Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Dulu jahit baju pengantin, kini wanita Gaza sibuk siapkan lampin

Feb 26, 2024 | 05:30 AM



RAFAH (Jaluran Gaza): Dua gambar wanita bergaya dengan mengenakan gaun pengantin yang glamor, menghiasi bahagian hadapan sebuah bengkel jahit di Rafah.


Tetapi pekerja di dalamnya kini beralih daripada gaun pengantin kepada membuat lampin – salah satu daripada banyak keperluan yang sukar ditemui di tengah konflik Israel-Palestin.

Dengan sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal akibat serangan tentera Israel, lebih separuh daripada mereka bersesak-sesak di kawasan Rafah berhampiran sempadan Mesir.

Dengan kekurangan lampin, ia menjadikan hidup sengsara bagi bayi dan ibu bapa mereka.

“Terdapat 1.5 juta orang kehilangan tempat tinggal di bandar Rafah dan tidak ada lampin,” kata pemilik bengkel jahit yang kini membuat lampin, Encik Yasser Abu Gharara.

Beliau berkata ekoran kekurangan lampin, ia menyebabkan harga sebungkus lampin di pasaran meningkat kepada kira-kira 200 shekel ($74.06).

Harga itu terlalu tinggi untuk keluarga yang juga sedang menghadapi masalah mendapatkan makanan yang mencukupi.

Encik Abu Gharara berkata mereka menggunakan pakaian pelindung kitar semula dari pandemik Covid-19, sebagai bahan membuat lampin.

Beliau berharap barang-barang itu dapat membantu keluarga yang mengalami masa sukar.

“Kami bukan sahaja bercakap mengenai lampin untuk bayi, bahkan untuk warga emas dan orang kurang upaya,” katanya.

Cik Inas Al-Masry, ibu sepasang kembar dan seorang anak perempuan – yang kesemuanya memerlukan lampin – menggunakan seluar pendek yang diperbuat daripada plastik merah jambu beg runcit, untuk salah seorang bayinya.

Seluar pendek plastik itu terlalu ketat dan bayi lelaki yang terbaring di atas tanah di dalam khemah, menangis ketika Cik Al-Masry menarik seluar plastik itu.

Beliau tidak mampu membeli lampin pada harga 180 atau 190 shekel bagi setiap paket, kerana kembarnya akan menggunakan sepaket seminggu.

“Selepas minggu itu, bagaimana saya hendak dapatkan sepaket lagi?” katanya.

“Walaupun dengan tudung yang saya sarungkan pada bayi, saya perlu menukar semuanya pada keesokan harinya.

“Mereka semua memerlukan pakaian, tetapi pakaian tidak ada, selimut tidak tersedia untuk kanak-kanak. Kami tidak mempunyai apa-apa. Kami tiada tilam pun, kita dibuang dalam khemah di jalanan.”

Seorang bapa yang kehilangan tempat tinggal, Encik Hany Subh, berkata beliau mencari lampin di pasar setiap hari, tetapi harganya terlalu tinggi.

“Beritahu saya, patutkah kita makan atau membeli lampin?” katanya.

Peperangan itu dicetuskan oleh serangan Hamas ke atas Israel, pada 7 Oktober 2023 dengan lebih 1,400 orang terbunuh dan 253 dijadikan tebusan, menurut Israel.

Bersumpah untuk memusnahkan Hamas, Israel bertindak balas dengan serangan udara dan darat yang telah membunuh lebih 29,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 69,000, menurut pegawai kesihatan Gaza.

Peperangan telah menyebabkan sebahagian besar kawasan itu menjadi timbunan runtuhan dan menyebabkan apa yang disebut oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai malapetaka kemanusiaan. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >