MUZAFFARABAD (Pakistan): Ketegangan antara dua kuasa nuklear Asia Selatan, India dengan Pakistan, terus memuncak selepas Pakistan berikrar “membalas dendam” atas kematian 31 orang awam yang terbunuh dalam serangan udara India di wilayah yang ditadbirnya.
Serangan itu dilancarkan oleh New Delhi pada 7 Mei sebagai tindak balas terhadap serangan maut ke atas pelancong di Kashmir yang ditadbir India, yang berlaku dua minggu sebelumnya.
Setakat ini, jumlah korban mencecah sekurang-kurangnya 43 orang – 31 di pihak Pakistan akibat serangan udara dan tembakan artileri, manakala sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh di India akibat tembakan balas dari Pakistan.
Dalam ucapan kepada rakyat pada malam 7 Mei, Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, dengan tegas menyatakan: “Kami berjanji kami akan membalas setiap titisan darah para syuhada ini.”
Jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry, mengesahkan lima jet pejuang India ditembak jatuh selepas memasuki ruang udara Pakistan.
Beliau turut berkata serangan oleh India menyasarkan pelbagai lokasi awam termasuk kompleks kesihatan dan pendidikan di Muridke, masjid di Muzaffarabad serta sebuah loji jana kuasa hidro di Kashmir.
“Pasukan bersenjata telah diberi kuasa penuh oleh pemerintah untuk bertindak balas pada masa, tempat dan cara yang kami pilih,” katanya.
India dalam kenyataannya berkata serangan itu adalah langkah “terarah, terkawal dan bukan untuk meningkatkan” konflik.
Menteri Pertahanan India, Encik Rajnath Singh, menyatakan operasi ketenteraan tersebut adalah “hak India untuk bertindak balas” susulan serangan berdarah ke atas pelancong di Pahalgam pada 22 April, yang mengorbankan 26 nyawa, kebanyakannya lelaki beragama Hindu.
India menuduh kumpulan militan berpangkalan di Pakistan, Lashkar-e-Taiba, yang telah diisytihar sebagai organisasi pengganas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai dalang serangan itu.
Namun, Pakistan menafikan sebarang penglibatan.
Sepanjang Garisan Kawalan (LoC) yang memisahkan Kashmir – wilayah yang dituntut sepenuhnya oleh kedua-dua negara tetapi ditadbir secara berasingan – pertempuran artileri berat dilaporkan berlaku sejak awal pagi 7 Mei.
Serangan menyasarkan sebuah madrasah di Bahawalpur telah meragut 13 nyawa, manakala penjaga masjid di Muzaffarabad turut terbunuh dalam satu lagi serangan.
Di Muzaffarabad, pengamat ketenteraan PBB tiba untuk memeriksa masjid yang didakwa telah diserang oleh India.
“Kami terdengar bunyi letupan yang amat kuat sepanjang malam. Semua orang panik,” kata Muhammad Salman, yang tinggal berhampiran masjid tersebut.
“Kami sekarang tiada rumah. Kami sedang berpindah ke tempat yang lebih selamat,” ujar Encik Tariq Mir, 24, yang cedera di kaki akibat serpihan bom.
Di Kashmir yang ditadbir India, penduduk turut menyuarakan ketakutan mereka akibat serangan artileri daripada pihak Pakistan.
Encik Wasim Ahmed, 29 tahun, dari perkampungan Salamabad, berkata: “Ada tembakan dari arah Pakistan, rumah-rumah rosak dan ramai yang cedera. Orang ramai melarikan diri.”
Sumber keselamatan India yang enggan dinamakan mengesahkan tiga pesawat pejuang mereka telah terhempas di wilayah sendiri, dipercayai akibat kegagalan teknikal semasa operasi.
Ketegangan yang memuncak itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat antarabangsa.
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, melalui jurucakapnya berkata: “Dunia tidak mampu menanggung konfrontasi ketenteraan antara India dengan Pakistan.”
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, turut menyeru agar pertempuran dihentikan serta-merta.
“Jika saya boleh membantu, saya bersedia,” katanya kepada wartawan di Washington.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, dijangka tiba di New Delhi lewat malam 7 Mei, dua hari selepas lawatannya ke Islamabad dalam usaha untuk menjadi perantara di antara kedua-dua negara.
Sejak 1989, pemberontak bersenjata di Kashmir yang ditadbir India telah melancarkan pemberontakan berskala besar, dengan matlamat menuntut kemerdekaan atau penggabungan bersama Pakistan.
India secara tekal menuduh Pakistan menyokong kumpulan bersenjata yang menentang kehadiran tenteranya di wilayah itu – satu dakwaan yang sentiasa dinafikan oleh Islamabad.
Situasi di LoC semakin genting sejak serangan di Pahalgam.
Tentera India melaporkan tembakan rentas sempadan berlaku hampir setiap malam sejak 24 April, manakala Pakistan pula telah menjalankan dua ujian peluru berpandu dalam tempoh yang sama.
Walaupun kedua-dua negara masih mengekalkan kenyataan bahawa tindakan mereka bersifat pertahanan dan terkawal, hakikat di lapangan menunjukkan peningkatan mendadak dalam skala keganasan dan korban jiwa.
Jika keadaan tidak dibendung, risiko kepada kestabilan serantau dan keselamatan sejagat amat tinggi, ujar pengamat. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg