Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Macron: Kredibiliti negara Barat hilang jika Israel diberi laluan percuma di Gaza

Kenyataan Presiden Perancis cetus kemarahan Israel yang tuduh beliau ketuai “perang salib menentang negara Yahudi”
May 31, 2025 | 4:22 PM
Emmauel Macron, Dialog Shangri-La, Kesatuan Eropah, Israel
Presiden Perancis Encik Emmanuel Macron berucap di sesi Dialog Shangri-La di Singapura pada 30 Mei 2025. - Foto REUTERS

Perang mulut antara Perancis dengan Israel memuncak pada 30 Mei apabila Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, dalam ucapan pembukaan satu forum keselamatan di Singapura, berkata pihak Barat berisiko “hilang semua kebolehpercayaan dengan seluruh dunia” jika Israel dibenarkan “laluan percuma” di Jaluran Gaza.

Semasa pertemuan awal dengan wartawan di Dialog Shangri-La yang berlangsung di Hotel Shangri-La, Encik Macron mengancam untuk “menguatkan lagi kedudukan kolektif” Kesatuan Eropah (EU) terhadap Israel “jika tidak ada tindak balas terhadap situasi kemanusiaan dalam beberapa jam akan datang”.

Kementerian Ehwal Luar Israel pula membalas dalam satu kenyataan dengan menyatakan pihaknya telah memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan.

“Namun, fakta itu tidak menarik minat Macron,” tambah kenyataan itu.

Hubungan antara Perancis dengan Israel telah menjunam ke tahap terendah dalam beberapa tahun.

Israel berang dengan rancangan Encik Macron, yang disebut sekali lagi di Singapura, untuk mengiktiraf negara Palestin, manakala Perancis dan kuasa Eropah lain, termasuk Britain, telah hilang sabar dengan serangan berterusan Israel di Gaza.

Kenyataan Encik Macron, selepas beberapa siri amaran Perancis baru-baru ini, yang dilihat sebagai tindakan provokasi, mencetuskan kemarahan Israel, yang menuduh beliau mengetuai “perang salib menentang negara Yahudi” dan mahu memberi ganjaran kepada pengganas, yang merujuk kepada sokongan buat Palestin.

Perang meletus di Gaza pada 7 Oktober 2023 apabila Hamas menyerang Israel, membunuh lebih 1,200 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.

Serangan balas dan berterusan Israel telah menyebabkan hampir 56,000 rakyat Palestin terbunuh. Ia juga mengenakan sekatan bantuan kemanusiaan selama dua bulan di Gaza dan hanya melonggarkannya minggu lalu.

Kementerian itu menyerang Encik Macron kerana menekan Israel, bukan Hamas.

Dalam ucapannya, Encik Macron berkata tidak seharusnya ada tahap penilaian berganda dan berbeza apabila ia melibatkan perang di Gaza dan perang di Ukraine.

EU boleh mengutuk Moscow kerana pencerobohannya terhadap Kyiv tetapi berdiam diri mengenai pengeboman Israel ke atas Gaza, tambahnya.

Ketegangan dijangka meningkat apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersidang pada Jun, yang akan dipengerusikan Perancis dan Arab Saudi, untuk meneroka penyelesaian damai yang membawa kepada huraian dua negara.

Encik Macron berkata beliau akan hadir dan telah mencadangkan agar Perancis mungkin mengiktiraf sebuah negara Palestin, walaupun beliau tidak komited untuk berbuat demikian.

Bercakap kepada media di Singapura, beliau berkata “penciptaan negara Palestin” bukanlah “sekadar kewajipan moral, tetapi keperluan politik”.

Beliau menyenaraikan enam syarat untuk menubuhkan negara Palestin iaitu pembebasan baki tebusan yang ditahan Hamas; demilitarisasi (melenyapkan pasukan tentera dan senjata daripada sesuatu kawasan) Hamas; pengecualian Hamas daripada tadbir urus mana-mana negara Palestin dan usaha memperbaharui Penguasa Palestin di Tebing Barat.

Ini di samping pengiktirafan negara Palestin terhadap Israel dan haknya untuk hidup dalam keadaan selamat; dan penciptaan “seni bina keselamatan” untuk seluruh rantau itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg