasan Jenayah Siber Filipina (CICC), Encik Renato Paraiso, berkata pihak berkuasa mengambil langkah berjaga-jaga sementara siasatan dijalankan.

“Kami menyekat GoreBox buat sementara waktu sebagai langkah pencegahan sementara menunggu hasil siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada 23 Jun.

“Kami tidak boleh mengabaikan kemungkinan pengaruh dalam talian yang mungkin menyumbang kepada insiden tragis ini,” tambah beliau.

Menurut polis, salah seorang suspek dilaporkan kerap bermain GoreBox, sebuah permainan yang membolehkan pemain menggunakan pelbagai senjata dan bahan letupan dalam suasana keganasan grafik.

Permainan itu diterbitkan syarikat berpangkalan di Jerman, F2 Games, pada 2023 dan telah dimuat turun lebih 10 juta kali menerusi Google Play.

Ia turut menerima penarafan R18+ daripada Gabungan Penarafan Umur Antarabangsa kerana memaparkan unsur keganasan melampau.

Dalam keterangannya, CICC berkata GoreBox menggambarkan dirinya sebagai “permainan kotak pasir berasaskan fizik yang menggabungkan kreativiti dengan kemusnahan tanpa batas.”

Penerangan permainan di Google Play pula menyatakan pemain boleh “terlibat dalam pertempuran ganas menggunakan pelbagai senjata dan bahan letupan serta menyaksikan kesan keganasan yang realistik.”

Setakat ini, F2 Games belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan media berhubung sekatan sementara itu.

Insiden tembakan tersebut turut mencetuskan kebimbangan lebih luas mengenai kegiatan dalam talian kanak-kanak dan remaja di rantau Asia Pasifik, khususnya berkaitan kandungan ganas, buli siber dan ketagihan skrin.

Indonesia pada Mac lalu mula menguatkuasakan sekatan terhadap akaun media sosial dan permainan video bagi pengguna berusia bawah 16 tahun.

Malaysia pula mewajibkan pengesahan umur untuk pengguna media sosial, manakala Australia pada 2025 meluluskan larangan akses media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun.

Pihak CICC berkata kejadian di Tacloban City menunjukkan keperluan meningkatkan pemantauan dalam ruang digital.

“Serangan ini menunjukkan betapa pentingnya kewaspadaan lebih tinggi dalam ruang digital,” menurut kenyataan itu.

Agensi tersebut turut memaklumkan bahawa pemantauan terhadap kegiatan dalam talian kini dipertingkatkan ketika pihak berkuasa menyiasat motif sebenar serangan berkenaan.

Media tempatan melaporkan siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek, yang merupakan pelajar tingkatan tiga, mungkin pernah menjadi mangsa buli di sekolah dan dipercayai melancarkan serangan sebagai tindakan balas dendam.

Kedua-dua remaja itu kini berada dalam tahanan polis.

Pada masa sama, Jabatan Kehakiman Filipina berkata pihaknya sedang meneliti kemungkinan kejadian itu mempunyai kaitan dengan trend ekstremisme ganas nihilistik, iaitu perlakuan keganasan melampau tanpa ideologi politik atau agama yang jelas.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Filipina turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan insiden keganasan di sekolah.

“Kami turut bimbang dengan laporan lain mengenai keganasan di sekolah, termasuk dua kejadian tikaman berasingan di Sekolah Menengah Kebangsaan Cavite dan Akademi Bethel General Trias dalam tempoh seminggu lalu,” menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.

“Insiden ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh langkah mencegah keganasan dan melindungi pelajar,” tambah kenyataan tersebut.

Terdahulu, pemerintah Presiden Ferdinand Marcos Jr. menyatakan keterbukaan untuk mempertimbangkan langkah perundangan bagi mengawal akses kepada kandungan ganas, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. – Agensi berita.