Vertical Aerospace terima geran bangun teksi udara perubatan kecemasan
Vertical Aerospace terima geran bangun teksi udara perubatan kecemasan
Firma Britain lihat Asia sebagai pasaran terbesar, jangka kemunculan komersial pada 2029
Pengeluar teksi udara yang berpangkalan di Britain, Vertical Aerospace (Vertical), mengumumkan pada 4 Februari ia telah menerima geran dari Singapura untuk menjalankan penyelidikan penggunaan teksi udara Valo bagi tujuan perubatan kecemasan di sini.
Geran bernilai $100,000 itu dianugerahkan oleh Hatch, sebuah pusat inovasi keselamatan awam di bawah Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX), yang merupakan lembaga berkanun di bawah Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Di bawah geran tersebut, Vertical akan bekerjasama dengan Hatch dan HTX, serta pemegang kepentingan industri, bagi membangunkan asas pelaksanaan penggunaan pesawat yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak dengan menggunakan elektrik (eVTOL) dalam perkhidmatan perubatan kecemasan.
Usaha itu melibatkan penilaian operasi dan ujian penerbangan bukti konsep di Britain pada 2026.
Pengarah pusat Hatch, Encik Mok Shao Hong, berkata kerjasama dengan Vertical membolehkan pihaknya menilai potensi mobiliti udara canggih bagi tindak balas perubatan kecemasan, sambil menekankan aspek keselamatan, peraturan dan kesediaan operasi.
Vertical menyatakan ia dipilih selepas satu proses pemilihan yang bersaing, dan ia menandakan langkah awal ke arah memperkenalkan teknologi eVTOL yang melangkaui peringkat ujian dan bagi perkhidmatan sebenar di Singapura.
Naib Presiden dan Ketua Komersial Asia-Pasifik Vertical, Encik Derek Cheng, berkata penggunaan teksi udara itu berpotensi memberi perkhidmatan kepada kawasan terpencil seperti Pulau Ubin, Pulau Tekong atau di kawasan Kepulauan Selatan.
Disenaraikan di Bursa Saham New York, Vertical merupakan pengeluar pesawat VTOL, atau teksi udara, yang digerakkan sepenuhnya oleh tenaga elektrik dan sesuai bagi perjalanan jarak pendek.
Syarikat itu juga sedang membangunkan model hibrid yang menggabungkan tenaga elektrik dan bahan api jet.
Mobiliti udara canggih merujuk kepada generasi baru pesawat berteknologi tinggi, termasuk eVTOL, kenderaan yang berlepas menegak dengan kuasa bahan api konvensional, serta dron terbang berautonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Vertical, Encik Stuart Simpson, berkata di peringkat sejagat, syarikat itu berada di landasan yang betul untuk memperoleh kelulusan kawal selia di Britain pada 2028, dengan sasaran memulakan penerbangan eVTOL komersial di rantau Asia-Pasifik pada 2029.
Menurutnya, teknologi itu sudah tersedia, dan cabaran utama kini ialah mendapatkan pensijilan pertama di dunia bagi kelas pesawat baru tersebut.
Encik Simpson turut menyifatkan Asia sebagai pasaran terbesar pada masa depan bagi teknologi tersebut, didorong oleh faktor geografi serta skala bandar mega seperti Tokyo, Seoul dan Singapura.
Vertical kini mempunyai 1,500 tempahan bagi pesawatnya, dengan satu pertiga daripadanya pengendali berpangkalan di Asia, termasuk 300 tempahan dari Jepun sahaja.
Antara pelanggannya ialah Japan Airlines dan AirAsia.
Walaupun minat sejagat terhadap mobiliti udara canggih pesawat eVTOL telah meningkat sejak 2010, kemajuan sektor itu tidak sentiasa lancar.
Beberapa syarikat pemula menghadapi cabaran besar, termasuk Volocopter yang menjalankan penerbangan ujian di Singapura pada 2019 sebelum muflis pada 2024, serta Lilium yang muflis pada 2025.

