DENPASAR, Bali: Dua warga Britain yang disabit kesalahan dadah di Indonesia, termasuk seorang nenek berusia 69 tahun yang pernah dijatuhkan hukuman mati, telah diterbangkan pulang ke London awal pagi 7 November selepas pemerintah Indonesia dan kerajaan Britain mencapai persetujuan untuk memulangkan mereka atas dasar kemanusiaan.
Lindsay Sandiford, 69 tahun, dijatuhi hukuman mati pada 2013 selepas didapati menyeludup 4.8 kilogram kokain bernilai lebih AS$2 juta (S$2.6 juta) yang disembunyikan dalam lapisan bagasinya ketika tiba di Bali dari Bangkok.
Beliau dihantar pulang bersama seorang lagi warga Britain, Shahab Shahabadi, 36 tahun, yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup selepas ditangkap atas kesalahan dadah pada 2014. Kedua-duanya berlepas dari Lapangan Terbang Ngurah Rai, Bali pada jam 12.30 pagi menaiki penerbangan Qatar Airways ke London melalui Doha.
“Kedua-dua tahanan ini akan menjalani hukuman mereka di United Kingdom,” kata pegawai kanan Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Encik Nyoman Gede Surya Mataram. “Selepas diserahkan kepada kerajaan Britain, mereka akan tertakluk sepenuhnya kepada keputusan undang-undang di sana, namun keputusan mahkamah Indonesia tetap dihormati.”
Langkah pemulangan ini dibuat selepas Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Encik Yusril Ihza Mahendra, menandatangani perjanjian dengan Menteri Dalam Negeri Britain, Cik Yvette Cooper, bulan Oktober lalu.
Encik Yusril menjelaskan bahawa Sandiford dan Shahabadi dipulangkan kerana mengalami masalah kesihatan yang serius. “Sandiford kini dalam keadaan tenat, manakala Shahabadi juga mengalami pelbagai penyakit termasuk masalah kesihatan mental,” katanya.
Britain menyambut baik keputusan ini. Timbalan Duta Britain ke Indonesia, Encik Matthew Downing, berkata pemindahan itu adalah langkah kemanusiaan bagi memastikan kedua-duanya mendapat rawatan sewajarnya.
“Apabila mereka tiba di Britain, keutamaan adalah keadaan kesihatan mereka. Mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan lanjut termasuk pemulihan sekiranya perlu,” katanya pada sidang media di Penjara Kerobokan, Bali.
Sandiford menghadiri sidang media tersebut dalam kerusi roda dan tidak memberi sebarang kenyataan kepada media, hanya menundukkan kepala sambil menutup wajahnya.
Sandiford, bekas pembantu undang-undang di Britain, mengaku bersalah tetapi menegaskan beliau menjadi mangsa ugutan sindiket dadah yang mengancam akan membunuh anaknya jika enggan membawa kokain itu ke Bali pada 2012.
Kes beliau menarik perhatian besar di Britain, terutama selepas akhbar Mail on Sunday pada 2015 menyiarkan suratnya dari penjara yang menyatakan ketakutannya terhadap hukuman mati. “Saya tahu saya boleh mati bila-bila masa. Saya sudah mula menulis surat selamat tinggal kepada ahli keluarga saya,” tulisnya ketika itu.
Kini, selepas lebih sedekad menunggu pelaksanaan hukuman mati, Sandiford akhirnya meninggalkan Indonesia bukan sebagai pesalah yang menanti peluru penembak, tetapi sebagai warga tua yang diberi peluang kedua untuk menamatkan hidupnya di tanah air sendiri.
Langkah ini mencerminkan perubahan dasar pemerintahan Presiden Prabowo Subianto yang mula menunjukkan pendekatan lebih berperikemanusiaan terhadap banduan asing.
Dalam tempoh setahun lalu, Indonesia telah memulangkan lebih setengah dozen tahanan terkenal, termasuk lima warga Australia, seorang warga Perancis, dan seorang warga Filipina yang semuanya pernah dijatuhkan hukuman mati.
Indonesia, yang memiliki undang-undang dadah paling keras di dunia, kali terakhir menjalankan hukuman mati pada 2016 terhadap tiga warga Nigeria dan seorang rakyat tempatan.
Menurut kumpulan hak asasi KontraS, hampir 600 banduan kini berada di barisan hukuman mati di Indonesia, termasuk sekitar 90 warga asing.
“Kami berharap ini menjadi tanda perubahan ke arah pendekatan lebih manusiawi tanpa menjejaskan tegasnya undang-undang dadah kami,” kata seorang pegawai Kementerian Kehakiman Indonesia kepada AFP. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg