Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua tentera disyaki tembak mati 3 polis dalam serbuan sabung ayam haram di Sumatera

Mar 19, 2025 | 3:02 PM
Foto fail enynjukkan seekor ayam sabung dipegang oleh seorang peserta di gelanggang sabung ayam di Karangasem, Bali.
Foto fail enynjukkan seekor ayam sabung dipegang oleh seorang peserta di gelanggang sabung ayam di Karangasem, Bali. - Foto AFP

LAMPUNG, Sumatera Selatan: Tiga anggota polis Indonesia maut ditembak ketika melakukan serbuan ke atas lokasi sabung ayam haram di Desa Karang Manik, Lampung pada Isnin lalu. Lebih mengejutkan, dua individu yang disyaki sebagai penembak dikenal pasti sebagai anggota aktif tentera.

Menurut Ketua Polis Lampung, Inspektor Helmy Santika, hasil bedah siasat mendapati ketiga-tiga mangsa ditembak tepat ke arah organ penting, dipercayai dilakukan secara sengaja.

Ketua Polis Daerah, Encik Lusiyanto ditembak di dada kanan, manakala Encik Petrus Apriyanto terkena tembakan di mata kiri dan Encik Ghalib Surya Nanta ditembak di mulut. Ketiga-tiga mereka maut di lokasi dan jenazah dibawa ke Hospital Polis Bhayangkara Lampung untuk bedah siasat lanjut.

“Kami juga menemukan sangkar sabung ayam dan 12 peluru di lokasi kejadian,” kata Encik Helmy kepada media tempatan, sambil menambah bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan.

Salah seorang suspek, Peltu LS, dilaporkan telah menyerah diri di Balai Polis Negara Batin hanya beberapa jam selepas insiden berlaku. Suspek kedua, Kopka Basar, juga telah dikenal pasti dan ditahan, namun pihak berkuasa masih belum mendedahkan secara terperinci bagaimana penangkapannya dilakukan. Kedua-dua suspek dipercayai bertugas di pos tentera yang terletak di daerah yang sama dengan lokasi kejadian.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menerusi kenyataan yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Partai Gerindra, Encik Ahmad Muzani, menyatakan rasa dukacita atas insiden tersebut. “Presiden sangat bersedih dengan kehilangan anggota kepolisian yang gugur ketika menjalankan tugas,” kata Encik Muzani.

Menteri Penyelaras Politik dan Keselamatan, Encik Budi Gunawan, turut menyifatkan serangan itu sebagai “jenayah kejam yang tidak boleh dimaafkan”. Beliau mengarahkan Panglima Tentera nasional Indonesia (TNI), Jeneral Agus Subiyanto, agar mereka yang terlibat dihukum seberat-beratnya.

“Kita mesti memberi laluan kepada proses perundangan yang adil, tetapi juga memastikan hukuman maksimum dijatuhkan kepada pelaku. Ini adalah jenayah serius yang mengorbankan nyawa penjawat awam,” kata Encik Budi dalam sidang media.

Menurut undang-undang Indonesia, pembunuhan terancang boleh dikenakan hukuman mati.

Suruhanjaya Polis Nasional turut menggesa agar siasatan diperluas kepada sindiket perjudian sabung ayam yang menjadi punca kejadian. Ahli suruhanjaya, Encik Choirul Anam, berkata: “Kita tidak boleh hanya menumpukan kepada pelaku tembakan, tetapi perlu bongkar keseluruhan rangkaian sindiket yang melindungi kegiatan ini.”

Tentera Nasional Indonesia pula berjanji akan mengambil tindakan tegas jika wujud penglibatan anggotanya. Ketua Penerangan Komando Militer Sriwijaya II, Kolonel Syah Putra Siregar, berkata: “Jika terbukti, kami tidak akan berkompromi. Tindakan disiplin dan undang-undang akan dikenakan.”

Sebagai penghormatan kepada ketiga-tiga anggota yang terkorban, Polis Nasional menganugerahkan kenaikan pangkat secara anumerta dan bantuan kepada keluarga mereka.

“Kami merakamkan ucapan takziah dan kesedihan mendalam atas kehilangan anggota kami yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi,” kata Ketua Bahagian Perhubungan Awam  Polis Republik Indonesia (Polri), Encik Trunoyudo Wisnu Andiko. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg