WASHINGTON: Duta Besar Pakistan ke Amerika Syarikat, Encik Rizwan Saeed Sheikh, mendedahkan bahawa wujud komunikasi antara India dengan Pakistan pada peringkat Majlis Keselamatan Negara (NSC) masing-masing, ketika ditanya mengenai sebarang saluran perbincangan terbuka antara dua negara bersenjata nuklear itu.
Dalam temu bual bersama CNN pada 8 Mei, Encik Rizwan berkata walaupun ada bentuk komunikasi yang berlaku, tindakan India perlu dihentikan segera bagi meredakan ketegangan selepas dua hari pertempuran ganas yang telah mengorbankan hampir 50 nyawa.
“Saya fikir memang ada hubungan di peringkat NSC, tetapi peningkatan ini dari segi tindakan dan retorik perlu dihentikan,” katanya.
“Kini tanggungjawab untuk meredakan keadaan terletak di bahu India. Namun begitu, Pakistan juga ada had dalam menahan diri. Terdapat tekanan kuat daripada rakyat untuk kami bertindak balas,” tambah beliau.
Kenyataan beliau dibuat ketika masyarakat antarabangsa, termasuk Amerika, menggesa kedua-dua negara agar bertenang dan mengekalkan saluran komunikasi terbuka.
Washington turut menyeru agar wujud dialog langsung antara kedua-dua pihak.
Pada 8 Mei, kedua-dua negara saling menuduh melancarkan serangan dron.
Menteri Pertahanan Pakistan pula memberi amaran bahawa tindak balas lanjut adalah “semakin pasti”.
Serangan udara India ke atas beberapa lokasi di Pakistan pada 7 Mei yang dinamakan ‘Operasi Sindoor’ menjadi pencetus ketegangan terbaru.
Serangan itu adalah sebagai tindak balas terhadap kejadian berdarah pada 22 April lalu di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, apabila 26 pelancong terbunuh dalam serangan bersenjata yang didakwa didalangi oleh militan pro-Pakistan.
Islamabad menolak tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai “rekaan”.
Dalam perkembangan berkaitan, diplomat kanan dari Iran, Italy dan Arab Saudi telah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Encik Ishaq Dar dan Menteri Hal Ehwal Luar India, Encik Subrahmanyam Jaishankar.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, yang berada di New Delhi, mengadakan perbualan telefon dengan Encik Ishaq Dar mengenai ketegangan yang semakin meningkat di Asia Selatan.
Beliau turut mengadakan pertemuan selama 90 minit dengan Penasihat Keselamatan Negara India, Encik Ajit Kumar Doval, yang menyaksikan kedua-dua pihak menekankan keperluan mengekalkan kestabilan dan mencari jalan meredakan konflik.
Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Encik Kaja Kallas, dan Menteri Luar Italy, Encik Antonio Tajani, turut membincangkan isu yang sama dalam perbualan telefon berasingan dengan menteri luar kedua-dua negara.
Dalam pada itu, Menteri Luar India menekankan keperluan “menangani keganasan dengan tegas” dalam pertemuannya bersama Menteri Luar Arab Saudi, Encik Adel Al Jubeir, yang sedang dalam lawatan ke New Delhi.
Menurut laporan media Pakistan, Encik Al Jubeir,dijangka ke Islamabad pada 9 Mei.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, turut berbincang dengan Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif dan Menteri Luar India mengenai ketegangan yang semakin meruncing.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Cik Tammy Bruce, berkata: “Setiausaha Negara menekankan keperluan untuk meredakan ketegangan dengan segera dan menyokong dialog langsung antara India dengan Pakistan.”
Ketegangan terus meningkat apabila kedua-dua negara saling melancarkan serangan peluru berpandu dan dron pada 8 Mei.
India menegaskan serangannya bersifat mempertahankan diri, manakala Pakistan berikrar membalas pada masa dan lokasi pilihannya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg