DUBAI: Dubai mengumumkan kejayaan menyiapkan stesen teksi udara pertama di dunia, dengan operasi komersial dijangka bermula menjelang akhir 2026.

Putera Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan Mohammed, yang juga Timbalan Perdana Menteri Amiriah Arab Bersatu (UAE), melawat kemudahan tersebut yang digambarkan sebagai stesen pertama direka khas untuk operasi pesawat elektrik berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL).

Menurut kenyataan pejabat media Dubai, stesen itu dibina berhampiran lapangan terbang antarabangsa bandar berkenaan dan akan menjadi hab utama bagi operasi teksi udara.

Kemudahan empat tingkat seluas kira-kira 3,100 meter persegi itu dilengkapi tempat letak kereta dua aras, dua pad berlepas dan mendarat serta sistem pengecasan khusus. Ia dijangka mampu mengendalikan sehingga 170,000 penumpang setahun.

“Pelancaran prasarana teksi udara ini merupakan langkah penting dalam mengadaptasi mod pengangkutan baharu yang lebih mampan serta memperkukuh kesiapsiagaan Dubai untuk masa depan,” kata Sheikh Hamdan.

Tambahnya, pembangunan itu mencerminkan usaha berterusan Dubai untuk kekal sebagai hab perniagaan dan pelancongan utama di rantau Asia Barat.

Operasi penerbangan akan dikendalikan oleh syarikat berpangkalan di California, Joby Aviation, yang diberikan hak eksklusif selama enam tahun.

Pihak berkuasa Dubai turut merancang untuk membina tiga lagi stesen teksi udara dalam tempoh terdekat bagi memperluaskan rangkaian pengangkutan udara bandar tersebut.

Pengumuman ini dibuat ketika rantau Teluk berdepan ketegangan geopolitik susulan serangan Iran terhadap negara jiran sebagai tindak balas terhadap konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel.

Bagaimanapun, situasi tersebut kini dilihat mereda selepas gencatan senjata selama dua minggu mula berkuat kuasa.

Pembangunan teksi udara ini dilihat sebagai sebahagian strategi jangka panjang Dubai untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, meningkatkan kecekapan mobiliti bandar dan memperkenalkan teknologi pengangkutan masa depan. - Agensi berita