Satu piawaian keselamatan industri baru bagi operasi teksi udara dan dron di Asia Pasifik, telah diterima oleh pengawal selia di rantau ini pada 14 Julai.
Langkah tersebut meletakkan asas bagi pembangunan bidang pengangkutan baru ini.
Piawaian baru itu, termasuk pensijilan teksi udara dan latihan kakitangan.
Ia boleh disesuaikan dan digunakan oleh pengawal selia di rantau ini, sedang ia membuat persediaan bagi operasi dron dan teksi udara secara komersial pada masa depan.
Teksi udara adalah pengangkutan udara terkini melibatkan pesawat kecil yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak untuk membawa penumpang merentasi jarak dekat.
Garis panduan itu, yang dibangunkan secara bersama oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan 23 pengawal selia lain dari rantau ini, adalah yang pertama seumpamanya bagi industri tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Dalam satu kenyataan pada 17 Julai, CAAS menyatakan bahawa garis panduan tersebut dilancarkan pada 14 Julai semasa mesyuarat kedua pengawal selia Asia Pasifik mengenai pergerakan udara lanjutan (AAM), selepas ia diusulkan semasa acara itu diadakan buat kali pertama pada November 2023.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh wakil kanan daripada 21 syarikat teksi udara dan dron, termasuk Eve Air Mobility, Skyports dan ST Engineering.
Menurut CAAS, garis panduan itu akan menyokong pembangunan industri pengangkutan baru tersebut dan mempercepat penggunaannya secara selamat.
Di samping itu, ia juga dapat mengurangkan risiko kawal selia dan kos operasi teksi udara dan dron.
Piawaian keselamatan tersebut akan membantu pengawal selia mengikuti perkembangan teknologi baru dalam sektor itu, untuk meraih manfaat ekonomi daripadanya sambil memastikan keselamatan penerbangan, tambahnya.
Ia juga akan mengurangkan ketidakpastian dari segi peraturan bagi syarikat yang membangunkan teknologi dalam bidang ini, tambah CAAS.
Dalam mesyuarat tersebut, CAAS dan rakannya di rantau ini, turut membincangkan rancangan untuk meningkatkan penggunaan dron, dan melancarkan khidmat teksi udara dalam masa lima tahun akan datang, serta bagaimana negara boleh bekerjasama bagi membolehkan khidmat itu dilaksanakan.
Garis panduan ini dilakar selepas beberapa rundingan awam dan swasta mengenai bahan rujukan awal, diadakan.
CAAS menyatakan hampir 600 maklum balas telah dikumpulkan daripada 48 responden, sebelum bahan rujukan tersebut dimuktamadkan.
Ia turut memaklumkan bahawa kumpulan itu akan menyerahkan peraturan dan piawaian keselamatan tersebut kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), sebagai rujukan untuk penerimaan di peringkat sedunia.
Ketua Marsyal Udara (ACM) Manat Chavanaprayoon, Ketua Pengarah Penguasa Penerbangan Awam Thailand, berkata:
“Garis panduan baru ini telah membantu semua pihak bergerak ke arah yang sama.
“Untuk menggalakkan orang ramai menggunakan teksi udara pada masa depan, kita perlu memastikan mereka yakin (terhadap teksi udara) dan tahu bahawa ia adalah selamat.”
Sementara itu, syarikat Jerman, Volocopter, menggantung khidmat teksi udaranya di Singapura pada 2023 bagi tempoh yang tidak ditentukan.
Langkah itu diambil setelah ia gagal meraih pendanaan yang mencukupi, setelah mengumumkan rancangan melancarkan penerbangan teksi udara selama 15 minit di kawasan Marina Bay pada awal hingga pertengahan 2024.
“
“Garis panduan baru ini telah membantu semua pihak bergerak ke arah yang sama. Untuk menggalakkan orang ramai menggunakan teksi udara pada masa depan, kita perlu memastikan mereka yakin (terhadap teksi udara) dan tahu bahawa ia adalah selamat.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg