BAITULMAKDIS: Duta Amerika Syarikat ke Israel, Encik Mike Huckabeeelah, berkata negaranya tidak lagi mengusahakan matlamat negara Palestin yang merdeka, menandakan apa yang disifatkan oleh penganalisis sebagai pengabaian paling jelas Amerika daripada asas diplomasi Timur Tengah.
Ditanya jika negara Palestin kekal sebagai matlamat dasar Amerika, beliau menjawab: “Saya tidak fikir begitu.”
Malah, mantan Gabenor Arkansas yang dipilih oleh Presiden Donald Trump sebagai utusannya ke Israel, mencadangkan bahawa mana-mana entiti Palestin masa depan boleh diwujudkan daripada bahagian “negara Islam” – bukannya memerlukan Israel menyerahkan wilayah.
“Melainkan terdapat beberapa perkara penting yang yang mengubah budaya, tidak ada ruang untuk itu,” kata Encik Huckabee, sambil menambah ia tidak akan berlaku “dalam hidup kita”.
Dalam temu bual berasingan dengan BBC, beliau berkata: “Negara Islam mempunyai 644 kali ganda keluasan tanah berbanding yang dikuasai oleh Israel.
“Jadi mungkin, jika ada keinginan untuk negara Palestin, akan ada seseorang yang akan berkata, kami ingin menjadi tuan rumah.”
Mengulas mengenai aspirasi tiga juta rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki Israel, Encik Huckabee, menggunakan istilah pemerintah Israel, dengan bertanya: “Adakah ia mesti di Judea dan Samaria?”
Presiden Trump, dalam penggal pertamanya, agak lembut dalam pendekatannya terhadap penyelesaian dua negara, tonggak lama dasar Amerika di Timur Tengah, dan beliau telah memberikan sedikit petanda tentang pendiriannya dalam isu itu dalam penggal keduanya sekarang ini.
Jabatan Negara tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas mengenainya.
Penganalisis Timur Tengah berkata komen itu merupakan perubahan jelas dan telah dijangka secara meluas.
“Ini sama sekali tidak menghairankan memandangkan apa yang telah kita lihat dalam tempoh empat bulan lebih yang lalu, termasuk sokongan terbuka pentadbiran untuk mengusir penduduk Gaza, pengesahan dasar penempatan dan pencerobohan Israel,” kata Encik Khaled Elgindy, daripada Pusat Pengajian Arab Kontemporari Universiti Georgetown yang juga mantan penasihat kepada perunding Palestin.
“Ini adalah pentadbiran yang komited untuk menghapuskan Palestin, baik fizikal mahupun politik,” ujar Encik Elgindy. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg